Monday, October 6, 2008

Sembang Pagi Isnin

Melihat kanak-kanak di peringkat usia 7-12 tahun yang datang beraya membuatkan aku terfikir sejenak. Apakah mereka semua akan menjadi hebat dalam masa 10 tahun yang akan datang kerana telah didedahkan dengan PPSMI sejak dari tahun 1 sehingga sekarang. Bila cuba mendekati mereka dan menyelongkar diri mereka, jauh di sudut hati ini terasa sedih jika mereka ini akan hanya menjadi sebagai satu generasi yang besar yang dihumban ke dalam laut cina selatan dek kesilapan kita, orang dewasa merancang dengan baik untuk masa depan mereka.
Saya lebih suka melihat konsep pembelajaran sekolah arab kampung yang beroperasi secara tradisional atau sekolah tahfiz yang ada. Usah berbicara tentang kemudahan atau teknologi mereka. Tiada persoalan jayid jiddan, mumtaz atau apa sahaja gred yang ada kerana yang cemerlang akan terus bergerak ke depan dalam akademik namun yang kurang menyerlah tetap disanjung dalam masyarakat, menjadi imam terawih, menjadi bilal mesjid bak kata orang menjadi manusia itu lebih penting dengan ilmu yang diperolehi daripada zaman persekolahan.

Kita suka melihat batasan dalam ilmu, itu kesilapan yang besar kita lakukan. khatam quran menandakan tamatnya proses pembelajaran kalam tuhan seperti mana kita menganggap tamatnya pembelajaran sains kita, geografi kita setelah berakhirnya persekolahan. Kesannya adalah pembelajaran hanya untuk mendapatkan sijil semata-mata dan tiada penghayatan tentang ilmu yang dipelajari.

Usah menuding jari! Marilah kita bertindak sesuai dengan peranan dan tugas masing-masing. Jika kita adalah guru, laksanalah pengajaran yang memberikan ilmu kepada pelajar kita, biar peperiksaan dan hasilnya hanyalah bonus kepada pelajar kita sahaja. Jika kita menjadi ibu bapa, kita hanya seronok bercakap tentang gred apabila anak kita mendapat A, jika mereka bukan begitu, maka kita suka memilih tajuk lain untuk perbualan, betul tak? Ubahlah tajuk perbincangan, bincang dan tanya bagaimana ilmu yang anak kita perolehi dapat membantu mereka dalam hidup, bukannya macam mana hendak memastikan mereka mendapat A dalam peperiksaan. Kasihanilah mereka, jangan biarkan mereka stress, kerana ramai dah yang sakit jiwa kat luar sana adalah bukan sembarangan di zaman pelajar mereka.

No comments: