Sunday, March 1, 2009

Renungan di awal Mac

1 Mac 2009 dan ternyata tahun ini adalah merupakan tahun yang sibuk bagi rakyat Malaysia. Sebenarnya, tanpa cerita politik adalah ibarat wayang gambar bisu. Rakyat walaupun bosan dengan suasana yang melanda dari segi politik tetapi sentiasa menunggu berita hangat politik saban hari.

Tahun ini juga kita dapat melihat laporan polis semakin banyak dilakukan oleh pelbagai pihak. Ia melibatkan parti politik, ngos' dan orang awam yang semakin peka dengan keadaan semasa di negara ini. Saman menyaman sudah menjadi perkara biasa menunjukkan ada perubahan dari segi pengetahuan tentang undang-undang dan perlembagaan negara walaupun sukatannya belum ada di sekolah. Ilmu undang-undang dipelajari oleh rakyat melalui pentas ceramah dan juga media, cuma yang berbeza adalah tafsiran sering cenderung kepada parti yang diwakili.

Contohnya, DS Najib menyatakan panggilan sidang tergempar adalah melanggar undang-undang dan di pihak yang lain pula menyatakan bahawa hak untuk mengambil sidang tergempar DUN adalah mengikut perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Perak.
Patutlah DS Najib menyatakan Universiti baru tidak perlu ditubuhkan. Rupanya, Malaysia sedang menuju ke arah Universiti Terbuka. Pensyarah adalah ahli politik yang akan bersyarah mengikut mazhab masing-masing dan rakyat adalah pelajar yang akan membuat tafsiran sendiri tentang apa sahaja yang keluar daripada mulut mereka.

Tidak pelik lagi jika suatu hari nanti akan ada pihak yang bertelagah tentang 1 + 1 kerana jawapan yang berbeza oleh mereka yang arif dalam bidang matematik hanya kerana jawapan 2 telahpun dijawab oleh pihak yang tidak sehaluan.

Dua bulan yang lalu juga telah menguji kerjasama antara kaum di negara ini. 3 kaum terbesar di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India sedang menerima dugaan. Sayangnya, bukan rakyat yang menyuntik unsur perkauman ini tetapi orang politik yang terpampang muka mereka di televisyen yang asyik cuba menyalakan api perkauman. Akhbar yang sepatutnya menjadi ruang untuk menyatupadukan rakyat telah berubah menjadi mancis dan kertas yang hanya menunggu masa untuk membakar jambatan yang dibina oleh pemimpin terdahulu.

Sebuah esei yang sama mungkin akan berbunyi : Pertukaran kuasa atau Rampasan kuasa di Perak cukup memeningkan guru untuk memberikan tunjuk ajar kepada pelajar mereka.

Kita sedang menunggu apa yang akan berlaku sepanjang 31 hari dalam bulan Mac. Bulan ini akan memberikan jawapan kepada persoalan berikut :

1. Pertukaran Abdullah - Najib. Akan jadikah ?
2. DS Najib sebagai PM ke 6 , betul ke?
3. Krisis di Perak, Apa kesudahan ?
4. Elizabeth Wong , apa jadi ?
5. dan bermacam lagi tajuk kuliah untuk bulan Mac di Universiti Terbuka Malaysia

No comments: