Saturday, November 22, 2008

Kemubu... Satu Ratapan


Berkenalan dengan Pak Su Mat yang mesra dengan panggilan Abe Mat Majlis minggu lalu rupanya kali pertama dan terakhir. Semalam, di dalam solat Asar ketika sujud, itulah solat terakhir buatnya dan telah menghembuskan nafas terakhir setelah dikatakan menghidap kayap sejak beberapa hari yang lepas. Mengapa begitu istimewa Allahyarham Abe Mat bagi penduduk Kemubu? Sepanjang hayatnya beliau telah menabur bakti yang besar bagi mereka yang tinggal di sekitar rumahnya. Menurut khabar dari anak Allahyarham lalu dicoretkan ke dalam blog ini supaya dapat diingati bahawa Allahyarham pernah bersama kami buat beberapa ketika semasa hayatnya.
Jasa yang paling besar adalah menjadi Imam di Mesjid yang berhampiran rumahnya dan sudah tentu jemaah akan terasa kehilangan walaupun patah tumbuh hilang berganti. Yang kedua, Allahyarham adalah merupakan bekas pegawai Majlis Agama Islam Kelantan yang sudah berkhidmat sejak sebelum merdeka dan pernah berbasikal hingga ke Jeli untuk menjalankan tugas dan beliau begitu sihat tanpa penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dsb mungkin kerana begitu aktif dengan senaman kayuhan basikal yang menjadi amalan. Ketiga, menurut anak-anaknya, Allahyarham paling suka dijemput untuk menjadi jurucakap bagi majlis peminangan kerana beliau suka membantu orang lain dan sememangnya cara beliau mengendalikan majlis amat saya gemari dan sukar diganti. Keempat, beliau semasa hayatnya suka mencurahkan ilmu kepada orang lain, menggunakan ilmu dengan mengamalkannya, beliau akan menggunakan masa untuk mengajar kanak-kanak mengaji quran dan yang paling hebatnya ialah Rm1 akan diberikan kepada pelajar dan RM10 untuk khatam akan beralih tangan kerana bagi beliau ilmu itu mesti disampaikan. Kelima, beliau akan mengadakan majlis tahlil di mesjid kerana menurutnya, orang yang baru selesai solat di mesjid adalah sesuai untuk bertahlil kerana mereka baru sahaja selesai menghadap Ilahi dan beliau akan menyampaikan tazkirah kepada semua yang hadir. Setiap kali beliau menumpang kereta orang termasuk anaknya Rm 30 akan diberikan kerana bagi beliau sejumlah Rm 30000 perlu dikeluarkan jika hendak memiliki kereta sendiri. Yang terakhir ialah di depan rumah beliau dan didepan mesjid terpampang gambar Tuan Guru YAB Nik Aziz Nik Mat menunjukkan bahawa beliau sangat mementingkan kepimpinan ulama dan sentiasa mengambil buah fikiran Tuan Guru dalam kehidupan.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Allahyarham dan menggantikan peranan yang dimainkan oleh beliau semasa hayatnya supaya kejiranan Kemubu akan sentiasa mendapat manfaat sepanjang masa. Bagaimana dengan Pasir Puteh ?

5 comments:

Jubah hitam said...

Sememangnya Allahyarham seorang yang berkeperibadian yang hebat maka tidak pelik Allahyarham meninggal dalam keadaan bersujud. MasyaAllah hebatnya! Al fatihah.

ARIN said...

al-fatihah buat Allahyarham, semoga ruhnya ditempatkan di kalangan ruh para solihin..

Unknown said...

alfatihah untuk allahyarham

Nims Mohd Afandi said...

sentiasa dirindui. datuk tercinta.

Nims Mohd Afandi said...

terima kasih buat pengarang. (br jumpa blog ni)