Wednesday, January 3, 2018

10 minggu selepas pembedahan

Banyak yang saya lakukan untuk sepuluh minggu. Memandu ke Kluang dan akan ke Melaka bermalam seorang diri di hotel. Lawatan ke tiga tempat yang melibatkan berfikir dan berbincang serta memberikan ucapan.

Semua berbeza di minggu ke 10. Bangun  pagi saya berjalan dan berlari. Kemudian di sebelah petang saya berenang di kolam hotel selama 30 minit tapi tidak menggunakan tangan.

Berat badan naik sedikit yang perlu dikhuatiri. Sasaran berat 75 kg dengan otot yang sesuai dan air yang mencukupi dalam badan menjadi sasaran.

Fitbit alta yang dibeli sangat membantu memotivasikan diri.

Alhamdulillah 10 minggu dah aku menjalani pemulihan selepas pembedahan jantung. 2 minggu lagi untuk kembali normal.

Sudah mula ku ambil susu kolostrum c2joy. Kalau rasa bagus akan aku teruskan dan boleh berniaga sekali.

Tuesday, January 2, 2018

Bayu Beach Resort

2 tahun berturut - turut keluarga A berehat sebelum memulakan sesi baru persekolahan di Bayu Beach Resort.  Apa yang seronok di sini ialah murah, dekat dengan pantai, ada restoran seafood, ada swimming pool dan yang paling best anak anak suka.

Monday, January 1, 2018

2018 masehi

Doa sentiasa
Untuk kesejahteraan
Agar sentiasa diberkati

Rindukan kenangan bersama
Ibu tercinta
Bapa tersayang
Ulama tersohor

Laparkan kejayaan duniawi
Akhirat tetap hakiki
Peluang sentiasa dicari
Agar tersenyum nanti
Namun sentiasa berhati hati

Bekalan harus mencukupi
Esok yang pasti
Laungan azan masjid dicari
Agar kukuh dalam ibadah
Syukur dengan rahmat Ilahi

Sunday, December 31, 2017

Murah tapi berharga

RM 5 untuk  bahan bacaan kepimpinan. Menang membeli menang memakai kalau macam ni. 206 muka surat yang memberikan input kepada sesiapa yang membaca.
Saya bagi contoh ilmu yang ada dalam buku ini. Orang yang susah untuk dipimpin ialah diri sendiri. Memang ya bagi saya. Memimpin diri sendiri memerlukan komitmen yang tinggi kerana kuasa melawannya sangat hebat.

Bila kita nak bawa diri kita untuk istiqamah solat berjemaah, maka kita akan mendapati sukarnya untuk memastikan kejayaan.

D.U.I.T.  itu betul. Kita doa, usaha, ikhlas dan tawakkal untuk memimpin diri sendiri. Apatah lagi nak memimpin orang lain.

Saturday, December 30, 2017

MRT fit station

Hujan lebat seawal subuh menjadikan minat pemain golf kendur, pengayuh basikal berfikir 2 kali sebelum menyarung suit dan individu yang suka bersenam di taman. Semua mungkin akan pilih nasi lemak dan teh tarik di warung pada pagi tadi.

Mari saya perkenalkan latihan jeda untuk kecergasan kardiovaskular disamping membina kekuatan otot kaki.

MRT fit station bukan stesen seterusnya selepas kajang. Ia adalah senaman di stesen mrt yang sesuai untuk kita semua.

Jarak yang digunakan ialah 300 meter. Menaiki 65 anak tangga dan berjalan sejauh 50 meter dan turun 50 anak tangga serta jogging sejauh 50 meter. Lakukan 10 set kita akan terasa momentary muscle failure mmf.

Sebelah petang slow jog 2 km di tepi pantai atau jalan rata.

Friday, December 29, 2017

Mulut rupanya 7 peratus je

Alhamdulillah , sejak mendaftarkan diri sebagai ahli kelab pidato perdana sejak 3 bulan yang lepas baru pertama kali dapat menghadirkan diri malam tadi. Ada 4 orang termasuk jurulatih yang dapat datang.
Bercakap dah lama, 46 tahun tapi belajar berpidato baru sekali ini. Bercakap adalah untuk sebuah komunikasi, nak beritahu kepada orang lain supaya faham. Rupanya yang keluar dari mulut kita hanya 7 peratus.
Ada yang banyak tongkat dalam bercakap ummm, aaaa dan kalau mat salleh akan kata u know u know.. manalah nak tahu sebab belum cakap kat kita.
Berdiri semasa berpidato kena dijaga juga ye. Jangan menari kiri dan kanan nanti fokus pendengar akan mencapah.
Bagaimana dengan tangan? Nak buka luas ke atau nak peluk tubuh? Sesuaikan lah. Boleh juga seluk poket tapi kena padan dengan perkara yang disampaikan.
Mata bertentang mata lalu turun ke hati. Cakap dari hati akan turun ke hati.. jangan berpidato dengan niat nak habiskan tugasan, nanti nampak kerobotan nya. Bab tata bahasa , perlu dijaga tetapi tengoklah audiens, nanti di panggil mat skema. Ini lah yang menjadikan 93 % untuk komunikasi berkesan dalam pidato.

Minggu ke 9 selepas pembedahan jantung

Bila melihat tiada lagi ubat dalam bekas seminggu maka aku tahu bahawa kematangan pembedahan sudah bertambah seminggu lagi. Hari ini genap lah 9 minggu selepas cabg.

Pergi kerja dah macam biasa, nampak lif tapi sudah memilih tangga untuk digunakan. Guling ke kanan dan guling ke kiri sudah jadi lebih normal. Daripada kognitif ia sudah bertukar kepada penyatuan dan minggu ini fasa yang akan dicapai ialah fasa autonomous. Tidur dah macam autonomous sebab dah tak jadi tidur robot.

Cuma yang masih mengganggu di saat ini adalah pening dan hanyut jika melakukan kerja secara cepat dan tiba-tiba. Hadiah untuk minggu ini ialah gulai masak lemak ayam kampung dan secawan nasi .

Tuesday, December 26, 2017

Senaman di Padang Golf

Anakanda dah stop kelas memanah dan bersetuju untuk penglibatan dalam golf. Bapanya pula berpantang golf dulu. Jadi, petang tadi bawa lah dia ke padang dan saya pula ikut sambil berlari anak dan kadang kadang berjalan sahaja

Tengok macam bersemangat je nak main golf. Nanti boleh la lawan ayah.

Monday, December 25, 2017

30 minit yang bermakna

Cuba lihat 2 foto di bawah. Yang berbeza adalah masa. Masa itu emas dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Tiada salah jika kita memilih untuk menonton siaran sukan yang tentunya menyihatkan pemain dan bukannya kita.
Bayangkan anda ambil masa 30 minit untuk melakukan senaman seperti jogging atau berbasikal. Tentunya anda akan membakar kalori dan menguatkan otot jantung dan awet muda.
Bah! Apa tunggu lagi. Jika kita amalkan senaman dan jaga makan maka kita akan rasa bahgia walaupun itu bukan jaminan kita tidak akan sakit.

#30minitbermakna

Sunday, December 24, 2017

Peluh gembira

Petang sabtu yang menggembirakan.

Pertama, masih ramai remaja yang aktif bersukan samada di gelanggang futsal outdoor atau berjogging bersama rakan

Kedua, kanak kanak bakal pengganti azizul hasni gembira dengan basikal lajak masing masing tanpa menghiraukan keselamatan diri..

Ketiga, ada seorang yang berbaju kuning sudah dapat berlari untuk 3 x 5 minit buat pertama kali selepas 10 tahun.

Keempat, aku beli kemeja saiz L bukannya xl dengan harapan bertahan la berat badan aku ni

Kelima, aku beli dua keping lukisan untuk mencantikkan bilik ku di pejabat

Keenam, aku ada satu keluarga bahagia..

Friday, December 22, 2017

PEMIMPIN KOREKSIONAL

Pemimpin Koreksional yang aku nak ciptakan mungkin menciplak stail kepimpinan sedia ada. Ia mungkin kepimpinan Rabbani yang pernah dikaji dan dijadikan projek PhD oleh seorang pensyarah Institut Pengajian Kepengetuan suatu masa dahulu. Apa yang aku bayangkan seorang pemimpin koreksional tidak lah sampai tahap ulamak sebab ia sukar untuk seseorang diiktiraf sebagai ulamak.

Pemimpin taufik mungkin lebih sesuai disama ertikan dengan pemimpin koreksional. Ia bermaksud pemimpin pembetulan. Orang yang membetulkan apa yang salah oleh seseorang yang lain. Maka tugas aku adalah mencari maksud taufik pula. Apabila dapat maksud sebenar makan aku dah boleh mendefinisikan maksud pemimpin koreksional / pemimpin taufik.

Bayangkan di sebuah kawasan yang mana semua manusia yang ada adalah pesalah yang tidak berada pada jalan yang benar atau jalan yang betul. Sekiranya kita disitu untuk membawa mereka ke jalan yang betul/ lurus sesuai dengan paradoks di persekitaran maka kita adalah bertanggung jawab menunjukkan jalan dan membawa mereka ke jalan tersebut. Sesuailah ia dinamakan pemimpin koreksional/pemimpin taufik.

Dah nampak sikit... Perlu fikir lagi

Thursday, December 21, 2017

Kepimpinan koreksional ?

Asas kepimpinan selalu berkisar kepada autokratik, demokratik dan lesser faire. Apabila memahami ketiga tiga asas ini maka seorang pemimpin akan dapat membawa ahli ahlinya dengan acuan yang sesuai. Adakah setiap pemimpin akan menggunakan hanya satu jenis kepimpinan? Cuba bayangkan pemimpin yang ada dalam organisasi anda semua. Siapa yang memimpin secara autokratik dan siapa yang sangat demokratik atau siapa yang membiar bebas ahli dalam kepimpinan mereka.

Ketiga asas ini membawa kepada jenis kepimpinan yang lain yang dikembangkan daripada asas yang diketahui ramai orang sejak dibangku sekolah. Kita juga menyebut sebagai stail kepimpinan. Sebagai contoh ialah kepimpinan situasi, kepimpinan transaksi, kepimpinan transformasi, kepimpinan moral imperatif dan sebagainya. Dalam bidang pendidikan pula ada stail kepimpinan instruksional. Semua ini sukar disebut oleh orang yang bukan berada dalam bidang yang berkaitan.

Nak membezakan maksud kepimpinan dan pengurusan sudah menjadi satu masalah apatah lagi dan melaksanakan kedua nya dalam satu masa.

Zaman ini , adakah kita lebih perlukan kepimpinan karismatik ? Mungkin ya kerana media sosial perlukan karisma seseorang untuk ditonjolkan.

Dulu ramai menganggap Tun Mahathir sebagai pemimpin autokratik dan DS Anwar sebagai pemimpin karismatik.  Bagaimana dengan DS Najib? Adakah beliau demokratik dan Pak Lah sebagai pemimpin lesser faire?

Biarlah apa pun. Sekarang tugas kepimpinan saya adalah untuk membentuk pemimpin koreksional dalam kalangan guru yang bertugas di bawah seliaan saya.

Pemimpin membina pemimpin maka tugas saya adalah mendefinisikan maksud kepimpinan koreksional. Apakah ciri-ciri pemimpin koreksional dan bagaimana mereka boleh mengubah pengikut mereka.

Kepimpinan koreksional adalah satu keadaan dimana mereka melakukan sesuatu kerja yang dapat membantu kearah taufik dan hidayah ahli yang dipimpin. Macam sama dengan pemimpin moral imperatif. Saya akan cuba baca dulu dan jelaskan kemudian. Mana tahu saya dapat kemukakan satu lagi jenis kepimpinan untuk tambahan buku siri kepimpinan dan pengurusan.

Wednesday, December 20, 2017

8 minggu selepas pembedahan jantung

IBila melihat kotak ubat harian tidak bersisa lagi maknanya cukup lah seminggu lagi post surgery. Yang indahnya, hari ini cukup 2 bulan dalam kiraan minggu iaitu 8 minggu. Perbezaan yang ketara ialah aku langsung tidak berhati hati semasa tidur. Terlentang , mengiring malah meniarap pun aku cuba supaya kita tahu perkembangan dan boleh dikongsi bersama pembaca.

Jogging belum berupaya walaupun kayuhan basikal 10 km adalah bukan lagi satu masalah.

Satu saja masalah yang ketara ialah aku rasa hanyut dan kepeningan kalau naik lif dan di tempat orang lalu lalang di depan ku.

Bersin masih satu cabaran kerana masih terasa di dada namum keyakinan ku adalah ia berkait dengan saraf dan bukannya sternum.

Lipan didada masih merah dan kadang kadang rasa gatal. Ada sedikit lagi bahagian yang perlu ambil masa untuk pulih.

Apa pun, hari ini perlu diraikan kerana setiap minggu amat beerti

Tuesday, December 19, 2017

Menara condong Teluk Intan X2

Blog ini pernah mencatatkan perjalanan ke Teluk Intan beberapa tahun lepas. Malas nak scroll down mencari. Yang berbeza kali ini ialah aku dapat naik menara condong ini.
Yang kedua, ada saudara tinggal disini maka kami dapat bermalam di sini. Kemudian kami sambung ke Kampung Gajah dan melawat muzium pasir salak. Aku sangat teruja melihat kisah yang berlaku dalam menentang penjajah.

Bagus juga bagi sesiapa yang ingin melihat sejarah kebangkitan orang kita. Kita perlukan pemimpin yang berani.

Saturday, December 16, 2017

Masyarakat ori Malaysia

Mentaliti kita yang ori susah ditiru dan senang dipelajari. Bagus dah usaha mengindahkan taman dan kebersihan. Sayang ia tidak mengenal parti politik. Kerana apa? Kerana ia ori

Friday, December 15, 2017

Cerita hal masa lagi

Hari ini genap lantikan DG48 untuk tahun keenam. Kalau mengikut formula 886 maka dengan ini diisytiharkan aku sudah genap tarikhnya untuk memohon kenaikan pangkat ke DG52.

Ku tuliskan emel kepada pegawai BPSM dan bertanyakan pendapat kerana aku sekarang berada di luar kementerian ayahanda.

Alhamdulillah sudah dapat butiran yang perlu diisi. Semoga ada rezeki. Berita sedih pula adalah pemergian Cikgu Wan Nor Hasni ke rahmatullah. Orang yang membantu kami ketika baru bertukar ke Kelantan pada tahun 2002.

Wednesday, December 13, 2017

7 minggu selepas pembedahan

Sekejap rasanya seminggu apatah lagi esok dah mula bekerja. 7 minggu bersamaan 49 hari.. Kalau membaca status rakan zip dari luar negara, ramai yang dah berjalan sehingga 10 km sehari. Memang hebat mereka bersenam selepas CABG.

Aku pun tak kurang untuk lebih aktif. Semalam aku mencuba mengayuh basikal dan dapatlah 6 km. Alhamdulillah walaupun dekat aje.

Wednesday, December 6, 2017

6 minggu selepas bypass jantung

Hari ini adalah hari ke 42 selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Perkara pertama yang menampakkan kejayaan adalah solat. Aku sudah mula solat secara normal. Walaupun agak susah dan ragu ragu akhirnya ia dimulakan.

Perkara kedua ialah jogging. Semalam aku dah mula lari setempat untuk 20 minit. Ia adalah satu kejayaan.

Perkara ketiga ialah tidur. Tidur mengiring semakin senang untuk dilakukan.

Perkara keempat ialah keyakinan dalam memandu kereta.

Pesanan untuk sesiapa yang bermasalah seperti sakit dada semasa beraktiviti. Jangan tunggu lama lama kerana kita rugi masa dan peluang untuk hidup aktif.

Tuesday, November 28, 2017

35 hari selepas pembedahan jantung

Alhamdulillah hari ini aku ke IJN untuk temu janji dengan doktor yang melakukan pembedahan pada 25 oktober lepas. Semalam aku telah hadir untuk ambil darah supaya hari ini boleh terus berjumpa doktor seperti jadual.

Pukul 11 pagi , diminta masuk untuk mengambil tekanan darah. Keputusannya ialah 105/75 dan tekanan nadi 91.

Lebih kurang 15 minit menunggu , nama ku dipanggil dan doktor yang menunggu ialah Dr Arvin salah seorang daripada team yang melakukan CABG tempohari.

Setelah bertanyakan khabar, soalan yang ditanya ialah makan ubat ikut jadual atau tidak, ada bawa motor, ada pandu kereta. Aku katakan aku berpantang semua itu.

Dia minta dibukakan baju dan dia menekan tulang dada dan aku disuruhnya memalingkan muka ke kanan dan batuk, begitulah juga di sebelah kiri. Alhamdulillah kata doktor bahawa tulang aku dah bercantum. Sekarang awak dah boleh pandu kereta.

Awak dah boleh masuk kerja. Saya bagi awak cuti seminggu saja lagi dan bekerja supaya awak akan cepat sembuh.

Awak sekarang seperti bayi, kena mula dari merangkak, berjalan dan seterusnya. Kami dah buka jalan, awak kena jaga supaya jalan sentiasa baik. Jangan pula datang balik selepas setahun sebab tersumbat jalan.

Ada saya jumpa uncle yang dah 92 tahun umur masih bermain bola selepas 20 tahun melakukan bypass operation.

Terpulang pada awak lah. Sekarang awak akan rasa sakit dada sebab kulit, lemak dan saraf juga dipotong jadi awak akan ingat IJN sebab ia akan kekal lama. Ia bukan jantung dan lama kelamaan akan berkurangan.

Good luck dan all the best.

Terima kasih team Mr Rais IJN yang membantu memulihkan kesihatan jantung saya dan yang penting mengembalikan keyakinan saya.

Terima kasih Azura yang sentiasa mengambil berat sepanjang proses ini. Hanya Allah yang dapat membalas jasa dan bakti. 

Sunday, November 26, 2017

Tahniah buat isteri ku

Alhamdulillah pada hari ini yang ceria , isteri ku telah melangkah gagah ke atas stage untuk menerima ijazah sarjana pendidikan.
Aku masih teringat ketika berada jauh di pedalaman Sarawak. Sepatutnya beliau pulang untuk konvokesyen ijazah sarjana muda tetapi hasrat terpaksa ditangguhkan kerana jarak yang jauh.

Kuat sungguh keazaman beliau untuk menyambung pengajian dan hari ini impian telah jadi kenyataan.

Abang doakan agar sayang akan berjaya di dunia dan akhirat.

Saturday, November 25, 2017

Ronda Taman

"Look at that sun shine, it's tremendous day for golf"... Kalau sebelum ni, pagi cerah sebegini pastinya di padang golf.

Selepas hari ke 32 pembedahan pintasan jantung dan mulai rasa sihat maka senaman berjalan sajalah yang boleh dibuat. Golf tu sabar lah dulu.

Pagi ini ambil peluang dating sambil sihat dengan yang tersayang. Tak jauh bagi anda tetapi hebat untuk saya. 2 km sebelah pagi dan usahakan supaya petang boleh sambung lagi.

Selepas tu , terus bersarapan kat driving range menikmati rumput hijauuuu.

Friday, November 24, 2017

Cari atau Cipta

Cuba gunakan peta bulatan dan letakkan kata kunci KERJA. Kerja apa yang patut kita fikirkan untuk tahun 2025 ketika Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan tamat. Dengan pencapaian holistik yang sangat membanggakan apabila setiap warganegara Malaysia memiliki kemahiran mengikut kecenderungan masing-masing.
Ramai yang menjadi mahir dan separuh mahir sejak remaja selepas mendapat ilmu teknologi dengan Industri berdekatan tempat tinggal melalui program PIMA.

Yang cenderung dengan kinestetiknya sedang mempersiapkan diri untuk sukan olimpik dan bola sepak piala dunia 2026.

Ada pemegang bacelor pendidikan bergerak ke rumah anak murid mereka melalui home schooling dan pada masa lain menikmati latihan muzik sebagai pembelajaran sepanjang hayat.

Ada yang cenderungnya akademik sedang menjalankan penyelidikan untuk memastikan kesihatan menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

Setiap subjek di sekolah pula memberikan ilmu hidup berkonsepkan knowledgeable citizen sehinggakan mereka akan peka, tahu dan mahu memastikan setiap 24 jam adalah yang terbaik. Bermula dengan bangun pagi, mereka sangat berpengetahuan tentang pemakanan yang patut diambil dan boleh sesiapa.saja menjadi imam solat subuh.

Itu adalah asas dalam pembentukan warga negara. Stesen television sangat informatif sehinggakan pesakit jantung boleh berkongsi peranan setiap ubat yang dimakan secara jelas kerana ada siaran yang sangat bermanfaat dan di sekolah ada maklumat begitu di hujung jari.

Kerja kayu atau kerja logam adalah asas kepada warga negara berdikari. Ia akan menjadi kewajipan setiap individu supaya mereka boleh menyediakan ruang kehidupan sendiri untuk perkara asas di rumah.

Memasak adalah pengetahuan semua warganegara supaya makanan sihat dan sesuai dapat disediakan masing- masing.

Indahnya pendidkan holistik untuk negara peneraju ketamadunan akhir zaman


Thursday, November 23, 2017

Bahasa Tolu

'Torkonang kan si jamal,.mengalir air mato aku'', terngiang kata kata Wak Junuh ketika kami menziarahi beliau. Ia berlaku di sebuah kampung yang terletak di sungai raya, gopeng.  Mereka dikatakan berasal dari Sumatera dalam kalangan kiai yang berhijrah atas sebab tertentu.

Itulah asal keturunan ku di sebelah bapa. Tidak ku tahu masih adakah lagi saudara mara di sana. Yang pasti , makanan minang juga aku suka.

Famili dah rawatan pemulihan jantung

Seseorang pesakit yang baru menjalani pembedahan pintasan jantung sangat tinggi rasa kebergantungan. Banyak perkara yang orang normal buat dengan mudah telah menjadi halangan bagi mereka.
Mereka hanya mampu melalukan sesuatu dalam keadaan yang sangat terbatas. Apatah lagi semasa beberapa hari selepas pembedahan dan balik ke rumah masing masing.
Setiap ahli keluarga hendaklah memahami kekangan suami, isteri , anak , atau ayah dan ibu mereka yang baru menjalani pembedahan jantung.
Sekiranya ahli keluarga sentiasa menyokong pemulihan pesakit maka proses kesembuhan akan lebih cepat.

Terima kasih Azura dan anak - anak yang sentiasa di sisi ketika ku memerlukan. Terlalu besar pengorbanan yang dilakukan  dan hanya Allah yang mampu membalasnya.

Wednesday, November 22, 2017

Putus terpaksa 15454

Apabila bekalan letrik terputus sejak satu jam yang lalu memerlukan kita memeriksa 2 perkara. Yang pertama ialah bil letrik samada berwarna ori atau bertukar menjadi merah. Kalau masih ori, kita tengok di kotak fius kalau ada yang berbeza lokasi suiz.

Kalau semua ok maka kita perlulah membuat panggilan ke 15454 untuk melaporkan kejadian putus terpaksa.

Dulu, ketika berada di satu kawasan yang kerap terputus bekalan letrik, memang terasa sangat keperluannya. Ketika tidur selepas balik dari kerja, kipas perlu ada di depan dan belakang kerana terlampau banyak rengit menggigit. 

Kini, walau pun tiada letrik, blog masih boleh ditulis asalkan ada bateri dan kehendak

Tuesday, November 21, 2017

Pembedahan jantung 4 minggu

Apa khabar semua? Hitungan hari yang perlahan selepas CABG kerana semuanya sukar. Tidur menjadi sukar kerana menggunakan satu gaya sahaja iaitu kuak lentang. Makan juga sukar kerana nafsu makan masih lemah. Yang membanggakan ialah kita dapat berjalan tanpa sakit dada seperti sebelum pembedahan. Bermula dengan 5 minit di awalnya semasa masih di IJN kita akan lebih maju minggu demi minggu. Semalam saya dah berjalan sejauh 3 km dengan masa 1 jam. Alhamdulillah tidak sakit pada dada cuma letih dan lenguh kaki sahaja.
Minggu 4 adalah satu transisi pemulihan fasa seterusnya. Baring di sisi sudah boleh dicuba. Kalau tidak sakit pada tulang sternum maka boleh lah tidur kuak sisi atau gunting.

Kalau terasa nak minum teh, buat lah teh c. Ambil susu cair dan gula melaka.. itu cadangan dietician.

Pengambilan nasi perlu dikawal supaya kita kembali slim dan cantik. Saya dah turun dari 88 kg kepada 78 kg dalam masa bermula serangan jantung hingga kini.

Ingat formula 1/4 nasi, 1/4 protein dan 1/2 sayur dan buah.

Kalau ikut pembacaan, 2 minggu lagi baru pemulihan akan lebih baik dan kehidupan menjadi lebih normal. Gunakan akronim K.I.S.S. keep it slow and steady dalam mengharunginya.