Tuesday, December 19, 2017

Menara condong Teluk Intan X2

Blog ini pernah mencatatkan perjalanan ke Teluk Intan beberapa tahun lepas. Malas nak scroll down mencari. Yang berbeza kali ini ialah aku dapat naik menara condong ini.
Yang kedua, ada saudara tinggal disini maka kami dapat bermalam di sini. Kemudian kami sambung ke Kampung Gajah dan melawat muzium pasir salak. Aku sangat teruja melihat kisah yang berlaku dalam menentang penjajah.

Bagus juga bagi sesiapa yang ingin melihat sejarah kebangkitan orang kita. Kita perlukan pemimpin yang berani.

Saturday, December 16, 2017

Masyarakat ori Malaysia

Mentaliti kita yang ori susah ditiru dan senang dipelajari. Bagus dah usaha mengindahkan taman dan kebersihan. Sayang ia tidak mengenal parti politik. Kerana apa? Kerana ia ori

Friday, December 15, 2017

Cerita hal masa lagi

Hari ini genap lantikan DG48 untuk tahun keenam. Kalau mengikut formula 886 maka dengan ini diisytiharkan aku sudah genap tarikhnya untuk memohon kenaikan pangkat ke DG52.

Ku tuliskan emel kepada pegawai BPSM dan bertanyakan pendapat kerana aku sekarang berada di luar kementerian ayahanda.

Alhamdulillah sudah dapat butiran yang perlu diisi. Semoga ada rezeki. Berita sedih pula adalah pemergian Cikgu Wan Nor Hasni ke rahmatullah. Orang yang membantu kami ketika baru bertukar ke Kelantan pada tahun 2002.

Wednesday, December 13, 2017

7 minggu selepas pembedahan

Sekejap rasanya seminggu apatah lagi esok dah mula bekerja. 7 minggu bersamaan 49 hari.. Kalau membaca status rakan zip dari luar negara, ramai yang dah berjalan sehingga 10 km sehari. Memang hebat mereka bersenam selepas CABG.

Aku pun tak kurang untuk lebih aktif. Semalam aku mencuba mengayuh basikal dan dapatlah 6 km. Alhamdulillah walaupun dekat aje.

Wednesday, December 6, 2017

6 minggu selepas bypass jantung

Hari ini adalah hari ke 42 selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Perkara pertama yang menampakkan kejayaan adalah solat. Aku sudah mula solat secara normal. Walaupun agak susah dan ragu ragu akhirnya ia dimulakan.

Perkara kedua ialah jogging. Semalam aku dah mula lari setempat untuk 20 minit. Ia adalah satu kejayaan.

Perkara ketiga ialah tidur. Tidur mengiring semakin senang untuk dilakukan.

Perkara keempat ialah keyakinan dalam memandu kereta.

Pesanan untuk sesiapa yang bermasalah seperti sakit dada semasa beraktiviti. Jangan tunggu lama lama kerana kita rugi masa dan peluang untuk hidup aktif.

Tuesday, November 28, 2017

35 hari selepas pembedahan jantung

Alhamdulillah hari ini aku ke IJN untuk temu janji dengan doktor yang melakukan pembedahan pada 25 oktober lepas. Semalam aku telah hadir untuk ambil darah supaya hari ini boleh terus berjumpa doktor seperti jadual.

Pukul 11 pagi , diminta masuk untuk mengambil tekanan darah. Keputusannya ialah 105/75 dan tekanan nadi 91.

Lebih kurang 15 minit menunggu , nama ku dipanggil dan doktor yang menunggu ialah Dr Arvin salah seorang daripada team yang melakukan CABG tempohari.

Setelah bertanyakan khabar, soalan yang ditanya ialah makan ubat ikut jadual atau tidak, ada bawa motor, ada pandu kereta. Aku katakan aku berpantang semua itu.

Dia minta dibukakan baju dan dia menekan tulang dada dan aku disuruhnya memalingkan muka ke kanan dan batuk, begitulah juga di sebelah kiri. Alhamdulillah kata doktor bahawa tulang aku dah bercantum. Sekarang awak dah boleh pandu kereta.

Awak dah boleh masuk kerja. Saya bagi awak cuti seminggu saja lagi dan bekerja supaya awak akan cepat sembuh.

Awak sekarang seperti bayi, kena mula dari merangkak, berjalan dan seterusnya. Kami dah buka jalan, awak kena jaga supaya jalan sentiasa baik. Jangan pula datang balik selepas setahun sebab tersumbat jalan.

Ada saya jumpa uncle yang dah 92 tahun umur masih bermain bola selepas 20 tahun melakukan bypass operation.

Terpulang pada awak lah. Sekarang awak akan rasa sakit dada sebab kulit, lemak dan saraf juga dipotong jadi awak akan ingat IJN sebab ia akan kekal lama. Ia bukan jantung dan lama kelamaan akan berkurangan.

Good luck dan all the best.

Terima kasih team Mr Rais IJN yang membantu memulihkan kesihatan jantung saya dan yang penting mengembalikan keyakinan saya.

Terima kasih Azura yang sentiasa mengambil berat sepanjang proses ini. Hanya Allah yang dapat membalas jasa dan bakti. 

Sunday, November 26, 2017

Tahniah buat isteri ku

Alhamdulillah pada hari ini yang ceria , isteri ku telah melangkah gagah ke atas stage untuk menerima ijazah sarjana pendidikan.
Aku masih teringat ketika berada jauh di pedalaman Sarawak. Sepatutnya beliau pulang untuk konvokesyen ijazah sarjana muda tetapi hasrat terpaksa ditangguhkan kerana jarak yang jauh.

Kuat sungguh keazaman beliau untuk menyambung pengajian dan hari ini impian telah jadi kenyataan.

Abang doakan agar sayang akan berjaya di dunia dan akhirat.

Saturday, November 25, 2017

Ronda Taman

"Look at that sun shine, it's tremendous day for golf"... Kalau sebelum ni, pagi cerah sebegini pastinya di padang golf.

Selepas hari ke 32 pembedahan pintasan jantung dan mulai rasa sihat maka senaman berjalan sajalah yang boleh dibuat. Golf tu sabar lah dulu.

Pagi ini ambil peluang dating sambil sihat dengan yang tersayang. Tak jauh bagi anda tetapi hebat untuk saya. 2 km sebelah pagi dan usahakan supaya petang boleh sambung lagi.

Selepas tu , terus bersarapan kat driving range menikmati rumput hijauuuu.

Friday, November 24, 2017

Cari atau Cipta

Cuba gunakan peta bulatan dan letakkan kata kunci KERJA. Kerja apa yang patut kita fikirkan untuk tahun 2025 ketika Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan tamat. Dengan pencapaian holistik yang sangat membanggakan apabila setiap warganegara Malaysia memiliki kemahiran mengikut kecenderungan masing-masing.
Ramai yang menjadi mahir dan separuh mahir sejak remaja selepas mendapat ilmu teknologi dengan Industri berdekatan tempat tinggal melalui program PIMA.

Yang cenderung dengan kinestetiknya sedang mempersiapkan diri untuk sukan olimpik dan bola sepak piala dunia 2026.

Ada pemegang bacelor pendidikan bergerak ke rumah anak murid mereka melalui home schooling dan pada masa lain menikmati latihan muzik sebagai pembelajaran sepanjang hayat.

Ada yang cenderungnya akademik sedang menjalankan penyelidikan untuk memastikan kesihatan menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

Setiap subjek di sekolah pula memberikan ilmu hidup berkonsepkan knowledgeable citizen sehinggakan mereka akan peka, tahu dan mahu memastikan setiap 24 jam adalah yang terbaik. Bermula dengan bangun pagi, mereka sangat berpengetahuan tentang pemakanan yang patut diambil dan boleh sesiapa.saja menjadi imam solat subuh.

Itu adalah asas dalam pembentukan warga negara. Stesen television sangat informatif sehinggakan pesakit jantung boleh berkongsi peranan setiap ubat yang dimakan secara jelas kerana ada siaran yang sangat bermanfaat dan di sekolah ada maklumat begitu di hujung jari.

Kerja kayu atau kerja logam adalah asas kepada warga negara berdikari. Ia akan menjadi kewajipan setiap individu supaya mereka boleh menyediakan ruang kehidupan sendiri untuk perkara asas di rumah.

Memasak adalah pengetahuan semua warganegara supaya makanan sihat dan sesuai dapat disediakan masing- masing.

Indahnya pendidkan holistik untuk negara peneraju ketamadunan akhir zaman


Thursday, November 23, 2017

Bahasa Tolu

'Torkonang kan si jamal,.mengalir air mato aku'', terngiang kata kata Wak Junuh ketika kami menziarahi beliau. Ia berlaku di sebuah kampung yang terletak di sungai raya, gopeng.  Mereka dikatakan berasal dari Sumatera dalam kalangan kiai yang berhijrah atas sebab tertentu.

Itulah asal keturunan ku di sebelah bapa. Tidak ku tahu masih adakah lagi saudara mara di sana. Yang pasti , makanan minang juga aku suka.

Famili dah rawatan pemulihan jantung

Seseorang pesakit yang baru menjalani pembedahan pintasan jantung sangat tinggi rasa kebergantungan. Banyak perkara yang orang normal buat dengan mudah telah menjadi halangan bagi mereka.
Mereka hanya mampu melalukan sesuatu dalam keadaan yang sangat terbatas. Apatah lagi semasa beberapa hari selepas pembedahan dan balik ke rumah masing masing.
Setiap ahli keluarga hendaklah memahami kekangan suami, isteri , anak , atau ayah dan ibu mereka yang baru menjalani pembedahan jantung.
Sekiranya ahli keluarga sentiasa menyokong pemulihan pesakit maka proses kesembuhan akan lebih cepat.

Terima kasih Azura dan anak - anak yang sentiasa di sisi ketika ku memerlukan. Terlalu besar pengorbanan yang dilakukan  dan hanya Allah yang mampu membalasnya.

Wednesday, November 22, 2017

Putus terpaksa 15454

Apabila bekalan letrik terputus sejak satu jam yang lalu memerlukan kita memeriksa 2 perkara. Yang pertama ialah bil letrik samada berwarna ori atau bertukar menjadi merah. Kalau masih ori, kita tengok di kotak fius kalau ada yang berbeza lokasi suiz.

Kalau semua ok maka kita perlulah membuat panggilan ke 15454 untuk melaporkan kejadian putus terpaksa.

Dulu, ketika berada di satu kawasan yang kerap terputus bekalan letrik, memang terasa sangat keperluannya. Ketika tidur selepas balik dari kerja, kipas perlu ada di depan dan belakang kerana terlampau banyak rengit menggigit. 

Kini, walau pun tiada letrik, blog masih boleh ditulis asalkan ada bateri dan kehendak

Tuesday, November 21, 2017

Pembedahan jantung 4 minggu

Apa khabar semua? Hitungan hari yang perlahan selepas CABG kerana semuanya sukar. Tidur menjadi sukar kerana menggunakan satu gaya sahaja iaitu kuak lentang. Makan juga sukar kerana nafsu makan masih lemah. Yang membanggakan ialah kita dapat berjalan tanpa sakit dada seperti sebelum pembedahan. Bermula dengan 5 minit di awalnya semasa masih di IJN kita akan lebih maju minggu demi minggu. Semalam saya dah berjalan sejauh 3 km dengan masa 1 jam. Alhamdulillah tidak sakit pada dada cuma letih dan lenguh kaki sahaja.
Minggu 4 adalah satu transisi pemulihan fasa seterusnya. Baring di sisi sudah boleh dicuba. Kalau tidak sakit pada tulang sternum maka boleh lah tidur kuak sisi atau gunting.

Kalau terasa nak minum teh, buat lah teh c. Ambil susu cair dan gula melaka.. itu cadangan dietician.

Pengambilan nasi perlu dikawal supaya kita kembali slim dan cantik. Saya dah turun dari 88 kg kepada 78 kg dalam masa bermula serangan jantung hingga kini.

Ingat formula 1/4 nasi, 1/4 protein dan 1/2 sayur dan buah.

Kalau ikut pembacaan, 2 minggu lagi baru pemulihan akan lebih baik dan kehidupan menjadi lebih normal. Gunakan akronim K.I.S.S. keep it slow and steady dalam mengharunginya.

Monday, October 23, 2017

Travelog jantung 2

Selepas solat subuh di exit tapah, perjalanan melalui PLUS high way diteruskan. Dalam fikiran , kat mana hendak breakfast ni?  Exit seterusnya ialah Slim River. Kereta yang dipandu terus belok ke kiri dan keluar melalui tol slim river.

Sambil mengintai kedai makan aku terpandang papan tanda kampung balun. Aku pernah baca blog aku anak balun. Kebetulan ada sebuah kedai makan di tepi jalan yang dibuka. Kami singgah dan menikmati sarapan.

Selepas itu, aku minta isteriku memandu kerana rasa keletihan dan tidak cukup tidur. Baru 15 minit perjalanan tiba tiba perut ku kembung dan penuh angin sehingga menekan dada. Nasib baik ada losyen panas halia yang dibawa dari kampung. Ku sapu di perut ku dan minta isteriku berhentikan kereta di hentian rehat tanjung malim. Ubat ku sapu dan diurut perut ke bawah. Alhamdulillah sakit beransur pulih dan berasa lega.

Demi untuk mengesahkan masalah tadi adalah angin, aku minta isteriku memandu ke klinik kesihatan tg malim. Sebaik sampai di kecemasan , sakit dada menyerang lagi dan kali ini lebih teruk. Aku minta doktor buatkan sesuatu kerana tidak tahan lagi menahan rasa sakit.

Suntikan morfin diberikan untuk melegakan kesakitan dan dua kali aku disuntik. Doktor memaklumkan bahawa aku telah terkena serangan jantung.

Friday, September 15, 2017

Travelog jantung 1

3 september 2017
Kami bertolak balik ke KL dalam waktu asar. Harapan yang ada ialah perjalanan yang lancar dan dipermudahkan. Masuk melalui plaza tol Alor Setar Utara kenderaan bergerak lancar walaupun agak banyak. Tidak sampai 15 minit, semua kenderaan bersusun menghala ke selatan.

Satu jam perjalanan, kami keluar melalui tol Bertam dan singgah minum bersama keluarga Syukur yang akan bermalam di situ kerana tidak larat untuk meneruskan perjalanan.  Perjalanan diteruskan dan rupanya ada ahli kami yang belum bersolat asar dan sambil berdoa agar dipermudahkan urusan, solat asar dan jamak maghrib serta isyak kami lakukan di rnr Juru.

Bermulalah kembali satu perjalanan yang dijangka akan sesak sehingga ke KL. Hujan lebat dan reda silih berganti dan semakin perlahan setiap laluan apabila ada beberapa kenderaan berat turut memeriahkan perjalanan.

Setiba di Kuala Kangsar, trafik menjadi terlalu sesak dan begitu perlahan seolah olah ada kemalangan di hadapan. Tiada exit yang boleh kami keluar melainkan di simpang pulai. Ya Allah, mengikut goggle maps, 3 jam lagi baru kami akan sampai ke situ. Ahli keluarga sudah melelapkan mata. 10kmj dengan rasa sejuk dan ingin membuang air menyebabkan perasaan bercampur baur. Alhamdulillah, di exit Ipoh Selatan, ada tandas yang boleh digunakan. Melintasi setiap laluan tol dan perasaan amat lega kerana dapat melepaskan hajat. 1 jam kemudian, aku dapat keluar di simpang pulai dan terus melelapkan mata buat seketika.

Tersedar dalam pukul 4 pagi, aku teruskan  pemanduan ke selatan. Bila tiba di Tapah, aku keluar dari tol dan sekali lagi melelapkan mata. Selepas solat subuh, perjalanan diteruskan.

Friday, September 1, 2017

Aku dan Dia

18 tahun kami bersama
Melayar bahtera keluarga
Hidup ceria dan bahagia
Moga kekal ke hujung nyawa

Gelak tawa tambah mesra
Sekali sekala berair mata
Lumrah hidup kita manusia
Tak terlepas salah dan dosa

Mula mula hidup berdua
Bertambah pula satu dan dua
Kami sepakat seia dan sekata
Hidup sekadarnya dalam dunia

Dengan rahmat Yang Maha Esa
Setiap waktu dititipkan doa
Biar bahagia selamanya
Kekal hingga ke syurga

Thursday, August 31, 2017

Kota Bharu baharu

Sungai Kelantan mengalir dari hulu
Menuju ke laut china selatan
Bagaikan anak yang sedang tidur
Namun mengganas di musim tengkujuh

Terlalu banyak sungai di merata
Dalam dunia timur dan barat
Menjadi nadi anak merdeka
Mencari rezeki di air dan darat

Kota Bharu sudah berubah
Deltanya terus subur berkembang
menjadi cahaya seri wajah
Tempat bersemadi cik siti wan kembang

Bangunan telah mula meninggi
Walau sekadar menyapa langit
Orang kota bharu terus berdikari
Di setiap pagi mereka bangkit

Doaku untuk kota bharu
Sungai ini sumber rezeki
Berkat doa tuan guru
Tempat membuang segala daki

Kini kita menghitung hari
Akan tiba masa yang pasti
Jangan mudah lupa diri
Di bawah bulan kita bersaksi

Andai pelanduk lupakan jerat
Tiada apa yang tinggal lagi
Bertahun tahun Islam mengikat
Jangan dibiar berlalu pergi

Wednesday, August 30, 2017

Cahaya telah menjelma

Fajar telah menjelma di waktu sunyi
Kala sang pendeta sedang mengolah bait bait indah
Seorang murabbi sedang berbicara dengan penciptanya
Sedang aku masih lena diulit mimpi

Cahaya telah semakin terang
Insan pelbagai darjat membuka mata
Atas desakan untuk terus hidup
Sayang bukannya atas cahaya keimanan

Setiap pagi yang dingin ini
Hanya segelintir yang ikhlas untuk bangkit
Demi menyahut seruan azan
Yang memanggil hamba ke pangkuan

Kerasnya hati yang sudah cintakan dunia
Rela semuanya demi sesuap nasi
Sedangkan rezekinya sudah ketentuan Ilahi
Namun tiada berdaya untuk bersama dalam saf iman

Tuesday, August 29, 2017

HUSM

Malam tadi naik bas dari kajang untuk pulang ke kampung. Tidur selepas 15 minit bergerak dan tersedar di Gua Musang. Alas perut dengan roti serta qasarkan solat isyak. Terkejut bila bas dah berlabuh di stesen bas pasir puteh. Ambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah ayah dan bonda.
Alhamdulillah dapat berjemaah subuh di masjid dan makan nasi belauk sebelum bergerak dengan kereta adinda untuk bawa ayahanda ke HUSM. Temujanji dengan oftamologi

Saturday, August 26, 2017

Anak muda itu

Dia datang dari jauh nun selatan tanah air
Kerana mencari rezeki halal
Menjanjikan laba di tanah baharu
Kerana di sana kemarau melanda

Dek janji sejak azali
Antara hamba dan sang pencipta
Aku hadir sebagai khalifah Mu
Tiang agama tetap terpelihara

Azan berkemundang bukan ditunggu
Sebaik mukmin awal menanti
Maafkan saya bolehkah kita susuli
Kerana disana imam menanti

Tahniah dari ku pada mu
Anak muda pemandu uber
In sha Allah jika sudah namanya rezeki
Akan tetap datang mencari

Friday, August 25, 2017

Khutbah jumaat 25 ogos

Tajuk khutbah: Mempertahankan kemerdekaan tanggung jawab bersama

Bersyukur dapat merayakan kemerdekaan untuk 60 tahun. Good governance menjadi tanggung jawab bersama.

Pengukuhan akidah dan syariat mesti ada dan kukuh  pada pemimpin dan rakyat.

Keutamaan memajukan negara dengan elakkan rasuah, pecah amanah serta adil, jujur, berintegriti dan bertanggung jawab

Mengamalkan konsep negara berkebajikan untuk kesejahteraan

Rakyat mesti tekad mempertahankan negara dari anasir luar yang ingin menghancurkan negara

Belanjakan ke jalan Allah dan kamu tidak akan dizalimi

Umat islam mesti pertahankan kemerdekaan ikut akidah dan syariat islam

Pengisian kemerdekaan dengan menjauhi unsur taghut

Sunday, August 20, 2017

Merpati dua sejoli

Hujung minggu ke klia menghantar saudara yang melanjutkan pelajaran di US. Sengaja mencuba menaiki erl sambil menikmati waktu petang di putrajaya.

Friday, August 18, 2017

Langkah Sang Kura

Aku sedar siapa diriku
Yang ditakdirkan oleh Maha Pencipta
Untuk menghuni muka bumi ini
Tentunya dengan hikmah penuh adil

Niat hatiku ingin berlari
Bagai sang arnab mencari lobak
Atau ingin terbang tinggi
Bagai sang helang menerjah awan

Aku tahu betapa kerdilnya diri ini
Tidak mungkin menongkah ciptaan
Walau hati ini penuh membara
Untuk mencapai keinginan nafsu

Hidup ini sudah tertentu
Aturan hidup untuk kesempurnaan
Usah berangan menjadi insan lain
Melangkahlah walau pun pendek

Khutbah Jumaat 18 ogos

Tajuk: sampaikah pahala korban

Syiar agama untuk melaksanakan ibadat korban. Allah telah berjanji bahawa amalan yang dikasihi Allah ialah menumpahkan darah korban di hari raya aidil adha.
Dosa akan diampunkan dengan mengalirnya darah binatang korban.
Hayati ibadah dengan asas syariat dengan firman Allah dalam surah al kautsar. Sembelih dilakukan selepas solat aidil adha
Mula disyariatkan pada tahun 2 hijrah. Ia adalah sunat muakkad. Jika berkemampuan, lakukan lah ibadat korban. Soalan lazim , bolehkan makan daging korban sendiri adalah boleh, beri kepada tukang sembelih adalah tidak boleh. Bagikan kepada 3 bahagian, untuk sendiri, fakir miskin dan jiran.
Boleh disimpan dan boleh niat kepada orang yang mati. Seekor lembu boleh niat korban, akikah.

Wajib akur dengan perintah Allah dan Rasul, syukur dengan nikmat, berazam untuk laksanakan setiap tahun
Wallahua'lam.

Tuesday, August 15, 2017

Tunggu papa 7 tahun lagi

Hari ini kami menerima rombongan peserta kursus advanced leadership and management programme INTAN kohort 55/3. Mereka semua adalah pegawai utama gred C daripada pelbagai agensi kerajaan.
Oleh kerana ada yang tidak dapat hadir maka aku menggantikan slot bersama dengan penghuni muda. Ditemani Puan Ramona dari Kementerian Pengajian Tinggi , kami bersama 4 orang yang sedang menjalani hukuman. Dua daripada mereka akan berada di penjara sehingga 2022 & 2024. 2 orang lagi akan bebas pada tahun ini.
Salah seorang yang menjalani hukuman lama adalah ayah kepada seorang anak yang berusia 3 tahun. Anak muda ini tahu bahawa tangisan dan ketawa anaknya tidak akan beliau dengari sehingga anak itu akan berada di tahun 4. Aduh lamanya.
Setiap 3 minggu beliau akan dapat melihat anak sendiri tetapi tidak mungkin untuk menyentuh apatah lagi memeluk zuriat sendiri.
Apakan daya nasi telah menjadi bubur, pengaruh dadah jenis ais telah menjadikan isteri kehilangan suami dalam satu masa yang lama dan anak tidak dapat bermain dengan bapa sehingga meningkat remaja.
Buat remaja di luar, fikirlah sebaiknya sebelum berjinak dengan mala petaka dunia ini. Sayu melihat mereka yang sepatutnya gagah mempertahankan maruah bangsa dan negara tetapi layu dan sayu di balik tirai besi.
" saya syukur kerana saya sudah pandai mengaji quran di sini". Kata salah seorang daripada mereka. "Saya harap saya akan dapat menduduki peperiksaan SPM dan selepas itu belajar menjahit" kata penghuni yang menerima hukuman lama.

Untuk kita semua , sudilah mendendangkan lagu ini dengan gaya masing masing

Anak..
Jika kau tidak melihat bapamu
Di kala senja melabuhkan tirainya

Anak..
Jika kau rindukan papa mu
Di saat waktu tidur mu

Papa bukannya enggan pulang
Tapi kini jauh dari pandangan mu
Di sini papa sedang mengenal diri
Kerana tersungkur di malam hari

Sabarlah wahai anak kecil ku
Sabarlah engkau menunggu
Damailah hati ibu mu
Kerana papa mu tiada di situ

Bila papa kembali bersatu
Di bawah lembayung keluarga
Kau telah semakin dewasa
Ingatlah kau akan papa

Sejarah ini menjadi saksi
Seorang ayah yang lupa diri
Demi nafsu menjerat hati
Maafkan lah ayah mu ini

Anak..
Jagalah ibu mu
Di hari yang sedang berlalu

Anak..
Maafkan lah ayah mu
Tujuh tahun kau menunggu

Kepulangan papa ke pangkuan mu
Duhai anakku

Sunday, August 13, 2017

Sezaman

Jika kau mendengar lagu alleycat ketika bersekolah rendah
Jika kau mencari biji getah untuk mainan kanak kanak mu
Jika kau meminati Mokhtar Dahari
Jika kau makan ais kerim jeruk kelubi
Maknanya kita adalah sezaman

Jika kau masih ingat gumpalan rambut depanmu
Jika kau masih ingat seluar singkat dan ketat mu
Jika kau masih ingat majalah urtv mu
Jika kau masih ingat pistol air dibeli dengan duit raya
Maknanya kita adalah sezaman

Jika kini kau dah mula gugur rambutmu
Jika kini gigi dah mula tiada di gerahammu
Jika kini kau banyak menonton berbanding bermain sendiri
Jika kini kau semakin rindukan zaman kanak kanakmu
Maknanya kita adalah sezaman

Saturday, August 12, 2017

Mahu sihat

Semua orang mahu sihat. Memperkenalkan SAKAB Sarbat Akar Kayu But But. Dibeli dari pasar Semenyih untuk dicuba agar mendapat kehidupan sihat sejahtera.

Wednesday, August 9, 2017

Apa ada di kala senja

Kala senja yang cerah
Selepas ditutup ruang kerja
Jangan dilayan rasa lelah
Atau asyik minum di meja

Ambil lah tshirt under armour
Seluar panjang hitam lembut
Ini bukan tentang glamour
Hanya menghilangkan dada yang semput

Alah membeli menang memakai
Bukannya titleist mahupun taylor made
Barang second hand sudah memadai
Asalkan ada seorang dua playmate

Hayunan lembut secukup rasa
Pegangan jangan terlepas burung
Biar iron yang membuat bekerja
Bola yang naik gerenti turun

Tidak salah untuk beriadah
Itu satu tuntutan agama
Jangan buat apa yang salah
Baru selamat dan sejahtera

Ajaklah kawan yang seia sekata
Niat bermain untuk sihat
Jangan asyik nak berjudi saja
Nanti sengsara di akhirat

Tuesday, August 8, 2017

Makan gaji

Hari hari bangun pagi 

Kunci jam kanan kiri

Walau malas tak boleh lari

Kerna kita bukan memegang kunci


Kerja dipegang dengan akujanji

Semua itu mesti ditepati

Dalam usaha mencari rezeki

Untuk kehidupan anak dan isteri


Boleh sahaja kerja sendiri

Hanya dijaga kanan dan kiri

Yang pasti mesti ada integriti

Kerna janji Allah itu pasti


Pilih lah yang mana disukai

Kerja sendiri atau makan gaji

Apa jadi tanggunglah sendiri

Sebab itu yang kita cari

Saturday, August 5, 2017

Di puncak

Ramai orang yang berjaya asalnya dari bawah
Semangat berkobar untuk menakluk dunia
Dibuka minda dengan tekad untuk maju
Kerana kejayaan bukan senang untuk dimiliki

Bekalan yang dibawa biar lah sepadan
Agar tidak kecewa dipertengahan
Langkah diatur dengan jiwa yang cekal
Cabaran di depan bukanlah halangan

Mari kita maju ke atas
Demi mencapai cita cita besar
Setiap insan ada tempat bermula
Hanya yang tabah akan terus melangkah

Bila telah berada dipuncak
Jangan dilupa memandang ke bawah
Kita hanya lah insan biasa
Diberi tuhan dengan iradahNya

Monday, July 31, 2017

Ikhlas dan kepentingan

Jemputan kenduri oleh rakan akan disambut oleh setiap individu dengan cara berbeza. Ada yang hadir kerana malu untuk bersua selepas itu jika tidak menghadirkan diri. Ada juga kerana yang menjemput adalah boss yang dihormati. Bagaimana jika jemputan adalah dari seorang yang sudah bersara dan tidak ada apa apa kepentingan kepada kita.
Maka, apa yang penting adalah kita hadir kerana ikhlas dan tidak hadir juga kerana keikhlasan diri. Itu yang penting..

Sunday, July 30, 2017

Lapang sasar

Mula menceburinya apabila ditawarkan satu set mizuno globalist oleh tuan punya set. Bekas pemain hoki berasa mudah untuk meneruskan permainan ini berlatarkan hayunan kayu hoki selama ini. Rupanya silap, kita memukul bola hoki tetapi kita menghayun kayu golf.

2014 ke 2017 tidak lama. Permainan ini memerlukan teknik yang betul.

Adakah YouTube membantu? Ya,  tetapi tidak seratus peratus. Bermula dengan grip. Memilih cara pegangan yang sesuai antara asas permainan golf.

Bagi anda yang baru bermula, carilah coach supaya cepat anda belajar

Tuesday, July 25, 2017

Secangkir kopi di satu sore

Dalam kepahitan rasa kopi
Masih ramai yang menggemari
Setiap hirup penuh beerti
Mendamaikan hati yang sepi

Begitu juga kehidupan ini
Hitam dan putih adalah pasti
Bagaikan tanda menjelang dinihari
Mengejutkan insan diulit mimpi

Biarpun hari silih berganti
Kita sentiasa hidup tidak pasti
Dunia kelam ingin dihindari
Sinar suria yang hendak dicari

Itulah hidup yang perlu diinsafi
Kita perlu terus berlari
Mencari kehidupan abadi
Bersama enaknya secangkir kopi

Sisi gelap hadir untuk diteladani
Bukannya untuk terus melupai
Tiba masanya untuk mengenali
Siapa sebenarnya diri ini

Friday, July 21, 2017

Diari sekeping hati

Sedang duduk makan roti canai di sebuah kedai makan. Berlabuh punggung dan menikmati rezeki dari Allah. Fizikal kita hanya di situ. Jasmani kita tidak kemana. Tetapi, bagaimana dengan hati? Adakah kita fokus kepada makanan yang terhidang atau jauh menerawang ke hujung dunia. Adakah kita patut membiarkan hati kita merantau jauh sedangkan kita sedang menghadap rezeki. Itulah dunia tanpa sempadan. Kita jarang memenjarakan hati kita, kita bebas kemana mana dan melakukan apa yang kita mahu semahunya dengan sekeping hati.

Tuesday, July 4, 2017

Mencari ahli kugiran

Pagi pagi dapat emel dari seorang pegawai kementerian. Senarai lengkap pelajar yang mengikuti uji bakat seni. Ada 3 orang yang lulus vokal dan 9 orang yang diperaku sebagai pemain gitar. Sesuatu bermain di fikiran. Bagaimana bakat mereka hendak dikembangkan?

Dengan bakat bercakap yang ada, aku menghubungi satu syarikat dan memperkenalkan diri serta tujuanku. Bagus maklumat yang aku terima.tetapi sayang masa nya terlalu lama untuk memperolehi sijil muzik.

Sekali lagi aku melayari internet dan tertarik dengan satu iklan. Rupanya mereka memang berminat dengan idea ku. Alhamdulillah, surat telah diemelkan untuk perbincangan lanjut. Harap ada sinarnya. Terima kasih Pusat Seni.dan Kebudayaan UTC Melaka

Monday, July 3, 2017

Konvensional tapi bermakna

Balik kampung tengok album lama menguatkan semangat untuk mendokumenkan foto yang ada dalam gallery handphone. Sebanyak 286 keping telah diabadikan kerana kami percaya ia akan menjadi kenangan pada suatu masa nanti.

Salam Aidil Fitri

Alhamdulillah sambutan raya yang sederhana tetapi meriah. Memilih untuk beraya di dua kampung tentunya menggembirakan hati kedua orang tua.
Hari Raya adalah kerja agama namun kadang kala telah bercampur dengan adat dan budaya. Budaya ziarah menziarahi perlu diterapkan ke dalam jiwa anak anak supaya nanti mereka tidak lupa tentang ajaran agama yang memberatkan hubungan silaturrahim terpelihara.

Sunday, May 7, 2017

Duhai anak

Masih ku ingat kau berlari lari
Menuju ke pangkuan ku
Merenget meminta simpati
Agar barbie jadi milik mu

Masih ku ingat tangisan mu
Ketakutan dalam kegelapan malam
Bila berpisah tidur mu
Di dalam suasana kesuraman

Kini kau dah hampir dewasa
Sedang berlayar menuju kematangan
Seiring waktu dan masa
Semakin mekar di jambangan

Ku doakan segala kebaikan
Agar kau akan dapat berdiri
Menempuh suka duka kehidupan
Mohon sentiasa dicekalkan hati

Sunday, January 29, 2017

Daerah Asing

Menjelang senja aku berada dalam dakapanmu
Nostalgia silih berganti menerjah memori
Pepohon hijau semakin meninggi
Sedang aku masih berlari

Mimpi apakah melanda diri ku
Kenangan silam yang tiada disisi
Aku kini kembali lagi buat sekian kali
Di daerah yang sudah berputar ganti

Rumput subur memenuhi ruang
Cahaya yang bersinar menjadi pudar
Bagai sang mentari menyembah bumi
Bisakah aku kekal disini

Daerah ini menjadi asing
Sedang disini uri bersemadi
Telah lama aku pergi
Izinkan aku untuk kembali

Wednesday, January 11, 2017

Rasa nak menulis..

Tahun baru dah tiba. Alhamdulillah masih diberikan umur untuk terus berkhidmat sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Apa yang bermain di fikiran ini, sudah berperanan kah kita sebagai khalifahnya?
9 jam di tempat kerja , bagaimana harus kita berperanan untuk mendapat status khalifah.

Tuesday, November 15, 2016

Rumah ku Syurga ku

Setelah mengambil anak dari sekolah aku mencadangkan agar kami mencipta lirik lagu yang sesuai untuk dicipta. Mereka mencadangkan agar dicipta satu lirik lagu yang bertajuk rumah ku syurga ku. Bagaimana hendak dimulakan satu penciptaan lagu yang sesuai dengan tema atau tajuk lagu yang dicadangkan.

Mungkin kisah bermula dengan seorang anak yang jauh diperantauan yang merindukan  suasana kekeluargaan yang ditinggalkan. Apa rangkap yang pertama nak ditulis ya. Baik aku cuba...

Telah jauh aku pergi
meninggalkan kampung halamanku
Kutinggalkan ayah dan bonda selama ini
sedang mereka memerlukan ku

Di waktu malam yang sepi
Ku melihat bulan yang tinggi
Rinduku semakin terperi
Ayah dan ibu sentiasa di hati

Bak kata orang tua-tua
hujan emas di negeri orang
hujan batu di tanah sendiri
Syurga ku telah tersedia
Sentiasa ku terbayang
Wajah keluarga berseri-seri

Andai dapat ku undurkan masa
Ku akan terus berjasa
kepada ayah dan bonda
Walau jarak memisahkan kita




Friday, November 11, 2016

KEMARAU DI MUSIM TENGKUJUH

Ku singkap tabir jendela
Sang mentari seakan menari dibalik awan
Bagaikan semalu dikucup sang rama-rama
Itulah ibarat hatiku yang sedang rawan

Di balik gunung yang tinggi
Ternampak sinar yang semakin jauh pergi
Ku tak pasti memang tak pasti
Apakah aku kan terus berlari

Ku cuba segala yang ku ada
Bukan aku hanya setia menunggu
Kerana ku pasti dan memang pasti
Kemarau ini akan melanda
Walau diri sentiasa terbelenggu
dengan apa yang terjadi

Oh Tuhan dengarlah rintihan ku ini
Di kala tengkujuh mendekati
Hapuskanlah kemarau di hati
Ku ingin terus berdiri

Tuesday, November 8, 2016

Golf Persahabatan MKKI

Sejak Januari 2016 kami mula mengenali padang golf penjara. Penamat tahun ini ialah satu kejohanan sempena Mesyuarat Ketua Ketua Institusi diadakan di Bangi Golf Resort.
Bermula di par 3 aku yakin permainan semakin baik. Hampir semua lubang aku dapat merapati green cuma sayang aku terpaksa habiskan dengan 3 putt.

94 pukulan adalah agak baik dan sasaran ku sebelum berakhir tahun ialah di bawah 90.

Monday, November 7, 2016

Taubat seorang hamba

'Masuk dulu sini', ustaz memanggilku ke biliknya. 'Ada idea ke nak buat pertandingan nasyid'. Rupanya ustaz sedang mencari tema bagi tahun 2017. Beberapa cadangan diberikan tetapi aku suka dengan tema taubat.seorang hamba.  Nak cuba reka lirik....

Malam yang sunyi sepi
Bersama desiran angin
Yang lembut menyapa pipi
Merayu dalam dingin

Bangunlah hamba tuhan
Siang mu penuh noda
Tidak akan mampu kau bertahan
Bila tiba saat ketika

Sujudlah di sepertiga malam
Hadaplah wajah rebahkan egomu
Tidak mampu dengan hanya diam
Tanpa melafaz kata taubat mu

Ya Allah tempat ku mengadu
Di kala ini ku merayu
Ketika ku mempunyai waktu
Terimalah setiap taubat ku.

Saturday, October 29, 2016

Latihan Strategik

Latihan berstrategik membawa kepada kesempurnaan.

Al kisah seorang pegawai kerajaan yang ingin berkecimpung dengan permainan golf. Bermula dengan hadiah satu set golf daripada saudara yang pencen dengan bermain golf. Kenapa agaknya dia berhenti bermain golf. Kesilapan yang ketara ialah ketika memulakannya. Dia beli set dan belajar secara tidak strategik. Setiap hari di lapang sasar golf tidak membantu meningkatkan permainannya.
Untuk kesempurnaan, beliau mesti mempunyai strategi untuk memantapkan permainan. Latihan tanpa strategi jarang akan berjaya. Cuba kita ke lapang sasar golf. Ramai yang sedang berlatih tetapi tanpa strategi.

Strategi yang baik ialah dapatkan jurulatih yang boleh membantu kita melakukan hayunan yang betul. Jangan ikut sembarangan hayunan orang lain di sebelah anda.
Perkara kedua ialah kesesuaian peralatan golf anda. Samada anda suka atau tidak, mungkin hadiah yang diberikan tadi tidak sesuai untuk anda.
Ketiga, cara anda berlatih dengan 100 bola. 2 kosong 1 adalah perlu. 2 hayunan tanpa bola diikuti dengan 1 hayunan bola akan pasti membantu.

Sunday, September 25, 2016

Sehari di utc sentul

Keputusan untuk menunaikan umrah sudah diperolehi. Kami akan bertolak pada 30 nov. Hari ini bergegas ke utc sentul untuk top up passport. Giliran 1308 maknanya menunggu 300 orang. Sekarang jam 6 ptg dan giliran baru mencecah 1260. Agaknya 12 jam la kami di sini.

Ambil foto visa 2016 dan aku share foto passport ku ketika menunaikan umrah pada tahun 1986

Saturday, September 24, 2016

Persiapan umrah

1. Passport
2. Gambar Visa 4 keping
3. Kad suntikan
4. Confirmkan samada naik di kb atau klia
5. Tarikh 30 nov hingga 11 dis

Friday, September 16, 2016

Persiapan

2 hari lepas cuaca sejuk berangin, pagi ini hujan mencurah-curah. Apa maknanya untuk kita? Ada perkara yang Allah berikan kepada kita semua di dunia merasainya. Sebagai contoh panas terik, hujan lebat , ribut dan sebagainya.
Apa yang perlu kita lakukan adalah membuat persediaan. Kalau hujan maka kita perlukan payung. Kalau panas kita perlu tempat berteduh. Jika kita terus menempuh badai tanpa persediaan maka di mana letaknya akal kita.
Jika kita berhasrat untuk menempuh lautan luas maka persiapan kapal kita harus lebih baik daripada berperahu ke seberang.

Ya Allah. Bantulah aku

Wednesday, September 14, 2016

Insan pertengahan

Ku pandang ke depan
Entah bila kan tiba
Menoleh ke belakang
Itu bukanlah cara ku

Setiap insan di dunia
Sentiasa berlumba lumba
Dengan keringat dan usaha
Hingga ke hujung nyawa

Yang pasti akan ada pemenangnya
Di depan mereka adalah takhta
Usaha yang kuat beserta semangat
Membawa mereka tiba ke puncak

Ku sedari di mana diriku
Yang hanya di pertengahan
Melonjak ke atas tidak ku sampai
Yang ada hanya jiwa sederhana

Namun ku tidak kecewa
Kerana tiap yang menang ada yang kalah
Tiap yang kalah ada yang menang
Biarlah aku insan pertengahan

Tuesday, September 13, 2016

Sejuknya macam di Madinah

Pagi hari kedua aidil adha di kota alor setar. Suasana sejuk selepas subuh sangat mengingatkan daku ketika di kota madinah almunawwarah.

Selawat dan salam kepada baginda Nabi Muhammad SAW.

Menghirup nescafe panas di Hussain Nasi Kandar sementara menanti hari siang. Udara segar dan berangin memberi ketenangan kepada setiap makhluk.

Malam tadi sempat mendapatkan pandangan tentang situasi politik di Kedah. Setiap parti ada culaannya. Kini culaan seakan kembali semula seperti sebelum PRU 13.

Monday, September 12, 2016

Salam Aidil Adha

Allahu Akhbar 3x
Hari ini kita menyambut hari raya. Tatkala ini, ramai orang islam melaksanakan ibadah korban.

Pengorbanan yang kita lakukan menuntut kepada keikhlasan supaya ia akan kekal menjadi wang ringgit di negeri akhirat.

Bagaimana untuk memulakan rasa ikhlas amat senang untuk dihayati. Lupakan setiap kebaikan yang kita lakukan.

Kumulakan hari ini mengunci diri dan hati dari menyebut setiap kebaikan yang kulakukan
Biar mereka bercerita kisah hidup mereka
Kemewahan dan kebahagiaan adalah milik mereka
Tidak perlu berkata apa apa
Kerana nanti ada bahagian kita semua

Ku bahagia dengan keluarga
Yang sentiasa berkongsi suka duka
Kadang kala ada air mata
Yang selalu ada pastinya hilai tawa