Thursday, November 19, 2009

Tanda-tanda cuti sekolah akan tiba

1. Pelajar melempar tong sampah dari tingkat atas
2. Pelajar memecahkan kerusi dan meja di dalam kelas
3. Pelajar keluar masuk sekolah tanpa sekatan
4. Pelajar memulakan sesi boksing
5. Pelajar memakai selipar ke sekolah
6. Pelajar berdua-duaan asal ada kesempatan
7. Keriuhan di sana sini tanpa sebab yang jelas
8. Sampah lebih banyak daripada biasa
9. Papan hitam layak dijadikan kain rentang/mural

Wednesday, November 18, 2009

Peperiksaan SPM telah bermula.... apa bekalan mereka?

Hari ini anak-anak di Malaysia yang berada di tingkatan lima telah menempun peperiksaan awam yang paling penting dalam hidup mereka di sebuah negara yang mana kejayaan mereka di dalam hidup sering tidak lepas daripada hasil daripada apa yang dilalui dalam peperiksaan SPM. Sebanyak mana bekal yang mereka bawa untuk masa depan mereka selepas ini. Mereka telah tamat satu babak dalam kisah. Masyarakat menyambut mereka dan bermulalah episod kehidupan yang baru. Cukupkah bekalan mereka tentunya diukur dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang seimbang dan berketerampilan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Adakah mereka tahu kepentingan keseimbangan JERI ?

Adakah mereka akan mampu untuk berjumpa doktor ketika sakit dan membincangkan tentang kandungan bayi apabila dewasa nanti kerana mereka telahpun diajar tentang proses persenyawaan dsb di sekolah ?

Apabila menonton acara sukan, adakah mereka tahu istilah yang digunakan dalam kebanyakan sukan popular sedangkan subjek PJPK adalah wajib ?

Adakah mereka bersedia sebagai orang islam untuk menyembelih ayam apabila industri ini tidak dikuasai oleh muslimin suatu masa nanti?

Adakah mereka boleh mengaitkan apa yang berlaku pada masa itu dengan kisah yang telah dilalui pada zaman lalu seperti yang diberitahu oleh guru sejarah mereka?

Inilah sebahagian contoh yang ingin kita lihat pada diri mereka yang tamat belajar pada hari ini. Usah fikirkan keputusan mereka jika lulusan universiti ini lah yang membaling mercun di stadium, menipu rakyat , mengamal rasuah, menikam dari belakang, mementing diri sendiri, menggunakan hak awam sesuka hati dsb.

Monday, November 16, 2009

Minda Petang

Waktu telah tamat, anak-anak telah pulang ke rumah namun belum tentu masa tibanya. Deruman enjin saling bersahutan tanda seronoknya mereka untuk keluar daripada taman larangan. Baju sudah dilabuhkan sambil bermain dengan rambut yang merah. Jalur dibuat dibahagian tepi ala-ala Punk menandakan cuti akan bermula. Tiada siapa lagi boleh menyekat mereka. Guru disiplin, guru tingkatan atau sebutlah apa nama sekalipun, tiada siapa yang peduli. Mulut mengunyah getah basikal yang dijual dalam potongan kecil. Tangan menciut si gadis tanpa rasa malu. Sudah tidak ada lagi anak gadis menangis dek gurauan teman lelaki kerana mereka sudah sama. Perigi dan timba sudah tidak ada bezanya lagi. Peperiksaan? Tidak ada apa yang perlu dirisaukan mereka. Duit harian sentiasa masuk asalkan keluar ke sekolah. Itulah senarionya sekarang.

Sunday, November 15, 2009

Guru Bertugas Mutakhir ini?

Pengumuman Pengerusi Majlis; sekarang dijemput guru bertugas untuk memberikan ucapan. Semua melihat antara satu sama lain seolah-olah orang bertanya, siapa yang kentut? alahai guru zaman sekarang, berucap di perhimpunan dah menjadi salah satu beban tugas guru yang patut diperjuangkan oleh NUTP.

Maka bangunlah, SU Kurikulum menjaga maruah guru yang ada di sekolah. Beliau memberikan ucapan tentang apa yang berlaku di sekolah, tentang persediaan pelajar SPM/STPM dan juga tentang PJ sebagai subjek wajib di sekolah.

Alhamdulillah, maruah guru yang tercalar telah disapu oleh ubat kuning.

Saturday, November 14, 2009

Hari minggu yang sibuk


Pada pagi hari Jumaat, Asrama Puteri telah mengadakan jamuan akhir tahun. Oleh kerana bilik saya adalah sebaris dengan bilik PK dan Ketua Bidang maka saya juga turut sama mendapat jemputan, Oleh kerana hotel yang digunakan adalah berdekatan dengan tempat MB memberi kuliah maka kesempatan diambil untuk menyelam sambil minum air.

 
Pada waktu petang pula, kayuhan Raleigh Diablo adalah menuju pekan Jerteh. Apabila sampai di simpang seberang Jerteh, saya membeluk ke kiri di 20 km yang pertama. Perjalanan diteruskan dan sempat berhenti mengintai Sukhoi namun tidak kelihatan. Tiba di rumah menjelang maghrib dan kayuhan sejauh 52 km adalah suatu yang patut dibanggakan

 
 Pagi tadi, saya telah mengikuti kursus jurulatih muda di sekolah di bawah kelolaan jurulatih berpengalaman. 3 acara yang dipelajari adalah lontar peluru, lempar cakera dan rejam lembing.
 
Ketika melalui sebuah kampung, ternampak sekumpulan manusia yang sedang bermain bola jaring. Peliknya, lelaki bercampur perempuan.

Thursday, November 12, 2009

Antara perkara mudah yang ditinggalkan

Siapa yang mengaku bahawa mereka tidak mandi pada hari Jumaat? Ramai yang menyangka bahawa mandi sunat hari Jumaat hanya disunatkan kepada lelaki yang wajib bersolat jumaat di masjid. Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa antara kamu yang datang padanya hari Jumaat, maka mandilah. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Wednesday, November 11, 2009

YB tahu ke ni?


Semasa mengayuh basikal pada suatu petang 2 hari yang lepas di daerah Pasir Puteh. Kebetulan banjir baru melanda di sini. Selepas mengayuh melalui kampung tersebut, maka tersekatlah saya di penjuru kampung dek runtuhnya jambatan ini. Pertama sekali yang saya fikirkan ialah samada YB tahu atau tidak keadaan ini. Jika YB tahu, mengapa tiada papan tanda yang menerangkan kepada pengguna tentang keadaan jambatan. Baiklah, YB tidak diberitahu, maka di manakah penghulu atau ketua kampung.

Monday, November 9, 2009

Semua pakat tak ngaku

Setelah peristiwa tak bermoral di Bukit Jalil semasa Final Piala Malaysia, sudah ramai yang merasakan bahawa bola sepak bukan lagi 1Malaysia tetapi ibu kepada kebejatan moral dalam kalangan rakyat Malaysia. Apa nak di kato, itulah yang dikatakan bola itu bulat. Ada pihak yang marahkan bookie yang dikatakan membeli pemain=pemain kelantan. Apaupun, dalam game begini, mental pemain sangat penting untuk diperkemaskan. Apabila lawan dah kuasai bola, maka dengan secara langsung kita akan nampak kebodohan pemain kita.
Apa lagi, KAFA kena buat sesuatu daripada sekarang. Cuba tengok sekolah rendah pada hari ini, padang mencukupi atau tidak. bangunan semakin menutup padang sedikit demi sedikit. Perlawanan antara sekolah boleh dikatakan tiada langsung. Kemeriahan sudah berkurang. Pelajar sudah tidak biasa dengan adat kalah menang di sekolah. Bila dewasa, mereka tidak blh menerima kekalahan. Itulah puncanya.

Saturday, November 7, 2009

Amaran Jingga

Petang yang mendung tetapi tidak hujan menafikan amaran jingga daripada ramalan kaji cuaca. Peluang yang ada digunakan sebaik mungkin. Bagi sesiapa yang ingin memulakan kayuhan pertama, adalah digalakkan menggunakan jalan kecil tetapi tidak terlalu sunyi. Jalan yang saya lalui hari ini adalah jalan pintas ke Jeram daripada Padang Pa' Amat. Jalan ini sedang dinaiktaraf dan amat sesuai untuk penunggang basikal. Kelebihan yang lain juga ialah jalan ini melengkapi satu pusingan sejauh 15 km yang amat sesuai untuk kayuhan selama 45 minit - 60 minit.


Jangan lupa memakai pakaian yang sesuai dan kalau boleh digunakan kasut untuk memastikan stail yang sesuai. Beg plastik perlu ada untuk menyimpan barangan jika hujan turun dengan lebat. Insyallah usaha anda tidak sia-sia dan janji setiap tahun anda akan menunggang basikal yang lebih mahal dan ringan untuk kayuhan yang lebih jauh.

Baiknya hati ROSMAH

Semua pakat terkejut dan kurang yakin apabila mendengar cerita Rosmah mendapat 7 juta daripada putera saudi kerana memulangkan kotak yang berisi cek. Susah betul la zaman skrg, betapa punya baik si Rosmah tu, tapi orang tak caya

Friday, November 6, 2009

Sokong Abang Mat

Meminati ceramah abang mat sejak tahun 90-an, sebut saja program di taman melewar. aku pasti tidak terkecuali menjadi peminat setia. 3 jam bersama mat sabu adalah tajuk ceramah yang masih dingati. Apabila membaca ingatan abang mat kepada PR supaya jangan menyalahgunakan harta kerajaan untuk parti maka rasa hormat kepada abang mat semakin meningkat. PR tidak boleh sekali-kali melakukan apa yang mereka tidak suka BN lakukan. Menyalahgunakan kuasa walau secara tersembunyi pasti mengotorkan kebaikan kerajaan PR.

Thursday, November 5, 2009

7 KAEDAH MENDIDIK ANAK-ANAK



1. Pendidikan Iman

Iaitu kelahiran anak hendaklah dimulai dengan sebutan nama-nama Allah dan kemudian disusuli dengan mendengarkan kepada anak-anak suatu yang boleh menumbuhkan bibit-bibit iman di dadanya.

Ibu bapa tidak seharusnya mencemari sebutan nama Allah melalui azan selepas lahir dengan bunyian lagha dalam proses tumbesarannya.

2. Pendidikan Akhlak

Anak-anak seharusnya didedahkan dengan amalan-amalan dan nilai-nilai mulia seperti tutur kata sopan, menghormati orang tua, belas kasihan kepada orang susah dan sebagainya. Ini semua boleh diterapkan dengan berkesan melalui contoh tauladan yang dipertontonkan oleh ibu bapa dan ia bermula dari dalam kandungan lagi sehinggalah dilahirkan.

3. Pendidikan Intelektual

Ibu bapa hendaklah menghidupkan budaya ilmu di rumah agar anak-anak terbiasa dengannya dan lahirnya rasa cintakan ilmu. Ia boleh dipupuk melalui tauladan membaca, berdiskusi dan sebagainya.

Di rumah sebaiknya diwujudkan perpustakaan mini atau rak-rak buku yang boleh mencetuskan naluri ingin membaca. Minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana membaca adalah jambatan ilmu.

4. Pendidikan Fizikal

Anak-anak juga perlu didedahkan dengan aktiviti fizikal iaitu melalui riadah dan bersukan. Seperti kata pepatah ‘ akal yang cerdas dari tubuh badan yang sihat’.

Oleh itu ibu bapa wajar membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti lasak di luar rumah agar mereka menjadi cergas dan mampu melakukan kerja-kerja berat.

5. Pendidikan Psikologi

Ibu bapa hendaklah memastikan agar anak-anak sentiasa terdidik dengan naluri dan perasaan positif kerana ia dapat membantu kematangan mereka. Anak-anak perlu diterapkan dengan sifat berani, kuat semangat, tabah, sabar, benar dan sebagainya.

Mereka hendaklah dihindari dari sifat-sifat negatif seperti penakut, panas baran dan sebagainya. Ini boleh diterapkan melalui teguran dan contoh dari ibu bapa.

6. Pendidikan Sosial

Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling dan pandai menyesuaikan diri. Sikap ini boleh dipupuk melalui pendedahan pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Ibu bapa boleh menerapkannya dengan membawa anak-anak ke tempat perhimpunan orang ramai seperti di majlis-majlis kenduri, gotong royong ataupun solat berjemaah di masjid.

7. Pendidikan Seksual

Anak-anak juga perlu didedahkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hubungan lelaki dan perempuan, batasan aurat, adab pergaulan dengan bukah mahram dan nilai-nilai mulia seperti sifat malu dan sopan dalam membicarakan soal berkaitan dengan seks.

Mereka juga hendaklah didedahkan tentang hukum haram berkhalwat dan berzina. Ini dapat memelihara maruah dan nama baik keluarga dan ibu bapa.

IHSAN daripada bahan bercetak

Wednesday, November 4, 2009

Organisasi Catur

Renungkan sejenak sebuah papan catur yang tersusun di mana setiap satunya akan berada ditempatnya dengan tugas -tugas yang tertentu dan kuasa-kuasa yang tertentu. Bagaimana ia boleh diumpamakan? Sasarannya satu iaitu membunuh Raja dengan menggunakan pelbagai gerak dan cara supaya akhirnya kemenangan akan dapat dicapai. Di dalam organisasi, permainan catur ini boleh dikaitkan dengan organisasi yang terpimpin di mana setiap ahli mempunyai peranan masing-masing dengan kuasa yang jelas (empowerment) dan hala tuju yang sama. Masa yang diperlukan bergantung kepada keupayaan berfikir dan cabaran yang diberikan oleh pihak lawan.

Adakah terdapat kebaikan dan kelemahan organisasi buah catur ?

Terdapat kebaikan yang boleh dikemukakan apabila organisasi buah catur diamalkan.
- Ketua di dalam organisasi telah menentukan hala tuju yang ingin dicapai dan perlu dihayati dan digerakkan oleh setiap ahli.
- Setiap ahli diberikan empowerment yang berbeza mengikut kebolehan masing-masing.
- Tugas setiap ahli adalah jelas tetapi ruang yang luas diberikan untuk melakukan gerak kerja yang sesuai dalam mencapai matlamat.
-Ketua masih mempunyai kawalan kuasa yang jelas terhadap setiap ahli.
- Kerjasama sangat penting termasuk menjaga etika dan adab sesama ahli kerana jika matlamat tidak tercapai maka semua akan turut gugur tanpa boleh melarikan diri.
- Prinsip menghormati ketua sangat diutamakan.
-

Kelemahan organisasi buah catur
- Posisi yang tetap akan menyebabkan prestasi kerja sukar ditingkatkan
- Peluang kenaikan yang tidak sama rata
- Pembantu kanan yang terlalu agresif menyebabkan kestabilan organisasi boleh tergugat

Monday, November 2, 2009

Kelantan mara ke final Piala Malaysia

Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia setelah 39 tahun. Pada tahun 1970, mereka tewas 0-2 kepada Perak. Kemenangan ini mengesahkan bahawa untuk menjadi hebat, sesebuah pasukan perlu menyiapkan diri melebihi lawan mereka. Sebagai contoh, pasukan Kelantan telah mendapatkan khidmat pemain yang digeruni oleh lawan seperti Indera Putra dan Khalid Jamlus. Kedua-dua mereka memainkan peranan untuk mengatasi kekuatan mental lawan. Langkah ini menjamin keyakinan rakan yang lain dalam pasukan.

Perkara yang kedua ialah memastikan ganjaran diberikan selepas setiap perlawanan yang dimenangi. Bonus ini menyebabkan pemain dapat memberikan sumbangan yang semaksima mungkin.

Ketiga, pemilihan pemain tanpa campur tangan pegawai tertentu akan memberikan peluang kepada jurulatih memilih pemain yang wajar dengan taktikal dan teknikal yang ingin digunakan.

Keempat, pemilihan Hashim Mustapha sebagai penolong jurulatih juga tidak boleh dianggap biasa. Dia merupakan salah seorang lagenda Gohek Kelate semasa pemain yang ada sekarang baru bertatih dalam bola sepak.

Kelima, Tan Sri Anuar Musa ? Saya tidak boleh komen kerana kurang mengenali beliau.

Saturday, October 31, 2009

Kejohanan ping pong SMKBJ

Empat gelanggang disiapkan dengan yuran penyertaan Rm10. Kejohanan penutup tirai 2009 ini menjadikan sukan sebagai salah satu wadah untuk mengeratkan silaturrahim antara sesama staf.
Tuan Pengetua juga turut memeriahkan kejohanan dan telah layak ke peringkat separuh akhir.
Gelagat macam Schlager turun padang dan menewaskan setiap musuh yang ditemui. Akhirnya aku menjadi naib juara kejohanan.

Wednesday, October 28, 2009

Stadium Sultan Muhammad ke IV: Satu Pengajaran

Malam tadi berlangsung perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2009 di antara Kelantan sebagai tuan rumah dan Perlis. Penonton terlalu ramai melebihi peruntukan tempat duduk sehingga Irfan Bakti, Jurulatih Perlis merasakan seolah-olah berada di EPL. Hebat suasana yang penuh gemuruh daripada penonton Kelantan.

Jika jumlah kehadiran penonton adalah ala-ala EPL tetapi ada beberapa perkara yang patut menjadi pengajaran kepada kita semua seperti di bawah :-
1. Kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz ke stadium untuk melihat sikap penonton anak negeri akan menyebakkan perasaan beliau yang sentiasa memberikan pesanan supaya beradab walaupun di mana berada
2. Orang perempuan janganlah mengada-ngada untuk menonton bersama suami/kekasih jika tidak mampu duduk di grandstand. Ini kerana lontaran air daripada para penonton menjejaskan nilai-nilai kemuliaan insan.
3. Peraturan seolah tiada dalam Islam kerana suasana dipintu masuk seolah-olah melarikan diri daripada Tsunami. Tolak-menolak yang wajar dilayangkan kad kuning.
4. FRU yang bertugas kurang profesional kerana mengajak penonton bergocoh di luar, penonton juga kurang beradab kerana melontar mereka dengan mercun dan air minuman.
Sebelum ke stadium, surau untuk solat maghrib telah menyediakan nasihat berikut :

Ilmu itu sebaik-baik pusaka, Adab itu sebaik-baik sifat, Takwa itu sebaik-baik bekalan dan ibadah itu sebaik-baik barang perniagaan.

Tuesday, October 27, 2009

Tragedi Kampar

Inilah jambatan gantung yang putus menyebabkan tragedi Kuala Dipang. Aktiviti yang dilakukan tidak boleh sekali-kali menggadaikan nyawa murid-murid. Ada yang menganggapnya sebagai takdir. Dalam konteks perundangan, peristiwa ini akan difokuskan kepada 2 faktor iaitu kemalangan ataupun kecuaian. Jika kita melihat dalam konteks perkhemahan ini, Ia melibatkan murid-murid sekolah rendah yang mana keperluan pengawasan keselamatan adalah lebih tinggi berbanding pelajar dewasa.

Motivasi Pembakar Semangat Tingkatan 5

Di sebalik projek dewan terbuka, satu program yang penting sedang diadakan bermula pukul 9 pagi. Selepas Tuan Pengetua memberikan ucapan aluan maka mikrofon diserahkan kepada Kaunselor sekolah. Sambil mendengar ceramah beliau, saya memikirkan memang sesuai jika penceramah menggunakan bahasa / laras yang sesuai dengan audien. Bercakap selama 2 jam tanpa Bahan Bantu Ceramah memang sukar. Cuma, jika terlalu banyak merapu akan membosankan ibu bapa yang terpaksa datang pada waktu prima.
Tidak ramai sasaran yang hadir. Hanya ibu bapa daripada kelas sains yang memenuhi dewan. Melakukan program di sekolah hanya untuk pelajar cemerlang. Pihak sekolah perlu bergerak ke kampung dan rumah pelajar untuk membantu mereka.

Sunday, October 25, 2009

Tergamam seketika

Seorang ustaz berbicara tentang kitab karangan imam Sayuti tentang turunnya Nabi Isa pada 1459 hijrah. Selepas itu, dia menyambung lagi bahawa pada 1499 semua umat islam telah dimatikan sebelum kedatangan hari besar..

Tergamam seketika....

Saturday, October 24, 2009

Kelate ke separuh akhir

Piala Malaysia 2009 - Kelantan melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Perlis. Sejarah tercipta sekali lagi setelah berjaya melangkah ke peringkat akhir piala fa sebelum ini.

Tahniah buat Tan Sri Anuar Musa yang berjaya mengemudi pasukan dengan jayanya. KPI menunjukkan beliau layak menjadi pengurus bola berbanding pemimpin politik

Friday, October 23, 2009

UMNO bukan selamanya musuh bagi PAS

Hingga ke hari ini, proses kematangan politik di Malaysia semakin jelas ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat. Jika sebelum ini, cara BN mendominasikan amalan berpolitik dalam sebuah gabungan tidak boleh dibuat perbandingan. Apabila muncul Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh 3 buah parti iaitu PAS, PKR dan DAP barulah rakyat dapat melihat 2 cara berbeza dalam tindakan sebagai sebuag gabungan.

Apakah yang berbeza ? Apa yang dapat diperhatikan ialah setiap perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati oleh mana-mana individu dalam mana-mana parti adalah 'terbuka' untuk dibahas dan dibincangkan. Konsep masuk bawah karpet adalah satu kaedah umpama memakai tudung tetapi punggung terjulur. Banyak perkara menjadi 'public secret' sedangkan sosek-sosek mulut manusia bercakap.

Tidak ada gunanya kita menyimpan dendam kesumat jika ada rasa ketidakpuasan hati. BN bukannya hebat dalam menjaga gabungan mereka tetapi kuasa wang yang ada menjadikan mereka masih mampu bertahan dalam hubungan sesama mereka.

Adalah lebih baik kita terus melihat kewajaran gabungan dalam Pakatan Rakyat dengan cadangan, debat, perbincangan dan sebagainya utk mengetahui adakah titik pertemuan akan muncul pada suatu masa. Tugas PAS sebagai parti dakwah adalah untuk terus memberikan nasihat kepada rakan gabungan tetapi pada masa yang sama mesti sanggup untuk menerima teguran yang berkaitan daripada rakan yang lain.

Sesungguhnya orang-orang UMNO adalah lebih dekat kepada PAS jika kita melihat mereka daripada sempadan fizikal. Mereka adalah sama bergelumang dlm aktiviti harian. Baik di tempat kerja mahupun di masjid, PAS dan UMNO adalah sentiasa bersama-sama. Yang menjadi sempadan adalah pandangan dan kefahaman tentang islam. Dari sudut bangsa, mereka adalah sebangsa dengan dalam kadar 90% jika PAS menerima kemasukan Kelab Penyokong PAS sebagai sayap PAS.

Dalam pihak PAS bermusuhan dengan UMNO, hendaklah kita letakkan sedikit harapan bahawa bukan selamanya mereka akan menjadi musuh PAS. CUMA, PAS tidak boleh bersama mereka dalam keadaan sekarang. Semasa mereka sebagai kerajaan, PAS tidak sepatutnya bergabung dengan mereka. Ia akan menjadi ERA GELAP PAS kerana kuasa wang ada pada mereka dan telunjuk mereka akan menjadi lebih lurus berbanding telunjuk pemimpin PAS.

Jika hari ini, DAP sudah mula mendengar ayat Quran melalui mulut pemimpin PAS, PKR akan terus maju di bawah DSAI maka tugas PAS adalah untuk terus mendapat keyakinan rakyat beragama islam sebagai wadah sokongan mereka. Mereka bukan tidak mahukan PAS tetapi UMNO ada kuasa wang. PAS perlu mendapatkan kuasa wang untuk mendapatkan peratus keyakinan yang lebih tinggi daripada rakyat. Ekonomi Islam perlu dipegang oleh PAS. Biarkan UMNO mendapat segala projek kerajaan tetapi PAS perlu ada satu porfolio yang menjana ekonomi. PAU AHMAD bukan milik PAS. MEE UMMI bukan milik PAS. Projek jati emas disiarkan dalam HARAKAH tetapi menganiaya pelabur. Bila umat islam akan percaya jika PAS gagal untuk memajukan ini semua. Jangan asyik mencari kesalahan UMNO tetapi PAS sudah ada KELANTAN selama 19 tahun untuk menjadi contoh dari sudut ini. Jangan hanya menjaja nama kehebatan TGNA semata-mata tetapi gagal untuk menunjukkan contoh teladan yang lain.

Akhirnya, kata-kata ini perlu juga diberikan pertimbagan;

UMNO ibarat monyet di atas pokok; mengambil buah-buah dengan tangan dan kaki serta mulut kerana tamak . banyak yang jatuh dan dapat di makan oleh binatang yang melata.

PAS ibarat labi-labi; apabila diberikan kangkung di depan orang, lalu dimasukkan kepala dalam cengkerang tanda tidak mahu tetapi keesokan hari tiada yang tinggal termasuk batang kangkung.

PAS KUAT, ISLAM KUAT

Thursday, October 22, 2009

EGM PAS???

Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. - NIK AZIZ

Oleh TUAN GURU NIK AZIZ NIK MAT

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri.




Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata.

Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.(Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.(Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan.

Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya


Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah.

Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.

Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana.

Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009


Apabila membaca pandangan TGNA, maka saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan PAS. PAS adalah wadah perjuangan bagi umat islam yang ingin melihat Islam ditegakkan dengan aliran Maha Pencipta. Negara kita terlalu kecil dan tidak perlu terlalu banyak kerajaan dalam kerajaan. Sebagai contoh, sebuah negeri akan ditadbir oleh tiga kerajaan iaitu kerajaaan negeri, kerajaan persekutuan dan kerajaan IS****. Bukankah kerajaan dalam istilah demokrasi adalah Daripada rakyat untuk rakyat. Mengapa para pemimpin terlalu cetek pemikiran untuk saling membuat kerja yang tidak diberikan pahala oleh Allah? Jika tidak untuk mendapat keuntungan politik maka tidak ada siapa yang akan melakukannya. Semua orang boleh bercakap tentang keikhlasan tetapi sering hanya di bibir mulut sahaja.

Menjadi pemimpin bermakna kita akan ditanya tentang kepimpinan kita, sifirnya mudah. Seorang guru akan ditanya tentang pengajarannya . Seorang ilmuan akan ditanya akan ilmuannya. Seorang wakil rakyat akan ditanya tentang rakyatnya. Jangan kita menjadi alasan ini untuk tidak berpolitik kerana Islam mengajar kita untuk memilih pemimpin bila kita ada 2 orang bersama-sama.Inikan pula sebuah masyarakat.

Jangan kita tidak ambil peduli sejarah kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Pemimpin yang tidak jujur harus disingkirkan daripada perjuangan supaya mereka sedar bahawa tidak selamanya mereka akan berada di atas.

Kem Bestari Bahasa Arab

Panitia Bahasa Arab telah menganjurkan Kem Bestari Bahasa Arab untuk Kelas Aliran Agama (KAA) selama 2 hari bermula hari ini. Pelbagai aktiviti diadakan untuk melibatkan pelajar secara aktif. Teringat pada tahun 1983-85 ketika belajar bahasa arab di sekolah. Ada 3 patah perkataan yang paling diingati iaitu kirdun, akala, mauzon di mana jika diterjemahkan secara salah grammar bermaksud kera makan pisang. Bukannya bodoh tetapi minat yang kurang menjadikan pelajar berasa lemah untuk mendalaminya. Kini, minat telah ada tetapi terasa sukar untuk menguasai bahasa ini.
Lelaki melayu terakhir yang ada di mana-mana sekolah iaitu pelajar KAA. Ya Allah, berikan kemudahan untuk mendidik anak-anak lelaki kerana mereka terlalu jauh menyimpang.
Saf Muslimah yang menjadi teras kekuatan sekolah dewasa ini. Semua ini merisaukan ! Muslim banyak berlegar di kantin dan trend semua kerja untuk guru wanita akan meminggirkan anak jantan dari persada pendidikan. Tunggulah masa kehancuran kaum adam jika tiada usaha dilakukan.
Selawat yang disampaikan oleh bakal pemimpin masa depan

Monday, October 19, 2009

Belum jadi kaki... setakat rindu

Setelah 3 minggu memiliki basikal, kerinduan untuk mengayuh semakin kuat. Setiap hari ada saja rancangan untuk menggatih. Cuti Deepavali digunakan sebaik mungkin untuk tujuan menyihatkan badan. Jika ada orang sanggup menghabiskan belasan ribu ringgit untuk memiliki basikal, sebenarnya mereka sudah menjadi ketagih atau kaki. Tidak pelik bagi seorang kaki untuk menghabiskan simpanan untuk sesuatu kegemaran mereka. Kaki betina akan sanggup membuat apa saja demi seorang perempuan. Kaki bangku akan sanggup membuat seribu dalih untuk tidak turun ke padang. Aku belum menjadi kaki tapi kerinduan sudah ada. Semalam, sepasang cermin Oakley dan pemegang botol air telah dibeli kerana bila hati ku sudah rindu....

Sunday, October 18, 2009

Al Habib Munzir Al Musawa

Singgah solat di sebuah masjid lalu terbaca hebahan ini

Masjid Kota (Belakang Pasar Wakaf Che Yeh
Selasa 20/10/09
6.30 ptg - 10.00 mlm

Ceramah oleh Al Habib Al Musawa di mana majlis pengajian beliau dihadiri 6000 hadirin.

Dijemput beramai-ramai

Friday, October 16, 2009

Sri Aman-Bukit Jawa-Tasek Pauh-Jelor-Merkang

Bermula pukul 8.05 pagi tadi, aku telah keluar dengan Raleigh Diablo untuk senaman pagi. Jangkaan hari ini adalah melengkapkan perjalanan sejauh 20 km ke sekolah dan balik semula. Ini adalah untuk memudahkan perancangan untuk ke sekolah dengan basikal jika ada latihan sukan di waktu petang. Cuaca yang baik dan bertemankan radio IKIM, kayuhan demi kayuhan dilakukan sambil menghirup udara segar di pagi jumaat. Terfikir juga, alangkah ruginya aku kerana beberapa kereta yang memotong pada masa itu adalah sedang menuju ke Kuliah bersama TGNA di Kota Bharu. Insyallah di minggu depan, aku juga akan berada di sana.
Selepas 40 minit, aku sudah menghampiri simpang Selising yang bermakna aku sudah sampai tujuan yang sebenar. Semangat masih ada dan keinginan untuk mengayuh ke tempat kuliah juga semakin kuat. KB adalah lebih kurang 25-30 km lagi. Tak sanggup rasanya untuk kali ini. Lalu kuteruskan juga kayuhan sehingga ke JPJ timbang sebelum berehat sebentar di sebuah kedai makan. Nasi ayam ada dijual untuk tengahari dan 1 sen bagi setiap pinggan akan disedekahkan kepada pembinaan masjed. Itulah kerisauan orang islam bila ingin memohon derma untuk kebaikan. Nak dipohon lebih nanti tiada siapa yang menempahnya.
Aku berpatah balik dan membelok ke kiri di kampung banir belikong untuk mengelakkan kesibukan laluan PP-KB. Berehat seketika di sebuah jambatan yang mengalir dibawahnya air yang jernih begitu mendamaikan.
Dari Tasek Pauh, perjalanan diteruskan ke kg Jelor sebelum membelok melalui Baloh Negara di Kampung Merkang. Baloh ini dirasmikan oleh Paklah Badawi. Pemandangan yang menarik menjadikan perjalanan tidak membosankan. Sebaik tiba di rumah, terasa lenguh kaki dan yang pastinya perjalanan sejauh 28 km ini adalah rekod baru yang akan dipecahkan saban minggu dan bulan dengan izinNya.

Program Sekolah-Ibu bapa

Pihak Kaunselor dan PK1 telah menerima cadangan saya untuk mengadakan motivasi keibubapaan murid tingkatan 2 dan 4 sejurus selesainya peperiksaan PMR. Lebih kurang 700 ibu/bapa yang merupakan penjaga kepada murid SMKBJ. Jangkaan kedatangan adalah 400 tetapi yang hadir adalah sekitar 250 orang. Itulah hakikat yang terpaksa diterima. Sesuatu perlu difikirkan untuk mencari punca kepada masalah ketidakhadiran. Kalau kena gaya berpolitik, program begini boleh di buat pada waktu malam dimesjid tetapi melalui surat jemputan kepada ibu bapa mereka.
SMKBJ tidak kekurangan bakat qari. Ahmad Firdaus telah mengalunkan bacaan ayat suci Alquran dengan begitu baik dan berbanggalah ibu bapa yang mempunyai zuriat yang sentiasa menyejukkan hati orang tua.
Barisan pentadbir yang sentiasa peka dengan keperluan guru, staf dan pelajar. Pengalaman berbeza berkhidmat di bawah boss berlainan jantina memberikan input yang baik untuk menghadapi cabaran mendatang.
Ucapan pengetua yang menekankan kehadiran pelajar dan ibu bapa ke majlis sekolah. Semua pihak perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk kemajuan pendidikan anak-anak.
Ramai tetapi belum cukup ! Itulah gambaran jumlah hadirin ke Majlis yang penuh bermakna ini.

Tuesday, October 13, 2009

Putaran dunia...

Ini foto semasa di tingkatan lima semasa peperiksaan SPM sedang berlangsung. Hari ini, apabila melihat pelajar tingkatan lima dengan rambut ala ultraman maka inilah jawapannya; putaran dunia. Kalau dulu, rambut yang diputar-putar ala-afro dan ditarik ke dahi menjadi trend. Aduh! Sukarnya di kala itu, guru mencari, kita bersembunyi.
Apabila melihat pelajar tidak memasukkan baju ke dalam, teringat baju bundle warna putih yang senteng ketika di tingkatan lima dulu. Kini, giliran kita pula menjaga tingkah laku mereka. Itulah putaran dunia.

Monday, October 12, 2009

Peperiksaan PMR 2009


Satu kelainan dalam peperiksaan PMR pada tahun ini ialah guru terpaksa membahagikan penutup hidung kepada semua calon untuk mengelakkan jangkitan H1N1. Peruntukan yang besar telah digunakan termasuk penyediaan jangkasuhu di setiap pusat / sekolah. Dengan calon seramai 387 orang yang dibahagikan kepada 3 pusat adalah agak mencabar. Semasa ini, calon sedang menjawab soalan sejarah. Besok adalah merupakan hari terakhir dan pihak sekolah amat risau dengan tingkah laku mereka apabila tamat peperiksaan nanti.
Mengumpulkan mereka pada setiap sesi menjadi agenda penting kerana sikap pelajar lelaki yang kurang berdisiplin melambatkan pergerakan. Aku masih ingat pesanan; jangan pukul pelajar sewenang-wenang

Sunday, October 11, 2009

Masih sama .... PRU13 dan PRK Bagan Pinang

Yang kalah tetap kalah dan yang menang tetap menang. Pengundi masih mempunyai selera yang sama. Yang sama juga adalah janji Allah terhadap siapa yang sedia berjuang untuk menegakkan nama ALLAH di muka bumi ini.

sudah bertunas...

Ketika ke kedai membuat kunci pendua di pekan, aku ternampak benih kacang mior (bendi) yang menjadi kegemaran kedai mamak. Apa lagi, terus terlintas untuk menggunakan masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Dengan kos rm 3.00 , aku mencuba dengan menyemainya di dalam pasu. Alhamdulillah, sudah bertunas.
Hari ini, benih-benih bendi akan disemai lagi bersama cili yang baru dibeli semalam. Hasilnya insyallah dalam masa 68 hari. Semoga berjaya membuat singge kace mior hasil tangan sendiri.

Saturday, October 10, 2009

Kegembiraan Kanak-kanak

Apa erti kegembiraan bagi seorang kanak-kanak? Adakalanya, kegembiraan adalah ketika bersama keluarga terutama ibu dan bapa mereka. Kadang-kadang , kegembiraan datang apabila mereka bersama kawan-kawan. Berjauhan daripada keluarga juga merupakan detik kegembiraan. Itulah kepelbagaian bagi insan yang sedang membesar. Jika ada kelapangan, bawalah anak-anak meneroka sesuatu yang baru kerana kita tidak pasti apakah kecenderungan mereka. Howard Gardner telah menyatakan bahawa individu mempunyai kecenderungan yang berbeza. 'Being a naturalist is one of the multiple inteligences'. Jangan dikurung mereka di dalam rumah. Jika khuatir akan keselamatan, bersamalah dengan mereka.
Pemandangan di puncak titiwangsa yang dingin dan mendamaikan.
Bersama binatang juga memberikan pengalaman yang berbeza dan indah.
Melihat pemandangan dari menara juga sebagai satu aktiviti membina pengalaman baru bagi kanak-kanak.

Keseronokan memberi makan ikan sebagai satu cara merangsang pemikiran dan mengajar menyayangi makhluk ciptaan Allah.

Tuesday, October 6, 2009

Viva pula.....

Keluarga kami mendapat ahli baru iaitu Perodua Viva Elit untuk kegunaan ke Mesjid. Pada asalnya Proton yang ada akan digantikan melalui skim pelupusan kereta lama tetapi akhirnya cara yang lebih mudah dan cepat digunakan iaitu menjual kereta lama dan membeli kereta baru dengan kos yang hampir sama.
Inilah Proton yang banyak berjasa kepada kami sekeluarga sejak 1991. Sebut sahaja negeri di semenanjung, semuanya telah dibawa oleh salah seorang ahli keluarga 252B. AKhirnya ia dijual untuk kebaikan semua.

Monday, October 5, 2009

Pakwar keluar 3 hari.....

Sejak Khamis yang lepas, Pakwar dan isteri telah keluar selama 3 hari. Alhamdulillah perjalanan pulang ke Kedah amat lancar dengan menunggang Kancil 660. Kelajuan 90km/j adalah selesa dan santai walaupun terpaksa melalui Bukit Pukat di Lebuh raya Timur-Barat. Disinilah banyak lori yang tersangkur sehingga pecah 'gearbox' dsb kerana ketinggiannya.

Kali pertama juga rasanya pakwar bergerak jauh tanpa membawa laptop kerana memikirkan kesukaran penjagaannya selama 3 hari ini. Kenduri kahwin sepupu belah isteri juga telah selesai dengan jayanya walaupun lebih kurang 4000 jemputan yang hadir.

Dari Kedah, kami terus ke Shah Alam untuk menghantar sang kancil dan terus balik dari Shah Alam dengan bas. Rupanya Seksyen 17 telah banyak benar berubah sejak ditinggalkan 20 tahun yang lalu. Cuma yang masih setia ialah BSN yang saban bulan menjanjikan elaun makan dan belajar pada ketika itu. Kedai gambar Foto zzoo0m juga tidak kelihatan lagi. Insyallah pakwar akan mencari ruang untuk melihat seksyen 17 lagi terutama di waktu siang. Dalam masa 3 hari ini, banyak peristiwa yang berlaku yang akan diceritakan nanti, Insyallah.

Mari kita Puasa Enam !