Sunday, June 7, 2009

Pesanan dari Stadium Melawati

Secara kebetulan berkunjung ke rumah ipar di Shah Alam dan salah seorang ahli keluarga menjadi perwakilan, aku turut terpanggil untuk ke Stadium Melawati buat kali pertama setelah tertangguh untuk menonton Konsert Rock ROhani dek kerna terkejut dengan harga tiket. Apa yang menjadi sebab aku teringin ke situ adalah kerana dua perkara. Yang pertama, aku berpeluang mendengar pidato daripada dua orang pemimpin utama negeri iaitu Menteri Besar dan juga mendengar penerangan seorang ahli mesyuarat Kerajaan (EXCO) yang berkaitan dengan pembangunan modal insan. Bagi aku, untuk menjadi pemimpin yang hebat, kita hendaklah mendapatkan sebanyak mungkin ilmu tentang kepemimpinan supaya kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan cabaran kepemimpinan.

Yang pertama, pesanan dari stadium melawati ialah betapa analisis menunjukkan bahawa kecelaruan dan pincang laku masyarakat adalah kerana kurangnya didikan daripada ibu bapa. Kesibukan masyarakat bandar untuk mencari rezeki telah mengorbankan rezeki dan amanah yang telah sedia ada di dalam rumah iaitu anak. Anak-anak tidak berjumpa dengan ibu atau bapa bermulanya mereka melangkah keluar setiap pagi dan bernasib baik jika bersua di malam hari. Sebagai bakal pemimpin di sekolah, kita perlu sedar bahawa setiap jiwa yang melangkah ke dalam dakapan kita sebenarnya kosong jiwa mereka daripada asuhan dan didikan. Jika kita turut membiarkan mereka membesar berdasarkan gerak hati semata-mata maka kita gagal untuk membina jiwa mereka dan jiwa yang kacau ini akan bersifat serakah apabila berada di alam masyarakat.

Yang kedua, pesanan tentang perlunya memimpin dengan penuh ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberkesanan. Pemimpin sekolah hendaklah telus dalam menjalankan amanah yang diberikan melalui duit rakyat. Laksanakan program yang betul dan sesuai dengan keperluan murid-murid. Tentukan setiap sen yang dibelanja , diketahui oleh guru-guru terutama melibatkan wang kerajaan, SUWA dan asrama. Apabila kita telah bersetuju untuk bertanggungjawab maka tugas kitalah untuk memastikan keberkesanan setiap tindakan yang kita lakukan. Laksanakan tugas sebagaimana kehendak islam.

Yang ketiga, Ya Allah, panjangkan umur beliau kerana terlalu banyak manfaatnya kehadiran beliau di dalam masyarakat. TGNA sentiasa jujur dan telus dalam perkataan walau di mana beliau berucap. Dengan menggunakan ayat-ayat Quran beliau berhujah yang menundukkan pandangan lawan dan mengkhusyukkan rakan taulan. Jika kepemimpinan Rabbani hendak diukur, pada diri beliau lah ukuran yang sewajarnya untuk dipiawaikan. Setiap amalan kepemimpinan lahir dari perasaan tawadduk dan semata-mata menurut kehendak dari Maha Pencipta. Bila berbicara tentang ketuhanan, setiap huruf sampai maksudnya kepada pendengar, bila bercakap tentang kemanusiaan, tidak ada beza antara sesama melainkan ketakwaan dan keadilan dalam tindakan. Membangunkan manusia dan peraturan tanpa ada kerisauan kerana percayakan janji Allah. Terlalu pintar bicara Menteri Besar ini yang perlu dikagumi oleh setiap saf kepemimpinan kerana setiap kata yang diambil dari empunya langit dan bumi penuh keberkatan. Semaikan lah semangat ini untuk anak bangsa pimpinan kita nanti supaya ajaran islam tidak hilang daripada dada umatnya. Jangan percayakan moral secara keterlaluan kerana moral yang buruk jika diterima oleh masyarakat akan menjadi mulia di mata mereka. Jika cintakan manusia, manusia akan mati. Jika cintakan Allah, Allah lah yang kekal selama-lamanya.

Sepotong ayat yang indah didengar.... politik islam lah satu-satunya yang membicarakan hal dunia dan akhirat yang tidak ada pada komunisme, sosialisme, nasionalisme dan demokrasi. (TGNA, 2009).

1 comment:

Yati Wahab said...

saya bersetuju dengan anda sesungguhnya beliau adalah pemimpin contoh era ini...malahan dunia juga mengkaguminya cuma tidak ditonjolkan...saya juga berminat membaca hasil pemikiran beliau...dan cukup berkesan..
malahan sesiapa pun sesuai membacanya cuma kadang2 ada sesetengah dari kita menyempitkan pemikiran dan hanya melihat dari satu sudut sahaja...

pemimpin yang ideal melihat sesuatu dari sudut berbeza dan multiframe...

tahniah...dalam ksibukan anda dapat membahagikan masa mengambil peluang mendapat input yang bermanfaat utk jadi pemimpin ideal dan ihsan...

boleh ikut model pemimpin rabbani...