Friday, November 20, 2009

Ayah tetap bangga...

Semalam orang bercerita tentang kehebatan anak-anak
5A sudah digenggam, tahniah!
Anak-anak orang semuanya
Ramalan mereka benar belaka

Tidak mengapa anakku
Mereka sudah dipilih sejak kecil
sebelum melangkah ke tahun 4 lagi
ketika itu kau sudah dipinggirkan

Mereka diminta hadir ke sekolah
Kau pula diharapkan demam di hari peperiksaan
Bukan kerana ayahmu seorang doktor
hanya kerana engkau lembam

Ayah tidak pernah memohon
setiap malam ketika bertemu maha pencipta
untuk melihat cahaya mata ini
besar otaknya tetapi kecil akalnya

Biarlah mereka gembira
kerana mereka telahpun 'well-prepared'
merangkaklah selagi terdaya
sehingga engkau dewasa

selang purnama nanti anakku
engkau akan kembali kecil
melangkah ke alam menengah
apakah nanti nasib mu

Semua orang nanti bercakap tentang kecemerlangan
tentunya engkau akan terus tertinggal
hanya doa dari ayahmu
agar ada insan yang benar-benar bergelar guru yang akan membantu.

(Nukilan Awe Donde, 2009)

1 comment:

Yati Wahab said...

Ayah perlu bangga kerana anak tentunya bersih dosanya dan bakal menunggu ayah di syurga...

jika anaknya sempurna belum tentu tenang hidup ayahnya...kerana anak panjang akalnya...

apa pun terima seadanya..