Tuesday, May 12, 2020

Tema Hari Guru 2020

Satu Kupasan Ringkas Tentang Tema Hari Guru 2020.

Tema Hari Guru 2020 yang dimuat naik oleh KPPM iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” adalah sangat menarik untuk dikupas tanpa melihat kepada hasrat KPM sendiri. Biarlah KPM yang menjalankan tanggung jawab mereka untuk memastikan tema ini disuntik ke dalam jiwa murid-murid melalui guru di sekolah.
Berguru demi ilmu adalah detik yang biasa dicapai oleh orang dewasa setelah mereka melepasi asas-asas dalam kehidupan. Kita mengambil contoh, seorang Ketua Setiausaha Kementerian sebagai insan yang pernah menjadi murid dan menjawat jawatan tertinggi dalam bidang pentadbiran awam. Ada dalam kalangan mereka mula belajar mengaji quran dengan guru di Pusat Pengajian secara formal. Ketika ini umur mereka sudah mencecah 50-an yang kalau diambil kira sepatutnya mengaji quran ini adalah asas atau tapak pertama kehidupan. Adakah mereka tidak mengaji dulu dengan tok guru semasa mereka masih kecil atau dibangku sekolah? Ini lah bagi saya mengapa tema kali ini memilih frasa begitu. Berapa kerat kita berguru demi ilmu semasa bersekolah dahulu? Walaupun kadang-kadang saya fikir macam tiada pahala pula kerana kita disuruh belajar kerana Allah. Mungkin ini jalan pertengahan dengan mengambil kira situasi negara. Perkara ini boleh dibincang oleh pakar dalam bidangnya.
 Mengupas maksud Berguru demi ilmu bagi seorang murid bermula di sekolah rendah bermakna kita dalam usaha  untuk mengubah landskap pendidikan di negara ini. Apa yang dihasrat dalam Falsafah Pendidikan Negara adalah untuk membina insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Berguru demi ilmu untuk jasmani yang seimbang bermula dari gaya hidup yang sihat. Apakah keperluan Gaya Hidup Sihat (GHS) untuk tempoh 6 tahun bagi memastikan mereka akan mendapat ilmu tentang kesihatan fizikal. Mungkin ada keperluan untuk menukar subjek PJPK  kepada Kesejahteraan Fizikal (KF) untuk Tahun 1 – 6.  
Ujian SEGAK adalah sebahagian daripada apa yang ada tetapi nampaknya kita perlu tambah dan membuat modifikasi kepada masa 6 tahun mereka di sekolah untuk mencapai satu tahap di mana mereka dapat mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian. Selepas itu, mereka akan naik ke tingkatan 1 – 5. KF yang diperlukan adalah mendalamkan kefahaman sehingga mereka mampu mencipta aktiviti yang dibina hasil daripada kefahaman mereka dalam bidang kesihatan fizikal. Kita tidak perlu lagi memasukkan semua jenis sukan ke dalam buku teks sekolah. Saya suka untuk melihat bagaimana suasana aktiviti fizikal di sekolah adalah hasil ajaran guru di dalam kelas yang mana pengetahuan guru KF amat membantu mereka membuat analisa tentang gaya hidup sihat.
Berguru demi ilmu juga menjadikan murid-murid lebih cakna tentang emosi diri. Mereka perlu diberikan input yang sesuai untuk mengawal emosi. Kita bukan mengundur tetapi melihat kembali zaman 70-an adalah sangat memberi kesan kepada peningkatan emosi murid-murid. Banyak aktiviti dijalankan yang memberi kesan emosi yang sangat baik kepada anak-anak murid. Jika kita bertanya kenapa sekarang cerita Korea lebih disukai berbanding cerita Inggeris? Manusia suka kepada kesan emosi kepada mereka berbanding cerita peperangan zaman moden yang kadang-kadang semuanya menggunakan kesan khas semat-mata. 
Elemen kesusasteraan dan seni perlu ditambahbaik dalam konsep Berguru Demi Ilmu kerana dari aktiviti beginilah kita menyentuh jiwa halus manusia. Mereka perlu berkarya dan masalah subjek yang ada kini adalah ia terlalu rigid sehinggakan semuanya seakan boleh disusun seperti bermain blok kayu. Bagaimana hendak kita terapkan elemen Berguru Demi Ilmu jika semua boleh dicatur. Kurangkan  subjek dan lebihkan tema yang perlu kepada kanak-kanak dan remaja adalah lebih penting dengan tema Hari Guru 2020.
Membina rohani dalam diri sangat sukar dengan kaedah sekarang. Guru Pendidikan Islam mengharapkan A berbanding menghayati dan mendalami ilmu itu sendiri. Pendidikan Moral juga begitu. Semua nilai adalah dihafal untuk menjawab peperiksaan. Bagaimana kita nak ubah mereka mulai 2020 ini. Kandungan terlalu banyak menyukarkan mereka membuat penghayatan tentang nilai kemanusiaan itu sendiri. 
Isu intelek adalah lebih sulit untuk dimulakan dengan konsep Berguru Demi Ilmu. Kecenderungan mereka pelbagai. Minat mereka pelbagai. Walaupun kita telah menyediakan acuan berdasarkan kecenderungan tetapi kita masih meletakkan nilai manusia berdasarkan pekerjaan. Berhentilah. Jangan lagi ada yang mengandaikan bahawa orang terhebat adalah pekerjaan ini dan kerja itu hanya kerja biasa. Macam mana kita nak beritahu mereka bahawa setiap ilmu yang ada dapat adalah untuk memberi manfaat kepada manusia lain. 
Untuk membina Generasi selepas Covid 19 sebagai generasi baharu. Frasa kedua yang menjadi implikasi kepada Berguru Demi Ilmu iaitu Bina Generasi Baharu.
Generasi Baharu yang kita ingin bina perlu perubahan secara total. Semua Bahagian di Kementerian Pendidikan dahulu berubah dahulu. Cukuplah melabelkan sekolah dan kelas. Mengukur melalui akademik patut dihukum selepas ini. Kita cuba dan laksanakan ini sehingga mereka berusia 15 tahun. Jika kita berjaya dalam masa 9 tahun maka kita boleh lihat murid-murid berusia 16 tahun kita lebih berdaya saing di mana mereka akan mempunyai kompetensi diri, keyakinan, perwatakan yang mampu menjadi generasi yang hebat. 
Jangan berlengah lagi untuk memulakan . selepas 9 tahun maka kita akan masuk 2030. Kemana hala tuju negara? Kalau dulu kita mungkin lihat TS 25 mampu dicapai tetapi pencapaian yang bagaimana? Adakah Pengurusan Berasaskan Sekolah akan Berjaya? 
Tema ini amat sesuai untuk membuat perubahan.  Guru perlu berubah 100 peratus termasuk yang ada di institusi pendidikan atau universiti. Jika perlu, guru bertaraf kontrak adalah perlu, lakukan nya. 
Mungkin kaedah 20 tahun + 10 tahun untuk pekerjaan boleh difikirkan bagi menjadikan pendidikan negara kita lebih mampan. In Sha Alllah.
* Ini hanyalah pandangan penulis sahaja dan tidak mewakili mana-mana jabatan atau organisasi.

1 comment:

Marsya said...

mari gabung bersama kami di Aj0QQ*co
BONUS CASHBACK 0.3% setiap senin
BONUS REFERAL 20% seumur hidup.