Saturday, August 30, 2008

authentic learning as I understood

Frasa diatas adalah pernyataan yang menjelaskan fahaman saya kepada dua jenis pembelajaran iaitu pembelajaran secara tradisional yang berpusatkan guru atau “talk and chalk’ dan pembelajaran yang ‘sebenar’ atau ‘tulin’ sebagaimana yang dinyatakan oleh penulis. Membuat perbandingan antara kedua secara umum akan memberikan kefahaman yang lebih jelas tentang pembelajaran ‘authentic’. Kita dapat memahami bahawa pembelajaran tardisional adalah di mana pelajar akan menerima dan memahami maklumat melalui apa yang dikeluarkan dan dinyatakan oleh guru mereka di dlaam kelas. Guru akan menguasai kelas pengajaran dan apa yang diberikan oleh guru itulah yang menjadi kefahaman pelajar.
Penulis telah menjelaskan bahawa pembelajaran ‘authentic’ pula melangkaui apa yang berlaku seperti di atas. Ia merupakan satu sesi pembelajaran yang melibatkan penglibatan pelajar secara aktif dalam menghasilkan pengetahuan ataupun mengeluarkan pengetahuan dan kefahaman yang telah ada dalam diri mereka. Untuk menjadikan proses pembelajaran begini maka guru sangat berperanan untuk menguasai beberapa kaedah pengajaran supaya sesi yang dijalankan di dalam kelas adalah merupakan pembelajaran ‘authentic’.
Dalam konteks negara kita, Pusat Perkembangan Kurikulum telah melakukan semakan terhadap kurikulum bermula pada tahun 2002 - 2004 dengan memberikan penekanan kepada kaedah pengajaran guru di dalam kelas yang bertujuan untuk mengubah cara guru mengajar di dalam kelas. Terdapat 9 jenis kaedah pengajaran yang diberikan kepada guru termasuklah di antaranya konsep Belajar Cara Belajar (BCB), Kemahiran Berfikir (KB), Kontekstual, Konstruktivisme, Pembelajaran Akses Kendiri (PAK), Kajian Masa Depan (KMD), Pembelajaran Masteri, Kecerdasan Pelbagai dan Kemahiran Teknologi Maklumat (ICT). Kesemua konsep pengajaran yang dinyatakan adalah bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif pelajar semasa kelas pengajaran. Konsep-konsep pengajaran ini juga amat relevan untuk dikaitkan dengan pembelajaran ‘authentic’.
Penulis juga menyatakan bahawa pembelajaran ‘authentic’ akan berlaku jika pelajar dapat menyusun maklumat yang diperolehi secara bermakna dan melihatnya dari pelbagai perspektif. Perkara ini akan berlaku jika terdapatnya pengajaran yang memerlukan pelajar menggunakan fikiran mereka dan memberikan respon terhadap apa yang disampaikan oleh guru. Guru hendaklah selalu menggalakkan pelajar untuk membuat pertanyaan dalam diri mereka di atas setiap perkara yang dibincangkan, diperhatikan atau apa sahaja yang memerlukan mereka berfikir sendiri tanpa mendapatkan maklumat tersebut melalui guru. Setiap masalah yang dikemukakan oleh guru haruslah diselesaikan oleh pelajar itu sendiri melalui penganalisisan, inkuiri pertemuan, membuat inferens dan sebagainya. Pembuktian yang diperolehi melalui aktiviti hands-on ini akan menjadikan pengetahuan yang mereka perolehi adalah benar- benar dapat membantu mereka pada masa yang lain.
Apa yang telah diperolehi di dalam kelas pembelajaran adalah tidak mencukupi jika ia tidak dilengkapkan dengan aplikasi pengetahuan tersebut di luar daripada persekitaran sekolah. Pembelajaran ‘authentic’ yang lengkap menjadikan pelajar akan dapat ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan orang- orang dewasa yang berada di dalam komuniti. Mereka dapat sama- sama berkongsi idea dengan mengaitkan dengan apa yang dipelajari di sekolah. Jika seorang pelajar yang mengikuti kelas kemahiran hidup di sekolah akan dianggap telah mengikuti pembelajaran ‘authentic’ jika dia mampu menasihatkan ahli keluarganya daripada membuat kesalahan penyambungan eletrik. Begitu juga seorang pelajar di dalam kelas prinsip akaun akan dapat membantu ibu mereka dalam mengira keuntungan perniagaan yang dijalankan. Apatah lagi jika kita mengambil contoh seorang pelajar yang dapat memberikan kuliah agama di surau walaupun baru berada di tingkatan tiga di sebuah sekolah Menengah Kebangsaan Agama.
Apabila mengaitkan pula dalam konteks penyeliaan pengajaran yang menjadi asas kepada perbincangan ini maka kita akan dapat melihat bagaimana seorang penyelia harus menguasai kaedah – kaedah pengajaran yang menjurus kepada pembelajaran ‘authentic’ supaya mereka dapat memberikan bantuan langsung kepada guru lain supaya matlamat pengajaran akan dapat dicapai. Penyeliaan yang berlaku akan mencapai ‘mutual understanding’ jika semua guru memahami maksud sebenar pembelajaran ‘authentic’ kerana apa yang akan dipersetujui adalah merupakan satu bentuk penyeliaan secara kolaboratif antara penyelia dan guru yang diselia.
Kesimpulannya, jika ‘authentic learning’ yang dikemukakan oleh Sergiovanni & Starratt (1998) ini berlaku di setiap kelas dan sekolah yang ada di negara kita, maka kita akan dapat menghampiri dan memahami maksud ‘ideal school’ yang menjadi idaman setiap individu yang ingin melihat satu anjakan paradigma berlaku dalam pendidikan terutamanya di negara ini. Sudah tentu kes ‘Metro City’ tidak akan menjadi tajuk perbincangan lagi kerana semua guru telah berkongsi nilai yang sama yang menjadi matlamat semua warga sekolah.

No comments: