Saturday, September 6, 2008

Kesan Pincang Laku Pengetua Terhadap Guru.

Tajuk
Kesan Pincang Laku Kepemimpinan Pengetua Terhadap Guru
Oleh
Abdul Ghani Abdullah, Aziah Ismail & Tang Keow Ngang (2008)
Satu ‘Critique’
Kajian yang telah dijalankan ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti trait- trait kepemimpinan yang dikatakan sebagai pincang laku, menjelaskan kesan pincang laku terhadap guru dari segi psikologi, fizikal dan prestasi dalam bilik darjah dan sekolah. Kajian ini juga bertujuan untuk membina model pincang laku kepemimpinan dan kesannya terhadap guru mengikut konteks Malaysia. Penyelidik berharap agar pendekatan kualitatif yang digunakan dengan teknik persampelan ‘snowball’ akan menjawab objektif yang telah dinyatakan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga tahap pincang laku kepemimpinan sekolah iaitu awal, sederhana dan kritikal yang mewakili tahap pincang laku yang memberikan kesan kepada guru dari segi fizikal dan emosi. Pincang laku ini juga telah membawa kesan kepada organisasi sekolah itu sendiri dan juga kepada pendidikan negara secara keseluruhan.
Kajian ini adalah sangat bersesuaian dan bertepatan dengan konteks pengurusan dan kepemimpinan pendidikan yang sentiasa berubah serta memerlukan penambahbaikan dan penyesuaian daripada apa yang diperolehi oleh penyelidik dalam bidang pengurusan kerana institusi pendidikan adalah berbeza dengan bidang pengurusan yang lain terutama yang bermatlamatkan keuntungan. Sebagai contohnya, kepemimpinan instruksional dan penyeliaan dalam pendidikan memerlukan pendekatan dan penyelidikan yang berbeza berbanding teori pengurusan dan kepimpinan bidang lain yang ada pada hari ini. Oleh itu, apa yang dilakukan oleh Abdul Ghani et.al. merupakan satu usaha yang patut dipuji dan dihargai melalui perbincangan dan tindakan selanjutnya supaya usaha mereka tidak sia- sia dan dapat membantu ke arah peningkatan kualiti kepemimpinan pendidikan terutama di sekolah- sekolah di negara kita.
Pincang laku pengetua dalam kajian ini telah menjadi asas kepada ulasan dan kupasan ini tanpa memberikan komen secara terperinci terhadap setiap maklumat yang diperolehi daripada kesemua informan kerana penyelidik tidak menyatakan secara jelas tahap hubungan di antara pengetua atau guru besar dengan individu yang terlibat sebagai informan. Oleh yang demikian, adalah sukar untuk mengandaikan setiap tindakan yang dilakukan oleh pengetua mereka adalah sebagai pincang laku pengetua.
Pincang laku yang berlaku dalam kajian ini boleh dikategorikan kepada beberapa faktor yang menjadi penyebab kepada tindakan- tindakan oleh pengetua dan guru besar yang terlibat. Faktor yang pertama yang boleh dikaitkan dengan pincang laku ialah tiada perkongsian misi dan visi sekolah di antara pemimpin sekolah dengan warga sekolah terutamanya guru- guru. Ini menyebabkan berlaku salah faham di antara kedua- dua pihak sama ada dari segi pengurusan dan juga pengajaran. Akibatnya, guru tidak berkongsi dengan kepemimpinan sekolah mengenai apa yang telah dirancangkan. Dalam konteks perancangan strategik, setiap pelan tindakan dan pelan operasi pihak guru adalah tidak bertepatan dengan apa yang dirancang oleh pengetua maka kesannya adalah berlakunya tingkah laku pincang seperti yang didapati dalam kajian.
Faktor yang kedua adalah sejauh mana pengetua dan guru besar ini mempunyai pengetahuan tentang teori kepimpinan dan pengalaman dalam memimpin organisasi terutamanya di sekolah. Ini adalah kerana ramai di antara guru yang dilantik ke jawatan tersebut berdasarkan kepada kekananan mereka dalam kerjaya. Oleh itu, mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin terutama dari segi memenuhi kehendak staf sebagai ahli dalam organisasi dan pada masa yang sama untuk memastikan matlamat organisasi dapat dicapai. Persoalan yang timbul di sini apakah teori kepemimpinan yang mereka gunakan dan adakah mereka telahpun didedahkan dengan kursus- kursus yang sesuai dengan tugas mereka sebagai pemimpin sekolah. Pincang laku yang berlaku dipercayai akibat kurangnya pengetahuan mereka untuk memimpin sesebuah organisasi berdasarkan kepada teori- teori kepimpinan yang sesuai.
Faktor yang ketiga yang menyebabkan pincang laku pemimpin sekolah adalah kerana kurangnya kebebasan kepada mereka untuk memimpin sekolah. Mereka terlalu terikat dengan arahan dan pelbagai peraturan yang wajib dipatuhi dari pihak ‘stakeholders’ terutama daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah/ Gabungan (PPD/PPG). Semua arahan ini mempunyai tempoh perlaksanaan dan kekangan ini menyebabkan mereka sentiasa rasa tertekan dan membawa kepada tingkah laku yang pincang terhadap guru. Ini merupakan satu karenah birokrasi yang bertujuan untuk menyeragamkan sekolah- sekolah di bawah sistem berpusat seperti negara ini tetapi dari sudut yang lain telah membawa kepada tekanan kepada warga sekolah sehingga berlakunya pincang laku sama ada di sedari ataupun tidak. Mungkin dengan adanya sekolah kluster yang memberikan autonomi kepada sekolah yang dilihat akan mengurangkan karenah birokrasi dan pincang laku akan dapat dielakkan.
Apa yang berlaku di antara pemimpin sekolah dan guru berdasarkan dapatan kajian ini berpunca daripada ketiga- tiga faktor di atas. Apabila semua warga sekolah berkongsi dalam menetapkan misi dan visi sekolah maka setiap tindakan yang dilakukan sama ada oleh pengetua dan guru adalah menjurus kepada pencapaian perancangan strategik sekolah yang telah dibina bersama. Dengan itu pincang laku ini akan dapat dielakkan dan masing- masing memahami tugas dan peranan mereka. Apabila pemimpin sekolah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang teori- teori kepimpinan yang boleh digunakan maka setiap pendekatan sama ada direktif, kolaboratif ataupun non- direktif adalah sesuai dengan individu yang ada dalam organisasi. Oleh yang demikian, tidak akan timbul pincang laku pengetua kerana jauhari telahpun mengenal manikam. Apabila pengetua diberi kebebasan atau autonomi untuk memimpin dan menentukan hala tuju sekolah maka warga sekolah berpeluang untuk menikmati peringkat ‘self-actualization’ dalam teori Maslow. Setiap kerja yang dilakukan adalah untuk memenuhi kepuasan diri masing- masing dan ini akan dapat mengelakkan pincang laku pengetua terhadap guru- guru yang melakukan tugasan tanpa tekanan daripada mana- mana pihak.
Dalam konteks penyelidikan yang telah dijalankan, kita akan mendapati bahawa kekuatan kajian ini adalah kerana pendekatan kualitatif yang digunakan telah membantu mereka untuk mendapatkan data yang lengkap bagi memenuhi tujuan kajian dilakukan. Teknik persampelan ‘snowball’ memberikan keyakinan kepada informan untuk meluahkan apa yang berlaku kepada mereka. Dengan itu, setiap informan yang terlibat telah terpanggil untuk memberikan respon yang sesuai dengan tujuan kajian penyelidik. Kebebasan yang diberikan melalui soalan temubual secara ‘open-ended’ dan tanpa bersemuka menggalakkan kepada jawaban yang lebih terbuka.
Apa yang menjadi kelemahan dalam kajian ini adalah kurangnya maklumat mengenai pengetua atau guru besar tentang pengalaman dan pengetahuan tentang kepemimpinan yang ada pada mereka kerana kedua- dua ini akan mempengaruhi tindakan yang dilakukan oleh pemimpin sekolah terhadap guru mereka. Jika maklumat ini diperolehi maka pincang laku yang dikatakan oleh guru- guru di bawah pimpinan mereka ini akan dapat dianalisiskan dengan lebih terperinci.
Kesimpulannya, penyelidikan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh dimantapkan lagi namun dapatan kajian menunjukkan bahawa dalam konteks negara kita, pincang laku pengetua adalah disebabkan faktor luaran yang boleh dielakkan dengan melakukan perubahan dalam sistem pendidikan yang sedia ada dengan mengurangkan karenah birokrasi, pengupayaan kuasa yang lebih kepada pimpinan sekolah dan pemilihan pengetua atau guru besar yang berkaliber untuk menerima tanggung jawab.



1 comment:

Jubah hitam said...

kawe wi A demo, bereh ko