Tuesday, September 9, 2008

IPK : Refleksi 8 (Interpersonal skills)

Dalam masa dua minggu ini saya ingin meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT mungkin dengan keberkatan Ramadhan Al Mubarak , saya cuba menilai kembali apa yang dipelajari selama ini dalam YXGA 6105. Sukar digambarkan kegembiraan bila terbuka hijab akibat kelemahan diri saya sendiri selama ini. Mungkin tahap perkembangan saya di IPK masih di peringkat bawah yang menyebabkan saya hanya memahami apa yang dibincangkan di dalam kelas dan berfikir selaras dengan konteks pembelajaran semasa sahaja. Sejujurnya , bila saya melihat balik kandungan buku Glickman et.al. bermula satu bab ke bab yang lain barulah saya dapat mengaitkannya dengan penyeliaan yang dibincangkan sehingga ke hari ini.
Apa yang telah dibincangkan setakat ini rupanya masih dalam konteks pra syarat (prerequisites) sebagai seorang penyelia iaitu pengetahuan dan interpersonal. Manakala pra syarat seterusnya iaitu kemahiran teknikal masih belum dibincangkan. Bagi saya walaupun cara perbincangan yang tidak tersusun telah berlaku tetapi tidak timbul masalah untuk memahaminya kerana saya yakin bahawa penghayatan saya telah berkembang tumbuh dalam konteks penyeliaan yang berasaskan kepada ‘developmental approach’.
Dalam konteks kemahiran ‘interpersonal’ pula, perkaitannya adalah sangat rapat dengan memahami perkembangan guru sebagai orang dewasa (bab 4). Perbincangan hari ini melibatkan empat pendekatan iaitu ‘non-directive’, ‘collaborative’, ‘directive informational’ dan ‘directive control’. Bagaimana seorang penyelia hendak memilih penggunaan pendekatan adalah bukan terletak pada diri penyelia tetapi dengan melihat kepada guru yang diselia berdasarkan kepada tahap perkembangan mereka. Pengetahuan penyelia tentang bagaimana guru sebagai orang dewasa belajar, tahap perkembangan mereka dari segi kognitif- ego, moral, konsep dan sebagainya akan menentukan pendekatan yang sesuai bagi menjamin kesinambungan kerana penyeliaan berkait dengan perubahan dan anjakan paradigma. Jika ini tidak berlaku maka kita boleh katakan bahawa penyeliaan belum berlaku. Inilah yang membezakan antara penyeliaan dengan penilaian atau pencerapan.
Saya sangat bersetuju bahawa ramai nazir yang datang ke sekolah bertindak sebagai pemeriksa yang menilai guru dan proses ini tidak berkaitan dengan penyeliaan. Ia tidak bercirikan ‘school-based’ dan adalah lebih baik jika penyelia formal di sekolah dipilih mewakili jemaah nazir kerana mereka lebih mengenali siapa guru mereka dan pengupayaan (empowerment) yang menjurus kepada serampang dua mata ini bagi saya akan mampu membawa kepada perubahan dan penambahbaikan ke arah mencapai sekolah yang berkesan.
Apabila platform penyeliaan saya mula menuju ke arah kolaboratif secara sedar dan faham maka saya menganggap apa yang ideal sebelum ini akan menjadi realiti yang mampu mengubah kepercayaan (belief) yang telah menebal dalam diri masing- masing. Persoalannya, adakah saya masih berada dilandasan yang betul kerana perjalanan yang semakin jauh akan menyukarkan perjalanan balik ke pangkal jalan. Bagaimanapun semua ini menjadi motivasi untuk mencapai kepuasan diri sebagaimana diperkatakan oleh Maslow dan Herzberg’s.

2 comments:

Jubah hitam said...

A- (8/10) kalu tok puah hati mari jupe saya kat pejabat di IPK

ARIN said...

menanti munculnye dakwah,politik dan politik dakwah