Monday, December 1, 2008

Ikhlas Tapi Jauh

Saya tertarik untuk membicarakan tentang penyokong wadah perjuangan Islam melalui Pakatan Rakyat perlu melakukan sesuatu yang ‘beyond expectation’ atau ‘out of the box’. Setelah 9 bulan menguasai lima buah negeri melalui Pilihanraya Umum 8 Mac 2008 maka kita telah dapat melihat lebih ramai rakyat yang mula menunjukkan sokongan yang lebih terbuka kepada parti-parti di bawah pakatan rakyat terutama PAS terutama dalam kalangan golongan muda yang boleh dilihat melalui sambutan pada setiap ceramah ataupun program anjuran parti. Mungkin mereka ini bukanlah pekerja parti ataupun ahli tetapi mereka sanggup dan dengan bangganya memakai baju atau apa sahaja yang melambangkan parti yang disukai masing-masing.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh mereka yang bukan ahli parti untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat kerana mereka yakin bahawa perjuangan parti PAS adalah berteraskan kepada Islam dan akan mendapat keredhaan sehingga sanggup menderma dan berkorban untuk perjuangan menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua. Kita boleh fahami bahawa mereka yang aktif di dalam parti akan sentiasa terlibat dengan program parti secara langsung tetapi bagaimana golongan yang bukan ahli parti boleh memberikan sumbangan selain daripada berduyun-duyun ke pentas ceramah dan sesekali memberikan undi di dalam pilihanraya yang diadakan setiap 5 tahun. Inilah memerlukan pemikiran ‘beyond expectation’ atau ‘out of the box’ anggota parti yang aktif samada di cawangan atau kawasan supaya sejumlah penyokong bukan ahli parti ini dapat sama-sama berganding bahu dalam menjalankan kerja kemasyarakatan yang akan menjamin dua perkara besar iaitu mengekal atau mendapatkan kemenangan dalam pilihan raya dan mendapat pahala yang berkekalan di atas khidmat kepada parti yang menjadikan islam sebagai wadah perjuangan. Cuma yang tidak ada pada mereka adalah peluang untuk berbuat demikian kerana kurangnya penerangan dan jemputan secara rasmi atau terbuka kepada mereka. Kita tidak berapa mengenali tetapi banyak cara yang boleh difikirkan dan digunakan untuk mendapatkan khidmat golongan ini.

Pakatan Rakyat (PR) hendaklah menyedari bahawa ruang yang ada untuk berkhidmat kepada rakyat hendaklah dilakukan secara berbeza daripada Barisan Nasional (BN). Jika PR menganggap apa yang dilakukan oleh BN adalah bersifat politik sempit semata-mata maka tidak perlulah konsep yang sama diteruskan oleh parti gabungan PR dalam memberikan khidmat kepada rakyat. Percayalah bahawa Parti PAS telah menarik sokongan ramai golongan muda yang beragama islam kerana mereka yakin bahawa menyokong parti ini adalah selaras dengan perjuangan yang benar yang di bawa melalui kepimpinan ulamak. Hanya dengan sedikit usaha ke arah mengajak mereka untuk bersama dalam aktiviti kemasyarakatan sudah tentu akan disambut dengan tangan terbuka tanpa menggunakan lambang parti. Apa yang mereka mahu adalah kerja yang akan dilakukan akan mendapat pahala dan menjamin kuasa ‘ketuanan rakyat’ akan terus kukuh berbanding ‘ketuanan melayu ciptaan UMNO’ yang telah jelas hanya untuk pemimpin mereka semata-mata.

Golongan muda ini pada dasarnya tidak mempunyai daya kepimpinan untuk ke depan dan masih terikat dengan akta-akta tertentu jika mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan ataupun pelajar institusi pendidikan tinggi maka kreativiti dan tindakan daripada pihak parti adalah amat diperlukan untuk menjadi penggerak kepada khidmat untuk masyarakat di setiap pelusuk daerah dan kampung tanpa mengira ideologi mereka. Jika ahli jawatankuasa parti di setiap kawasan tidak membincangkan kehadiran penyokong ini maka apa yang dikhuatirkan ialah mereka mula menganggap PR dan BN adalah sama yang menyebabkan mereka akan mengundurkan diri daripada perjuangan dan secara tidak langsung akan mengurang peratus pengundi PR pada pilhan raya yang akan datang. Mereka mungkin tidak akan memberikan undi untuk BN tetapi memilih untuk berada di mesjid-mesjid dan surau demi mencari pahala bekalan untuk alam yang akan datang. Akhir kata 'Lu fikirla sendiri'

No comments: