Persoalan mengenai kes pelajar menendang guru tidak patut dilupakan begitu sahaja selepas kenyataan dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Perlis melalui Tuan Pengarahnya dan siasata polis sedang dijalankan. Tugas telah dijalankan oleh kedua-dua pihak adalah sebahagian kecil kepada proses ini. Jika kita menganggapnya sebagai telah selesai maka kita adalah silap dan saban tahun pincang laku ini akan berterusan yang hanya menambahkan lagi kes polis dan bilangan guru atau pelajar yang bertukar, itu sahaja. Yang nyata kredibiliti sekolah sebagai pusat asas ilmu semakin jatuh sebagaimana jatuhnya wall street pada hari ini. Apa yang berlaku ini mesti difikirkan oleh semua ahli masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa kerana kita semua terlibat secara langsung samada sebagai pelajar, guru, pengetua, ibu bapa, pembekal makanan asrama, pengusaha kantin, jaga, tukang kebun dan apa sahaja yang berkaitan dengan sekolah.
Menyalahkan hanya kepada pihak tertentu tanpa langkah susulan hanya menyebabkan buah nangka busuk dipohon dan tanpa disedari akan jatuh berdebub ke atas kepala, buah tak dapat dimakan, kepala membengkak yang hasilnya tidak menguntungkan sesiapa. Sistem pendidikan berpusat di negara kita tidak mungkin menjadikan hanya SMK P...... sahaja berhadapan dengan situasi ini. Jika ada seorang pelajar yang menendang guru pada hari ini maka sepatutnya semua sekolah berjaya melahirkan seorang ahli atau jaguh tendang menendang sesuai dengan sistem yang menjadi amalan dalan negara kita yang tercinta ini.
Maka wajarkah jika kita tidak menyalahkan sistem, kerana kes ini hanya berlaku di sebuah sekolah sahaja. Cuba lihat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dalam bahasa mudah , semua pelajar yang melalui sistem pendidikan di sini seharusnya akan keluar dari alam persekolahan dengan mempunyai keterampilan dalam 4 perkara iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. (JERI) ini menggambarkan kualiti diri yang terbina dengan hadirnya mereka ke sekolah setiap 190 hari dalam setahun dalam jangka waktu belajar wajib dari tahun 1 hingga ke tingkatan 5. Apa yang berlaku sekarang adalah dalam proses pembinaan modal insan ini yang seharusnya dilihat sebagai cabaran memanusiakan manusia. Falsafah yang cantik dan luhur ini ibarat kapal layar yang siap sedia untuk meredah lautan dan akan berlabuh di dermaga suatu masa nanti untuk menjadi tontonan kepada semua bahawa suatu ketika dahulu ia pernah belayar mengelilingi dunia dan mendapat tepukan hebat daripada pengunjung. Adakah siapa tahu , apakah yang berlaku di lautan yang ributnya tidak terjangka, ombak menggulung tidak dapat diukur ketinggiannya, entah hidup entahkan mati di lautan , tiada siapa yang peduli, namun apabila sampai di pelabuhan, wira telah tiba, pasangkan banner kejayaan memuji dan mengagungkan bahtera yang telah mengharumkan seluruh negara. Mengapa saya menganalogi demikian?
Hanya jauhari mengenal manikam. Itulah ungkapan yang paling sesuai dan padan untuk menggambarkan bagaimana 14 tahun sahaja umurnya sudah bisa mengangkat kaki yang halus dan gebu untuk menendang seorang yang bergelar guru. Ribut di lautan memang tidak terduga dek sudah luntur pengetahuan kita tentang cuaca kerana berapa kerat pelajar yang mengambil subjek geografi di malaysia pada hari ini di tingkatan 4. Berapa ramai ahli masyarakat mengambil tahu tentang falsafah pendidikan negara. Wirid A A A A yang dilaungkan oleh masyarakat menjahanamkan falsafah kita sendiri. Sedang kapal dilumur cat rupanya pelayar sendiri yang menggerudinya supaya lubang-lubang nanti akan memudahkan aliran air ombak nanti keluar kerana mereka takut kapal akan tenggelam. Tahukah mereka, merekalah yang sedanga menenggelamkan kapal mereka sendiri tanpa mereka sedari. Anak-anak darjah satu sudah dituisyenkan seolah-olah hebat bila anak berada dipusat tuisyen hingga ada pelajar yang memberikan nota guru tuisyen kepada guru matapelajaran di sekolah kerana ia lebih berfokus kepada peperiksaan. Malunya menjadi guru , ditunjukkan cara untuk mengajar oleh anak murid sendiri sedangkan guru lebih memahami falsafah pendidikan yang menjadi rujukan untuk pengajaran di dalam kelas.
Di dalam kelas pula, mengapa guru dan murid tidak sehaluan ? Apa yang nak disampaikan kepada murid bukan menjadi apa yang diminati oleh murid. Tapi ini bukan alasannya. Bayi tidak akan minum susu jika dia tahu bahawa air sirap bandung itu lebih sedap. Menyalahkan guru adalah salah, itulah kandungan kurikulum yang mesti diselesaikan seperti mana puasa ramadhan, mesti diselesaikan. Menyalahkan pelajar lagi salah, kerana mereka bukan bayi , penerokaan mereka kadag2 lebih jauh dan dalam berbanding guru. Oleh itu, titik pertemuan mesti dicari. Biar tak serupa tapi boleh bersatu.
Dulu anggapan guru terhadap pelajar adalah one size fits all. Maka lahirlah dua golongan , satu golongan akan menjadi pegawai dan satu golongan lagi akan menjadi orang kampung. Yang berjaya adalah yang dapat memahami apa yang diajar oleh guru dan yang gagal akan pulang ke kampung dan mencari kehidupan masing-masing mengikut keupayaan diri. Itu dulu ! Dulu lain sekarang lain.
Sekarang masuk ke kelas dan mengajar belum cukup untuk menjadi seorang guru di dalam kelas. Kalau guru dan guru ganti sama sahaja cara mengajarnya maka usah berbicara tentang profesionalisme. Apa kaedah yang digunakan seharusnya cair dalam kepala guru kerana berjam-jam sehari akan menjadikan pak mat tukang kayu yang mahir, ah kow menjadi pekebun sayur yang nahir, mutthu menjadi penebar roti canai yang hebat tapi malangnya guru, 15 tahun sebagai guru masih berlenggang ke bilik darjah, menyuruh pelajar menyalin nota dengan niat menghalang pelajar dari membuat bising. Kalau saya bertanya anda, sukakah anda melihat cerita tv yang sudah ditayangkan semalam, minggu lepas, bulan lepas dengan episod yang sama? Kanak-kanak 5 tahun kata ya, saya suka, ya! kami suka. Apa kata pelajar 14 tahun ? Apa punya bodoh cikgu saya. Saya dah hafal dah dialog. Bosan! Tak da yang lain ke.
Setiap guru adalah murid suatu ketika dulu. Mana cikgu yang tak ada gelaran, cikgu Mat Tidur, cikgu Mi Kelentong, Cikgu Tie bulu dan apa sahaja gelaran untuk menunjukkan itulah ciri ciri remaja. Tapi bila dewasa, kita gagal memahami remaja. Islam menyuruh didik anak ketika berumur 7-14 tahun dan berkawan ketika mereka 14 tahun ke atas. Jika guru yang ditendang dapat menjawab di posisi mana beliau berada maka kajian tentu boleh dilakukan untuk membuktikan kebenaran ini atau sebaliknya.
Oleh itu marilah kita melihat apakah tugas kita masing-masing. Apapun ilmu yang ada dalam diri kita ini hanyalah pinjaman untuk kita, kita boleh sahaja tiba2 tidak mengerti apa-apa pada hari esok kerana ia bukan milik kita. Bukan tidak pernah berlaku, lihat kawan2 yang terkena stroke/angin ahmar, hilang semua keupayaan diri. Janganlah kita melihat orang lain sebagai bodoh kerana mungkin besok dia pula diberikan kepandaian itu. Gunakan lah apa yang ada pada kita ini untuk menyumbang kepada kehidupan ini bukan untuk kita sahaja tetapi untuk semua. Itulah tujuan kita hadir di dunia ini, sempadan ini hanya ciptaan manusia yang tamak.
Ambil cuti hari minggu ini dengan membawa keluarga menikmati damainya pantai, air terjun atau kemana sahaja supaya di pagi isnin nanti dia boleh berkongsi dengan rakan yang lain. Akhirnya mereka akan membesar dengan menghargai perasaan orang lain, menikmati hijaunya bumi dan inilah peranan ibu bapa supaya komuniti pembelajaran dapat dibentuk di negara ini. Ketika berbicara bersama rakan , jangan berbincang tentang banyaknya A anak-anak kerana disebalik kegembiraan anda itu ada hati ibu atau bapa yang terluka atau sedang menangis kerana bukan semua anak memiliki A tetapi semuanya memiliki sekeping hati yang perlu diberi perhatian oleh kedua ibubapa mereka. Didiklah hati mereka kerana nanti mereka akan dilepaskan pergi ke dalam masyarakat dan apa yang ibubapa berikan itulah yang menjadi amalan mereka. Usah melihat nakalnya mereka dahulu tetapi lihatlah bagaimana kita membina mereka. Jika terbina istana pasir, datang ombak , runtuhlah ia. Jika kita bina jiwa, insyallah negara kita akan maju dan berjaya ke hadapan.
2 comments:
tahniah bro, ambo xsir komen pe2 lg stakat ni.ambo tgh penin
pening gapo gak blogreader, kalu pening demo minum a'ir dulu
Post a Comment