Refleksi 12
Perbincangan hari ini adalah tentang ‘task’ atau fungsi dalam penyeliaan mengikut Glickman iaitu perkembangan profesional dan perkembangan kumpulan yang perlu dilihat sebagai saling berkaitan dengan bantuan langsung yang telah dibincangkan sebelum ini. Apabila mengimbas kembali apa yang berlaku di sekolah tentang perkembangan profesional staf maka kita akan mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu diperbetulkan supaya program yang dijalankan adalah bermatlamat untuk menambaik pengajaran guru di dalam kelas. Ini adalah kerana penyelia mesti berfungsi untuk memastikan program yang dijalankan adalah memenuhi keperluan guru supaya mereka dapat menggunakan apa yang diperolehi di melalui program yang dirancang untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran secara berterusan.
Apabila sekolah di arahkan untuk menjalankan program perkembangan staf untuk meningkatkan keupayaan guru maka kita telah mendapati setiap sekolah berusaha mendapatkan penceramah yang hebat dan mempunyai pengalaman yang banyak yang telah berkongsi dengan semua guru namun sebahagian daripada guru tidak dapat mengaitkannya dengan tugas mereka di sekolah. Ini adalah berpunca daripada program atau tajuk perbincangan tidak berkait dengan halatuju sekolah yang mungkin tidak begitu diketahui oleh penceramah. Oleh itu dalam memastikan program ini benar- benar dapat meningkatkan keupayaan guru, penyelia mesti melihat analisis keperluan dan mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sebelum meneruskan program yang difikirkan perlu kepada guru di sekolah. Apa yang penting kriteria yang perlu difikirkan adalah ianya praktikal dan berterusan untuk jangka panjang kerana dengan cara inilah maka penambahbaikan akan sentiasa berlaku dalam pengajaran guru di dalam kelas. Hasilnya setiap kali program dijalankan, pihak sekolah telah menghasilkan ‘guru baru’ atau ‘renewal’ yang sentiasa memastikan ia dapat dijalankan dalam pengajaran bersama pelajar.
‘Pembelajaran berterusan’ menjadi intipati perkembangan profesionalisme dalam konteks penyeliaan dan perkembangannya melibatkan tahap orientasi, integrasi dan pemurnian (refinement) yang akan menambahkan lagi keberkesanan program yang dijalankan samada formal ataupun tidak formal.
Dalam konteks perkembangan kumpulan pula, adalah menjadi satu perkara penting kepada penyelia untuk mempelajari kemahiran untuk bekerja dalam kumpulan bagi menyelesaikan masalah pengajaran. Secara keseluruhannya, terdapat banyak kumpulan yang ada di sekolah yang sentiasa bertemu dan berbincang dengan tujuan untuk memastikan berlakunya penambahbaikan yang berterusan. Memahami dimensi kumpulan yang melibatkan orientasi tugasan dan kemanusiaan menyebabkan saya menyedari bahawa ada sentiasa ada dua kumpulan manusia dalam kumpulan yang terbina walaupun di mana sahaja. Bila kita mengenali individu tertentu di dalam kumpulan dan dimensi mereka maka adalah lebih mudah untuk kita menyusun tindakan yang harus dilakukan supaya matlamat perkembangan kumpulan akan tercapai.
Tugas penyeliaan juga melibatkan individu guru dalam kumpulan yang bersikap ‘dysfunctional’ yang perlu ditangani dengan baik supaya akhirnya dapat berkongsi rasa kepunyaan dan kejelikitan untuk menyumbang di dalam kumpulan masing- masing. Kita memerlukan ahli kumpulan yang berorientasikan tugasan untuk memastikan hasil akan lebih cepat dicapai dan hubungan interpersonal akan menggalakkan kepada penyertaan ahli yang lebih aktif dan penghayatan yang lebih bersifat kekitaan.
Apabila ada perbezaan cara dan gaya kerja maka timbulnya konflik yang perlu diselesaikan dengan baik dan konflik tersebut akan menyebabkan hasil kerja akan menjadi lebih baik dan berterusan kerana kesukaran dan kekeliruan telahpun dapat diatasi. Menggunakan teori situasi adalah amat sesuai dalam konteks untuk meningkat perkembangan kumpulan kerana kesediaan kumpulan perlu diambil kira sebelum memastikan kaedah atau pendekatan yang hendak digunakan terhadap kumpulan.
Setelah membincangkan tiga tugas penyeliaan maka saya dapat menganalisis permasalahan yang berlaku di sekolah. Apa yang menjadi tugas penyeliaan ini telah cuba dilaksanakan di sekolah tetapi oleh kerana tiada pendedahan tentang konsep penyeliaan maka perkaitan daripada awal tidak dapat dilihat yang menyebabkan mereka merasakan semua perkara ini berfungsi secara sendiri tanpa berkait antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment