Saturday, January 13, 2018

Program Rise and Shine

Saya diminta untuk ke Melaka untuk satu program yang dirancang semasa sedang cuti sakit. Saya anggap ini sebagai peluang yang baik kerana saya dapat melihat apa yang difikirkan dan disediakan oleh pihak muzium penjara untuk pelajar sekolah dan kumpulan big bikers yang membantu membawa pelajar india di daerah sepang.
Kedatangan mereka kali ini dihidangkan dengan persembahan oleh pelajar SHG dan kumpulan kebudayaan JPM.
Banyak yang dapat dipelajari dari lawatan ini. Yang pertama, bangsa saya jarang menubuhkan NGO dan membantu setakat yang saya tahu. Yang kedua, setiap pengurus akan ada kelebihan sendiri dengan sumber dan bahan yang ada. Yang ketiga, kebanyakan manusia akan lemah jiwa mereka jika bercakap tentang ibu dan bapa mereka.

Friday, January 12, 2018

Pendamping

Pendamping seakan mistik. Dia ada bersama kerana tuannya memerlukannya. Kadang diwaktu siang, kadang di waktu malam dan yang nyata ia tidak akan ditinggalkan. Bila bersama maka gagah la rasa tuannya, yakin akan pertolongan diberikan, bila tiada, rasa lemah dan lesu tiada bermaya.

Thursday, January 11, 2018

Hari Ulang Tahun Perkahwinan

11 Januari 2000 adalah detik berbahagia dalam hidup setelah bertemu jodoh dengan isteri tercinta Azura. Kuch kuch hota hai di wharf Belaga dan akhirnya kami dijabkabulkan di Masjid Tunku Kalthom Langgar.

Hari ini genaplah 18 tahun usia perkahwinan kami dan 2 anak perempuan yang menceriakan kehidupan.

Ya Allah dia isteriku yang sering diuji dan tabah dalam setiap ujian yang kau hadapkan. Berikanlah kekuatan untuk kami layari bahtera ini. Layarkan bahtera ini , timbul tenggelam kami bersama.

Ku ciptakan lagu ini untuk isteri ku

Di usia ini
Aku lemah dan tak berdaya
Dugaan hidup ini
Tiada sempadan masa

Setiap detik yang berlalu
Kita lalui alam yang nyata
Kehebatan insan yang satu
Yang hidup tanpa berpura

Wahai isteri ku sayang
Sambutlah tangan ku ini
Aku perlukan diri mu
Kembara bersama hingga ke syurga

Tuesday, January 9, 2018

C2Joy

Susu kolostrum C2Joy yang diminum sejak 5 hari lepas. Apa kesan sihat yang dimanfaatkan untuk saya belum jelas. Rasa pening sehari dua yang lalu tak pasti itu adalah healing process atau tidak.

Saya cuba dulu sekotak ye

Monday, January 8, 2018

Perkhidmatan Pendidikan Koreksional

Mendidik atau mendidik semula jika diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris ialah educate or re-educate.

Setelah terlibat dengan perkhidmatan pendidikan koreksional maka kita kena sedar apakah fungsi fungsional kita. Fungsi sebagai guru tetapi fungsi fungsional kita dah berbeza kerana kita berperanan mendidik semula pelajar di bawah kawalan kita.

Tugas guru yang pertama adalah mendidik semula apa yang mereka telah tersilap jalan. Ibu bapa mereka dan guru serta komuniti telah mendidik mereka sejak dari kecil sehingga remaja. Itulah perkhidmatan pendidikan korektif.

Kedua, memberi peluang semula apa yang mereka tidak perolehi semasa di luar. Siapa sangka mereka yang langsung tidak terlibat dengan aktiviti di kampung sekarang mewakili sukan, koakademik, tarian, mengaji, pidato, kawad dan sebagainya.

Ketiga, menyediakan diri mereka dengan ciri- ciri perkembangan remaja yang positif. Kita boleh membaca tulisan Karen Pittman yang menggunakan beberapa C yang perlu dicorakkan dan kemahiran insaniah lain yang perlu menjadi kurikulum khas bukannya kurikulum tersembunyi.

Keempat, menjana potensi mereka yang ada. Kita patut gali dan bongkarkan apa yang hebat pada mereka supaya mereka yakin diri dan tahu bahawa mereka juga boleh menyumbang kepada masyarakat.

Kelima, memupuk jiwa yang kerdil dek kenakalan dan singkat fikiran. Kita perlu gunakan kekuatan diri mereka bermula dari sperma sehingga kepada ketakwaan kepada yang maha pencipta

Sunday, January 7, 2018

Ubah suai dapur

Anda rasa anda ada masalah dapur kecil dan barang banyak? Pening juga kepala apabila berpindah dari rumah sewa yang besar ke rumah yang sederhana. Isu utama adalah dapur bila meja makan ada 2.
Selepas berbincang sekeluarga maka solusinya ialah jual kabinet kecil dan beli kabinet besar. Barang boleh dikemaskan dan ruang nampak lebih besar.

Apabila siap , wow selesa dan kondusif.

Saturday, January 6, 2018

Sekadar renungan

Pertama kali aku mengikuti Putrajaya  International Dialogue. Walaupun hadir untuk majlis penutup sahaja tetapi aku rasa bangga menjadi sebahagian daripada pendengar dialogue statements yang merangkumi 12 pernyataan.
Alhamdulillah , PM ada menyebut juga supaya guru memainkan peranan untuk menyatakan bahawa Islam secara moderate adalah perlu dalam keadaan sekarang.

Sekadar renungan untuk diri. Kita perlu belajar dan berilmu supaya setiap ayat quran itu kita tahu di mana tempat dan tujuan penggunaannya. Orang yang membaca ayat jihad akan berpegang dengan ayat quran juga seperti orang yang membaca ayat untuk bersederhana.

Friday, January 5, 2018

Kerja secara betul?

Hari jumaat jika ada tazkirah di surau adakah kita boleh hadir atau tidak? Adakah dikira waktu bekerja sekiranya kita ke surau mendengar tazkirah.

Kita ke tempat kerja 8-5 dan akan ke kantin semasa bekerja. Adakah minum dan makan itu dikira waktu berdosa?

Kita duduk di kerusi selama sejam dan kita keluar untuk senaman ringan selama 5 minit. Adakah kita perlu gantikan masa bekerja itu?

Apa istilah kerja jika kita bekerja di pejabat dan apa istilah kerja jika kita adalah guru sekolah?

Itu kerja yang ada jadual waktu. Bagaimana kerja kita untuk agama yang bermula semasa baligh hingga ke liang lahat.

Apa beza kita sebagai hamba Allah dan kita sebagai khalifah di muka bumi.

Ada ustaz maklumkan begini, hamba Allah menuntut kita mencari ilmu agama dan khalifah pula kita menyampaikan kepada orang lain.

Ya Allah aku mohon dijauhkan daripada menggunakan masa kerja untuk sesuatu yang bukan sepatutnya semasa bekerja.

Thursday, January 4, 2018

Seni santapan jiwa

Seni adalah santapan jiwa. Hidup menjadi kaku tanpa seni. Seni adalah terapi. Seni itu indah. Ramai yang tidak tahu bagaimana seni didefinisikan terutama dalam konteks negara kita, Malaysia.

Melalui Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara JKKN , seni dan budaya terbahagi kepada 6 elemen. Anda boleh dapatkan kesemua elemen itu melalui pembacaan nanti.

Indah nya seni dan budaya menjadikan manusia rasa tenang dan ia boleh membawa kita rapat kepada yang Maha Pencipta.

Seni sering dikaitkan dengan kreatif. Bila kreatif digunakan dengan baik maka akan timbul inovasi.

Inovasi pula apabila dijalankan akan memudahkan urusan seharian.

Kesimpulannya, dari seni adalah kreativiti yang boleh menjadi inovasi yang akhirnya memudahkan urusan seharian.

Wednesday, January 3, 2018

10 minggu selepas pembedahan

Banyak yang saya lakukan untuk sepuluh minggu. Memandu ke Kluang dan akan ke Melaka bermalam seorang diri di hotel. Lawatan ke tiga tempat yang melibatkan berfikir dan berbincang serta memberikan ucapan.

Semua berbeza di minggu ke 10. Bangun  pagi saya berjalan dan berlari. Kemudian di sebelah petang saya berenang di kolam hotel selama 30 minit tapi tidak menggunakan tangan.

Berat badan naik sedikit yang perlu dikhuatiri. Sasaran berat 75 kg dengan otot yang sesuai dan air yang mencukupi dalam badan menjadi sasaran.

Fitbit alta yang dibeli sangat membantu memotivasikan diri.

Alhamdulillah 10 minggu dah aku menjalani pemulihan selepas pembedahan jantung. 2 minggu lagi untuk kembali normal.

Sudah mula ku ambil susu kolostrum c2joy. Kalau rasa bagus akan aku teruskan dan boleh berniaga sekali.

Tuesday, January 2, 2018

Bayu Beach Resort

2 tahun berturut - turut keluarga A berehat sebelum memulakan sesi baru persekolahan di Bayu Beach Resort.  Apa yang seronok di sini ialah murah, dekat dengan pantai, ada restoran seafood, ada swimming pool dan yang paling best anak anak suka.

Monday, January 1, 2018

2018 masehi

Doa sentiasa
Untuk kesejahteraan
Agar sentiasa diberkati

Rindukan kenangan bersama
Ibu tercinta
Bapa tersayang
Ulama tersohor

Laparkan kejayaan duniawi
Akhirat tetap hakiki
Peluang sentiasa dicari
Agar tersenyum nanti
Namun sentiasa berhati hati

Bekalan harus mencukupi
Esok yang pasti
Laungan azan masjid dicari
Agar kukuh dalam ibadah
Syukur dengan rahmat Ilahi

Sunday, December 31, 2017

Murah tapi berharga

RM 5 untuk  bahan bacaan kepimpinan. Menang membeli menang memakai kalau macam ni. 206 muka surat yang memberikan input kepada sesiapa yang membaca.
Saya bagi contoh ilmu yang ada dalam buku ini. Orang yang susah untuk dipimpin ialah diri sendiri. Memang ya bagi saya. Memimpin diri sendiri memerlukan komitmen yang tinggi kerana kuasa melawannya sangat hebat.

Bila kita nak bawa diri kita untuk istiqamah solat berjemaah, maka kita akan mendapati sukarnya untuk memastikan kejayaan.

D.U.I.T.  itu betul. Kita doa, usaha, ikhlas dan tawakkal untuk memimpin diri sendiri. Apatah lagi nak memimpin orang lain.

Saturday, December 30, 2017

MRT fit station

Hujan lebat seawal subuh menjadikan minat pemain golf kendur, pengayuh basikal berfikir 2 kali sebelum menyarung suit dan individu yang suka bersenam di taman. Semua mungkin akan pilih nasi lemak dan teh tarik di warung pada pagi tadi.

Mari saya perkenalkan latihan jeda untuk kecergasan kardiovaskular disamping membina kekuatan otot kaki.

MRT fit station bukan stesen seterusnya selepas kajang. Ia adalah senaman di stesen mrt yang sesuai untuk kita semua.

Jarak yang digunakan ialah 300 meter. Menaiki 65 anak tangga dan berjalan sejauh 50 meter dan turun 50 anak tangga serta jogging sejauh 50 meter. Lakukan 10 set kita akan terasa momentary muscle failure mmf.

Sebelah petang slow jog 2 km di tepi pantai atau jalan rata.

Friday, December 29, 2017

Mulut rupanya 7 peratus je

Alhamdulillah , sejak mendaftarkan diri sebagai ahli kelab pidato perdana sejak 3 bulan yang lepas baru pertama kali dapat menghadirkan diri malam tadi. Ada 4 orang termasuk jurulatih yang dapat datang.
Bercakap dah lama, 46 tahun tapi belajar berpidato baru sekali ini. Bercakap adalah untuk sebuah komunikasi, nak beritahu kepada orang lain supaya faham. Rupanya yang keluar dari mulut kita hanya 7 peratus.
Ada yang banyak tongkat dalam bercakap ummm, aaaa dan kalau mat salleh akan kata u know u know.. manalah nak tahu sebab belum cakap kat kita.
Berdiri semasa berpidato kena dijaga juga ye. Jangan menari kiri dan kanan nanti fokus pendengar akan mencapah.
Bagaimana dengan tangan? Nak buka luas ke atau nak peluk tubuh? Sesuaikan lah. Boleh juga seluk poket tapi kena padan dengan perkara yang disampaikan.
Mata bertentang mata lalu turun ke hati. Cakap dari hati akan turun ke hati.. jangan berpidato dengan niat nak habiskan tugasan, nanti nampak kerobotan nya. Bab tata bahasa , perlu dijaga tetapi tengoklah audiens, nanti di panggil mat skema. Ini lah yang menjadikan 93 % untuk komunikasi berkesan dalam pidato.

Minggu ke 9 selepas pembedahan jantung

Bila melihat tiada lagi ubat dalam bekas seminggu maka aku tahu bahawa kematangan pembedahan sudah bertambah seminggu lagi. Hari ini genap lah 9 minggu selepas cabg.

Pergi kerja dah macam biasa, nampak lif tapi sudah memilih tangga untuk digunakan. Guling ke kanan dan guling ke kiri sudah jadi lebih normal. Daripada kognitif ia sudah bertukar kepada penyatuan dan minggu ini fasa yang akan dicapai ialah fasa autonomous. Tidur dah macam autonomous sebab dah tak jadi tidur robot.

Cuma yang masih mengganggu di saat ini adalah pening dan hanyut jika melakukan kerja secara cepat dan tiba-tiba. Hadiah untuk minggu ini ialah gulai masak lemak ayam kampung dan secawan nasi .

Tuesday, December 26, 2017

Senaman di Padang Golf

Anakanda dah stop kelas memanah dan bersetuju untuk penglibatan dalam golf. Bapanya pula berpantang golf dulu. Jadi, petang tadi bawa lah dia ke padang dan saya pula ikut sambil berlari anak dan kadang kadang berjalan sahaja

Tengok macam bersemangat je nak main golf. Nanti boleh la lawan ayah.

Monday, December 25, 2017

30 minit yang bermakna

Cuba lihat 2 foto di bawah. Yang berbeza adalah masa. Masa itu emas dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Tiada salah jika kita memilih untuk menonton siaran sukan yang tentunya menyihatkan pemain dan bukannya kita.
Bayangkan anda ambil masa 30 minit untuk melakukan senaman seperti jogging atau berbasikal. Tentunya anda akan membakar kalori dan menguatkan otot jantung dan awet muda.
Bah! Apa tunggu lagi. Jika kita amalkan senaman dan jaga makan maka kita akan rasa bahgia walaupun itu bukan jaminan kita tidak akan sakit.

#30minitbermakna

Sunday, December 24, 2017

Peluh gembira

Petang sabtu yang menggembirakan.

Pertama, masih ramai remaja yang aktif bersukan samada di gelanggang futsal outdoor atau berjogging bersama rakan

Kedua, kanak kanak bakal pengganti azizul hasni gembira dengan basikal lajak masing masing tanpa menghiraukan keselamatan diri..

Ketiga, ada seorang yang berbaju kuning sudah dapat berlari untuk 3 x 5 minit buat pertama kali selepas 10 tahun.

Keempat, aku beli kemeja saiz L bukannya xl dengan harapan bertahan la berat badan aku ni

Kelima, aku beli dua keping lukisan untuk mencantikkan bilik ku di pejabat

Keenam, aku ada satu keluarga bahagia..

Friday, December 22, 2017

PEMIMPIN KOREKSIONAL

Pemimpin Koreksional yang aku nak ciptakan mungkin menciplak stail kepimpinan sedia ada. Ia mungkin kepimpinan Rabbani yang pernah dikaji dan dijadikan projek PhD oleh seorang pensyarah Institut Pengajian Kepengetuan suatu masa dahulu. Apa yang aku bayangkan seorang pemimpin koreksional tidak lah sampai tahap ulamak sebab ia sukar untuk seseorang diiktiraf sebagai ulamak.

Pemimpin taufik mungkin lebih sesuai disama ertikan dengan pemimpin koreksional. Ia bermaksud pemimpin pembetulan. Orang yang membetulkan apa yang salah oleh seseorang yang lain. Maka tugas aku adalah mencari maksud taufik pula. Apabila dapat maksud sebenar makan aku dah boleh mendefinisikan maksud pemimpin koreksional / pemimpin taufik.

Bayangkan di sebuah kawasan yang mana semua manusia yang ada adalah pesalah yang tidak berada pada jalan yang benar atau jalan yang betul. Sekiranya kita disitu untuk membawa mereka ke jalan yang betul/ lurus sesuai dengan paradoks di persekitaran maka kita adalah bertanggung jawab menunjukkan jalan dan membawa mereka ke jalan tersebut. Sesuailah ia dinamakan pemimpin koreksional/pemimpin taufik.

Dah nampak sikit... Perlu fikir lagi

Thursday, December 21, 2017

Kepimpinan koreksional ?

Asas kepimpinan selalu berkisar kepada autokratik, demokratik dan lesser faire. Apabila memahami ketiga tiga asas ini maka seorang pemimpin akan dapat membawa ahli ahlinya dengan acuan yang sesuai. Adakah setiap pemimpin akan menggunakan hanya satu jenis kepimpinan? Cuba bayangkan pemimpin yang ada dalam organisasi anda semua. Siapa yang memimpin secara autokratik dan siapa yang sangat demokratik atau siapa yang membiar bebas ahli dalam kepimpinan mereka.

Ketiga asas ini membawa kepada jenis kepimpinan yang lain yang dikembangkan daripada asas yang diketahui ramai orang sejak dibangku sekolah. Kita juga menyebut sebagai stail kepimpinan. Sebagai contoh ialah kepimpinan situasi, kepimpinan transaksi, kepimpinan transformasi, kepimpinan moral imperatif dan sebagainya. Dalam bidang pendidikan pula ada stail kepimpinan instruksional. Semua ini sukar disebut oleh orang yang bukan berada dalam bidang yang berkaitan.

Nak membezakan maksud kepimpinan dan pengurusan sudah menjadi satu masalah apatah lagi dan melaksanakan kedua nya dalam satu masa.

Zaman ini , adakah kita lebih perlukan kepimpinan karismatik ? Mungkin ya kerana media sosial perlukan karisma seseorang untuk ditonjolkan.

Dulu ramai menganggap Tun Mahathir sebagai pemimpin autokratik dan DS Anwar sebagai pemimpin karismatik.  Bagaimana dengan DS Najib? Adakah beliau demokratik dan Pak Lah sebagai pemimpin lesser faire?

Biarlah apa pun. Sekarang tugas kepimpinan saya adalah untuk membentuk pemimpin koreksional dalam kalangan guru yang bertugas di bawah seliaan saya.

Pemimpin membina pemimpin maka tugas saya adalah mendefinisikan maksud kepimpinan koreksional. Apakah ciri-ciri pemimpin koreksional dan bagaimana mereka boleh mengubah pengikut mereka.

Kepimpinan koreksional adalah satu keadaan dimana mereka melakukan sesuatu kerja yang dapat membantu kearah taufik dan hidayah ahli yang dipimpin. Macam sama dengan pemimpin moral imperatif. Saya akan cuba baca dulu dan jelaskan kemudian. Mana tahu saya dapat kemukakan satu lagi jenis kepimpinan untuk tambahan buku siri kepimpinan dan pengurusan.