Sunday, June 7, 2009

sehari di hari minggu

Pertama kali melalui jalan Klang-Banting menemukan kami dengan Daerah Kuala Langat yang mana terletaknya pekan seperti Jenjarum, Teluk Panglima Garang, Banting dan kampung-kampung termasuk Kanchung Darat (tempat lahirnya anak-anak sidek). Niat di hati untuk menyelusuri keindahan kampung di Morib yang sering menjadi set drama tv. Rupanya tidak dapat dikesan lokasinya disamping cuaca yang terlalu panas menghalang niat murni itu. Pertama kali juga, Pantai Peranginan Morib yang ternyata terus menjadi lokasi perkelahan keluarga bagi Negeri Selangor. Seronok melihat mereka bermain-main di pantai kerana seperti biasa ombak Selat Melaka sentiasa tenang untuk pengunjung. Cuma, apa yang kurang jelas ialah apakah maksud tugu yang terpampang menunjukkan kehadiran 46 Indian Beach Group. Bolehkan sesiapa berikan eksplanation ?

Bagi pelajar yang pernah mengikuti PJ394 di bawah bimbingan Encik ABS tentunya akan terbekas dengan papan tanda di atas. Telok Pelandok tidak asing sebagai tempat amali 1 yang memberikan kepada kami peluang untuk mengendalikan kayak, dinghi, keselamatan di air dsb. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah apabila seorang kawan yang terlalu gementar ditinggalkan di laut telah membunyikan wisel pada jaket keselamatan tanpa menyedari bahawa dia sedang meniupnya di dalam air. Mesjid yang berada di simpang ini juga telah dibesarkan. Rupanya kenangan ini telah berlalu selama 16 tahun. Patutlah banyak yang telah berubah.
Inilah tempatnya tapak perkhemahan yang telah dibina jeti yang baru. Jika dulu, di kawasan inilah kami menyorok untuk merokok (smoking is prohibited). Cantiknya kawasan ini sehingga terlintas untuk mendapatkan sekeping tanah dan dibina rumah persinggahan untuk menenangkan perasaan setelah penat bekerja.
Semasa perkhemahan amali 1 diadakan, kami telah mengadakan sesi kayak dan tanpa disedari kami telah semakin menghampiri Tanjung Tuan di mana terletaknya rumah api. Kisah di sebalik Tanjung ini dikatakan mempunyai persamaan dengan Bermuda the triangle. Pada masa itu Encik ABS telah menggunakan cermin untuk memberikan signal untuk kami berpatah balik ke pantai. Hari ini, kami telah sampai di kaki bukit di mana rumah api terletak.
Kami menunggu sehingga petang untuk mendapatkan foto sunset. Timbul pula keinginan untuk mendapatkan kamera canggih supaya kesan (effect) akan lebih bermakna. Apakan daya, dah terbeli Kodak C713 yang tetap ada sumbangan untuk blogger. Jika berkunjung ke pantai tanpa mandi akan menyebabkan kita akan pulang dengan seribu kesesalan. Jika kita mandi sambil bermain ombak maka kita akan pulang dengan penuh kemenguapan keletihan.

aktiviti hari minggu ini melupakan seketika bab 4 yang telahpun siap (tanpa edit) untuk di bawa berbincang dgn penyelia dan besok, perpustakaan IPK akan menjadi kawasan yang paling sesuai untuk memulakan bab 5 kerana jarum jam sentiasa berdetik tanda masa semakin suntuk.

Untuk para pembaca blog, luangkan lah masa yang ada untuk melihat keindahan ciptaan Allah. Anak-anak pasti gembira mempunyai ibubapa seperti anda....

Wassalam

1 comment:

Jubah hitam said...

Anda tidak perlu memikirkan tentang bab 4 dan 5 apabila melancong. Baru ummph!