Siapakah anda sebagai penyelia ? Dimanakah anda berada sekarang? (khas untuk rakan-rakan ku)
Saya percaya bahawa penyeliaan pengajaran adalah merupakan satu proses yang melibatkan pemerhatian, perbincangan, penilaian dan perkongsian yang berkaitan dengan pengajaran guru sama ada secara langsung ataupun tidak langsung di sekolah. Penyeliaan pengajaran dijalankan dengan tujuan untuk memastikan apa yang berlaku di dalam kelas adalah menepati dengan matlamat dan tujuan yang telah menjadi perkongsian semua pihak bermula daripada pihak yang membuat dasar kurikulum kebangsaan hingga kepada apa yang diingini oleh komuniti itu sendiri. Pihak sekolah akan menetapkan visi dan misi yang dikongsi bersama warga sekolah yang akan menentukan keberkesanan sekolah dan penyeliaan pengajaran akan tertumpu kepada bagaimana ia akan dapat dicapai.
Penyelia yang berperanan secara formal akan menggabungkan di antara penyeliaan untuk penambahbaikan pengajaran dan penyeliaan dalam bentuk memberikan gred supaya ada piawaian tertentu menjadi panduan supaya prestasi guru dapat diukur kerana saya percaya sedikit kawalan akan meningkatkan lagi kecemerlangan guru. Guru yang berfungsi sebagai penyelia pula akan menjalankan tugas bergantung kepada siapa yang diselia. Jika ia merupakan satu perkongsian maka penyelia akan memberikan ruang yang luas untuk perbincangan dan penyelesaian kepada permasalahan akan ditentukan oleh guru yang diselia itu sendiri. Dalam setengah keadaan pula, penyelia akan bertindak sebagai pencetus kepada idea yang akan ditentukan kemudian oleh guru sendiri untuk menyelesaikannya. Ia boleh berlaku secara formal ataupun tidak formal dan di mana- mana sahaja tanpa ada batasan masa dan ruang.
Saya percaya untuk menjadikan penyeliaan pengajaran ini berkesan maka setiap individu di sekolah mesti mempunyai pengetahuan tentang bagaimana sebenarnya orang dewasa mempelajari sesuatu yang baru kerana itulah faktor yang akan membantu mereka mengubah persepsi dan tindakan mereka kerana mereka adalah berpengalaman dan mempunyai platform sendiri tentang pendidikan. Penyelia juga mesti mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dengan baik kerana hubungan yang baik di antara penyelia dan guru akan menghasilkan rasa hormat antara satu sama lain. Di samping itu kemahiran teknikal perlu dikuasai oleh penyelia kerana pengajaran yang berkesan memerlukan kepelbagaian kaedah dan teknik yang digunakan mestilah menepati perbezaan individu pelajar yang berada di dalam kelas. Penyelia juga mesti mempunyai sikap yang positif terhadap setiap perkembangan yang berlaku dan mampu mengelakkan konflik yang akan menyebabkan matlamat untuk keberkesanan pengajaran sukar dicapai.
Guru yang berada di sekolah adalah juga individu yang berbeza yang mempunyai latar belakang kehidupan dengan corak yang berbeza. Pemikiran dan pandangan mereka mesti dihormati oleh penyelia maka pengajaran mereka di dalam kelas sepatutnya menjadi hak milik mereka. Ini kerana mereka telah bersama dalam menentukan matlamat yang hendak dicapai oleh sekolah. Keupayaan guru dalam pengajaran banyak bergantung kepada pengalaman maka menjadi tugas penyelia untuk memberikan bantuan dalam konteks menyediakan perkembangan staf dan galakan untuk mereka mempertingkatkan keupayaan pengajaran mereka.
Perbincangan yang positif di antara penyelia dan guru di mana berlakunya apa yang dipanggil ‘give and take’ akan menjadikan penyeliaan pengajaran adalah merupakan satu keperluan bagi diri guru- guru kerana masing- masing telah mempunyai satu kepercayaan bahawa setiap kelompangan dalam diri akan dapat diperbetulkan melalui pandangan dan pemerhatian orang lain. Oleh itu membina hubungan ‘rapport’ adalah asas kepada penyeliaan pengajaran yang berkesan.
Aktiviti penyeliaan boleh berlaku dalam pelbagai cara dan keadaan. Saya percaya dengan adanya perkongsian nilai yang sama di antara penyelia dan guru membawa kepada kebebasan dalam aktiviti penyeliaan. Ia boleh berlaku ketika berada di dalam bilik guru semasa guru sedang menyediakan perancangan untuk pengajaran. Setelah perbincangan dibuat dan mendapat persetujuan maka penyeliaan seterusnya akan berlaku di dalam kelas supaya kesan perbicangan dapat dinilai keberkesanannya. Ini akan menjurus kepada perubahan selepas kelas untuk penambahbaikan pengajaran untuk kelas seterusnya.
Apa yang banyak berlaku pada penyeliaan pengajaran pada hari ini adalah kelemahan penyelia untuk meningkatkan pengetahuan , kemahiran inter personal dan kemahiran teknikal sedangkan inilah pra syarat kepada aktiviti penyeliaan. Penyelia formal mestilah membuat anjakan paradigma dengan meninggalkan konsep penyeliaan secara tradisional kerana perubahan pemikiran manusia pada hari ini menuntut satu perubahan drastik dalam menentukan keberkesanan sekolah.
No comments:
Post a Comment