Thursday, July 29, 2010

dewan peperiksaan

Minggu depan, pelajar tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan percubaan PMR yang diharapkan akan dihapuskan beberapa tahun lagi. Kita sedang membawa mereka ke haluan yang agak beranjau. Pagi ini, saya telah menyuruh seorang pelajar untuk menghitung semua meja yang telah disusun di dewan peperiksaan. Alangkah sedihnya apabila melihat beliau menghitung dengan gandaan 1 berbanding gandaan 5 kerana semuanya telah rapi. Apa sebenarnya tujuan matematik diajar dengan pelbagai topik? Ataukah dia seorang yang teliti yang ingin memastikan bilangannya tepat. Baiklah, bukan itu saja yang hadir dalam perasaan saya pada hari ini. Menyusun meja untuk peperiksaan menjadi beban yang agak berat kerana terlalu banyak hal yang perlu dibereskan. Adakah ini tugas guru atau pembantu di sekolah. Ketika guru sedang berteriak menyuruh pelajar mengangkat meja dan kerusi dan membuka kelas menjadi dewan, aku terfikir sendirian, berapa kali lagi kesusahan ini akan berlaku? Jawapnya 4 kali, selepas ini percubaan spm, pmr dan spm. Jika aku menjadi pengetua, mungkin aku akan memastikan beberapa tempat di situ akan berganti jubin yang akan menjadi penanda. Kita sebenarnya memerlukan dewan untuk setiap sekolah. Kos yang tidak perlu terlalu besar untuk sebuah dewan yang hebat. Cukuplah, sebuah kotak besar yang dipanggil dewan peperiksaan.

Monday, July 26, 2010

" A school for pregnant teens?"

Pagi ini sempat menatap NST sementara menunggu untuk p&p. Di muka 2 tertera " A school for pregnant teens?" Bila membacanya, terasa seolah-olah, perihatinnya pemimpin atau sesiapa yang membuka bicara itu. Caknanya mereka kepada nasib remaja ? Apabila diulang fikir, bodohnya manusia yang membiarkan remaja mengandung dan kemudian memikirkan projek termasuk membina sekolah baru untuk mereka. Umbi pisang mesti dibuang habis jika kita tidak mahu pisang berbuah lagi. Apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana kita boleh menanamkan rasa jijik kepada remaja untuk tidak membiarkan diri daripada mengandung. Bukankah itu yang terlebih baik ?

Thursday, July 22, 2010

Dia datang lagi..

Dia datang lagi.. siapa dia? Dialah Pengarah yang datang sekali lagi dan meninjau lokasi yang sama seperti sebelumya. Apa perubahan yang telah berlaku. Itulah yang menjadi harapannya namun agak hampa. Ada yang masih tidak kena dan belum mencapai satu standard yang diingini beliau. Itu semua adalah masalah fizikal di persekitaran kerja. Penyenggaraan adalah satu kemestian yang berKPI yang kurang dipantau.

Monday, July 19, 2010

Lelaki menyapu di bawah kerusi wanita..

Saya mengambil nama untuk seminar pada hari Sabtu, yang datang mendaftar adalah pelajar perempuan. Tiada seorangpun lelaki. Ouch! Mereka mesti diajar. Saya basuh mereka satu persatu.. yang main bola peringkat tertinggi diperli secara terhormat. Yang berlari laju diperli selaju angin ribut pantai, yang main tenis, di'volley' atas jaring. Mereka terkejut kerana tidak menyangka terkena batang hidung masing-masing exact on the dot. Dalam akhbar, 68% perempuan medaftar di IPT. Apa maknanya? Gaya sekarang adalah untuk perempuan. Menghafal, duduk berfokus, kerisauan tinggi adalah milik perempuan. Lelaki bukan begitu, bukan salah mereka, kita berikan mereka penyapu untuk menyapu bawah kerusi boss wanita.

Sunday, July 18, 2010

Hari Keluarga

Alhamdulillah, semalam telah berlangsung dengan jayanya Hari Keluarga SMKBJ. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak AJK Kelab tidak dapat melaksanakan agenda yang tentunya dirancang oleh mana-mana kelab staf. Syukur, akhirnya kami berjaya mengumpul hampir 50% ahli kelab untuk turut serta bersama keluarga masing-masing.

Wednesday, July 14, 2010

HARI KELUARGA


HARI KELUARGA SMK BUKIT JAWA 2010
PANTAI SRI TELONG CHALET

TENTATIF PROGRAM

7.30 am - 8.00 am       - Pendaftaran
8.00 am - 8.30 am       - Sarapan pagi
8.30 am - 11.00 am     - Sukaneka / Aktiviti / Bola Sepak Pantai
11.00 am - 12.30 pm    - Persiapan BBQ
12.30 pm - 1.30 pm     - Makan tengahari
1.30 pm - 2.00 pm       - Penyampaian hadiah dan penutup
2.00 pm                       - Bersurai

  1. Semua peserta diminta mendaftarkan diri kepada urusetia sebaik tiba di Pantai Sri Telong Chalet
  2. Setiap keluarga diminta membawa kelengkapan pinggan dan gelas untuk kemudahan keluarga masing-masing
  3. Kanak-kanak yang ingin mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna diminta menyediakan pensil / peralatan mewarna masing-masing
  4. Sila bawa tikar / alas duduk kerana pihak pengurusan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi
  5. Dua bilik disediakan sepanjang program untuk kemudahan semua peserta
  6. Pihak urusetia mengalu-alukan perkongsian daripada peserta seperti buah-buahan dan kuih muih untuk memeriahkan lagi program
  7. Jika ada peserta yang berminat untuk menyewa chalet, sila hubungi mana-mana AJK Kelab untuk tindakan selanjutnya. Hanya 7 buah chalet yang disediakan untuk penginapan.
  8. Pihak Urusetia Program Hari Keluarga mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan sambutan yang diberikan.

Sunday, July 11, 2010

Orang yang sibuk..

Siapakah orang yang sibuk ? Menurut seorang sahabat, orang yang sibuk ialah orang yang mampu melakukan satu perkara ke satu perkara setiap hari. Pendek kata, mereka ini tidak berhenti bekerja sejak awal pagi sehinggalah waktu untuk tidur. Ramai yang salah anggapan bahawa orang yang mengatakan saya tidak dapat lakukan sesuatu kerana saya sibuk adalah orangnya. Bukan wahai pembaca, orang yang sibuk tidak sempatpun untuk melayan pertanyaan atau memberikan respon sedemikian.
Hari ini aku mengucapkan tahniah kepada seorang rakan yang mendapat pengiktirafan sebagai GC 48. Bukannya Guru Cha ttp Guru Cemerlang.

Saturday, July 10, 2010

Friday, July 9, 2010

Ucapan terima kasih

Kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Kayuhan Riadah cakna belia 2010 Persatuan Masjid Ibrahimi Pasir Puteh. Insyallah program yang murni ini akan diadakan setiap tahun disamping acara kayuhan yang lain. 

Thursday, July 8, 2010

kerja-kerja akhir

Kerja-kerja terakhir disiapkan sebelum kayuhan riadah yang akan diadakan pada pagi esok. Perkara yang utama ialah peserta untuk kayuhan. Jumlah 40 orang telah mencukupi dan tidak dapat ditambah lagi kerana masalah baju t. Banner telah siap untuk digantungkan di tepi kawasan pantai yang akan menjadi tempat perasmian program. Nombor untuk cabutan bertuah sudah sedia bersama dengan aturcara sepanjang 2 jam di Tok Bali. Semoga semuanya akan berjaya dijalankan dengan baik. Insyallah!

Wednesday, July 7, 2010

Ke hospital

Semalam aku ke HTA setelah hati ini belum berpuas hati dengan tahap kesihatan diri. Memilih untuk pergi selepas bekerja, aku tiba di hospital dan hanya menunggu 15 minit untuk masuk berjumpa dengan pembantu hospital. Di dalam hati, aku tertanya-tanya apakah dia boleh memberikan satu analisa yang berrguna tentang kesihatanku. Setelah memberikan penjelasan tentang keadaanku, beliau telah memeriksa badan dan memberikan pendapat bahawa aku mungkin mendapat gastrik. Aku juga meminta beliau memberikan aku statin untuk menurunkan paras kolestrol kerana aku tidak dapat menemui alternatif lain setakat ini yang boleh membantu mengurangkannya.
Aku sedar bahawa pengambilan stati mungkin memerikan kesan kepada hati tapi untuk sementara waktu ini aku cuba untuk mengikut nasihat MA terlebih dahulu. Semalam  kayuhan bersama rakan-rakan menjadikan aku lebih rendah diri dengan kegagalan untuk mengikut rapat dek kesakitan di bahagaian dada. Aku kena bersabar , berusaha dan berdoa

Tuesday, July 6, 2010

Hari Lahir


Sambutan Hari Lahir dengan menjemput anak-anak saudara ke rumah
Icing setebal 2 inci tapi sayang tiada yang makan. Silap pilih kek rupanya

Monday, July 5, 2010

Lensa kenangan buat Brazil

Malam itu tidak terniat untuk merakamkan peristiwa ini kerana tidak menyangka bahawa aku tidak berpeluang lagi untuk mendapatkan suasana permulaan perlawanan bagi Brazil. Mereka telah kalah dan rupanya tidak sia-sia lensa kamera merakamkan peristiwa ini.

Sunday, July 4, 2010

Kelibat.....

Masuk ke kelas untuk 2 waktu terakhir, menghabiskan perbincangan contoh karangan yang baik supaya para pelajar dapat membuka mata bahawa apa yang ada pada mereka sekarang adalah pada tahap yang masih rendah. Mengajar di waktu tengahari apatah lagi subjek bahasa memerlukan kreativiti guru. Jika kita malas untuk menyediakan BBM yang sesuai maka kitalah alat bantu mengajar yang paling efektif sekali. Mimik muka, gerak badan, suara yang jelas dan berirama amat diperlukan. Gelak tawa bercampur diam menandakan kelas adalah berjalan dengan lancar. Sedang asyik mengajar, tetiba terlihat susuk tubuh yang dikenali tetapi tidak disangka sedang berjalan sambil memandang ke dalam kelas. Sedetik itu terlintas di fikiran, eh Tuan Pengarah. Belum sempat aku menegur beliau , kelibatnya sudah entah kemana..

Saturday, July 3, 2010

Apabila Brazil kalah..

Piala Dunia dan Brazil adalah sinonim. Satu-satunya pasukan yang tidak pernah gagal untuk beraksi di Piala Dunia. Malam tadi mereka telah menunjukkan aksi yang bermutu dan menghiburkan tetapi kalah. Dunga telah meminggirkan rentak samba untuk sebuah kemenangan naumn gagal. Maka, apabila kelainan yang dibuat untuk berjaya tetapi hampa menunjukkan bahawa bola sepak bukan sekadar kemenangan tetapi ia mesti bersifat menghiburkan. Peminat akan dua kali hampa dengan apa yang berlaku kepada Brazil.Lebih baik dikekalkan rentak samba dan tewas kerana sekurang-kurangnya anda telah berjaya menghiburkn.Malam tadi, peminat rasa terhibur namun apakan daya ..
Antara pemain yang menonjol pada kali ini ialah Maicon. Kaka sedang menghampiri kelincahahan biasanya namun disekat oleh pasukan oranje. Piala Dunia 2010 telah tamat pada malam tadi

Wednesday, June 30, 2010

Anugerah Berlian

Siapa yang mengenali beliau ? Beliau bukan seorang ahli politik yang fotonya terpampang di dada akhbar, bukan juga pelakon atau penyanyi dengan gelaran Datuk atau Dato' atau Datok. Jauh sekali seorang usahawan yang bergelar jutawan. Beliau seorang guru yang mengatasi guru. Beliau menjadi guru kepada sesiapa dan di mana-mana. Mengapa ? Kerana beliau adalah guru yang menulis dan kita membacanya. 50 dan lebih buku yang ditulis bukan lagi seorang yang inovatif untuk menerima anugerah. Beliau layak untuk mendapat anugerah Berlian pada hari ini kerana setiap buku yang tertulis adalah permata yang menyinari orang lain. Seorang sarjama atau dr falsafah tidak lengkap kajian tanpa rujukan. Jika anda tidak mahu memberikan anugerah kepada beliau, biar saya yang lakukan "ANUGERAH BERLIAN " . Beliau adalah Ab Alim.

Tuesday, June 29, 2010

kerana sentiasa ditinggalkan..

"Eh! Saya nampak awak semakin kurus, berapa kilo dah hilang?" Saya bertanya seorang pelajar yang sedang berdiri di tepi sebatang tiang. Dia menjawab bahawa dia telah kekurangan 5 kg daripada berat badanya. Apa yang menjadi inspirasi beliau untuk mengurangkan berat badan bukanlah rancangan biggest loser di Astro 702 ataupun iklan jusmate5 Dr Rozmey. Setiap orang ada sebab tersendiri untuk berubah. Beliau berubah kerana beliau selalu ditinggalkan kerana berbadan besar. Apapun , selamat berjaya untuk Mursalin pelajar tingkatan 4 yang pernah menjadi pelajarku pada tahun lepas.

Monday, June 28, 2010

Panggilan telefon

Saya mendapat panggilan daripada sebuah hospital swasta yang menjemput untuk menghadiri satu slot kesedaran tentang penyakit kronik serangan jantung, stroke dan diabetes. Penyakit 3 serangkai yang perlu dicegah seawal mungkin. Beliau mencadangkan saya untuk hadir pada malam ini. Saya terpaksa menolaknya dengan baik kerana saya masih terbelenggu dengan keadaan seorang kawan yang sedang menerima rawatan akibat stroke sejak minggu lalu. Saya mula memikirkan peranan kehidupan yang sihat dengan serangan penyakit. Ramai dalam kalangan kawan-kawan yang sedang bertarung dengan penyakit ini adalah mereka yang sering melakukan senaman. Mungkin mereka tidak menjaga pemakanan tetapi adakah orang lain yang masih sihat terlalu menjaganya. Apabila melihat orang yang lebih tua di masjid, mereka yang aktif bersukan semasa muda sering kelihatan sakit pada bahagian lutut mereka. Penyakit keturunan juga sering dijadikan alasan termasuk saya sendiri yang mempunyai lebihan kolestrol sehingga melebihi bacaan 8. Menjaga pemakanan, bersenam dsb adalah nasihat yang sering dilontarkan kepada masyarakat. Oleh itu, marilah kita berusaha sebaik mungkin.

Sunday, June 27, 2010

menulis lagi

Aku perlu menulis lagi untuk meningkatkan kemahiran diri. Ada impian yang belum dicapai sejak memulakan penulisan di blog. Sudah sampai masanya memikirkan dengan lebih serius hala tuju dalam bidang penulisan kerana ada sedikit minat dalam bidang ini. Aku memerlukan masa namun bukan membuang masa dengan khayalan semata-mata. Mengapa tidak aku mulakan daripada sekarang ? Ramai orang yang telah memulakannya dan berjaya. Jika tidak, jangan harap untuk menemui puncak kejayaan. Aku suka menulis tentang motivasi tetapi aku sendiri belum ada motivasi kendiri. Sudah tentu penulisan itu tidak akan sampai ke hati pembaca. Insyallah, aku ingin sekali melihat hasil penulisan ku sendiri. Mengingat kembali kata-kata di sebuah pintu di IAB....' when i want to read, i write'

Tuesday, June 22, 2010

39-40

Angka depan dan berubah ... umur. Semangat semakin berkobar-kobar untuk menjadi manusia yang berjasa di dunia dan berbahgia di akhirat. Suasana meriah di harijadi dengan kehadiran facebook. Ucapan mencurah-curah daripada rakan taulan. Usia ini, ada kawan yang sedang bertarung dengan stroke yang menyerang beberapa hari lalu. Ada rakan yang sedang meningkat keatas untuk menjadi boss. Itulah ragam dunia, ia berputar sentiasa