RM 2 perlu dibayar untuk mendapatkan visa perjalanan di Thailand walaupun nilai RM1 tertulis di papan. Tidaklah diketahui samada lebihan ini termasuk kategori rasuah ataupun hadiah kerana memang kami disuruh mendapatkan khidmat penulis di situ. Welcome To Thailand.
Rupanya perjalanan hari pertama terpaksa ditangguh sementara waktu kerana tiga lagi ahli rombongan telah tersilap tarikh maka terpaksalah menunggu kehadiran mereka daripada Kuala Balah, Jeli. Perjalanan yang sepatut bermula pagi telah ditunda sehingga pukul 3 petang. Masing-masing sudah membebel selepas jam demi jam kerana terasa rugi masa yang dibuang untuk menunggu. Sim Card telah bertukar kepada Syarikat Telekomunikasi Thailand. Jika kita ingin menelefon ke Malaysia maka kita perlu menekan 0076 dan diikuti nombor telefon.
Perjalanan bermula dengan Toyota D40 memuatkan 11 pelancong dan seorang pemandu warga Thai keturunan melayu. Selepas 2 jam, van berhenti di stesen minyak di Palas (sebutan yang didengar) dan kami menjamah laksa siam. Kami teruja melihat bagaimana orang siam makan, sayur penuh di meja percuma dan air kosong (percuma) yang sepatut ditiru oleh kita.
Selepas solat jamak dan makan, perjalanan diteruskan di jalan raya yang begitu selamat kerana ianya sehala dua lorong. Alhamdulillah, van dipandu Sayuti dengan kelajuan 120 km/j menyebabkan ada yang terlena sehingga dikejutkan di simpang ke Songkhla di mana kami akan singgah di Pantai Samila, Songhkla.
Inilah Samila Beach yang terkenal di Songkhla yang menjadi kunjungan warga Thai dan pelancong. Apa istimewanya pantai ini tidaklah di ketahui tetapi sebuah patung duyung menjadi sebutan beberapa rakan yang telah sampai di sini.
Inilah duyung yang dikelilingi pengunjung untuk bergambar. Pernah dicuri kerana nilai tembaganya suatu ketika dan dijumpai kembali untuk tatapan pembaca blog. Jam sekitar 6.30 ptg (waktu Malaysia) dan selepas itu perjalanan diteruskan dengan manaiki feri untuk ke seberang sebelum diteruskan perjalanan ke Bangkok yang dijangka akan sampai keesokan hari.
Inilah rombongan pelancong Malaysia dari pelbagai latar belakang dan pekerjaan menjadikan perjalanan ke Thailand kali ini memberikan pengalaman yang berbeza.
1 comment:
Tak ikut demonstrasi pakaian merah di Bangkok ke?
Post a Comment