Tuesday, January 5, 2021

Terima kasih Jabatan Penjara Malaysia

31/12/2020

Hari terakhir sebagai Pegawai Kader KPM di Jabatan Penjara Malaysia.

5 tahun bersama sudah tentu meninggalkan kenangan yang banyak. 

2015 - selama 3 bulan membuat analisis persekitaran dan merancang pelan strategik pendidikan yang memang tamat pada 2016.

2016- mula membina kolaborasi sebanyak mungkin dengan konsep jaringan dan jalinan. 

2017- menggunakan kolaborasi yang ada dan mula mencipta inovasi kerana pendidikan di penjara perlukan kelainan.

2018- Meningkatkan prestasi pendidikan dengan lebih berfokus kepada kuantiti dan kualiti mengikut acuan.

2019- Prestasi sedia ada ditambah baik dengan mencipta pelbagai aliran sesuai dengan situasi dan peranan pendidikan

2020 - Reformasi
Pendidikan Korektif dijadikan produk baru .

Monday, December 28, 2020

Lapor diri

Tepat jam 9 pagi. 

Masuk melalui pintu gerbang Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara. 
Saya datang nak mendaftar di sini. 
Mengadap EO, Puan Shazreen sambil menunggu untuk berjumpa Pengarah .

Alhamdulillah , persinggahan seterusnya. 2021 kembali sebagai pensyarah.

Ya Allah, permudahkan urusan ku dan keluarga. 

Saturday, December 12, 2020

Sudut Rindu

Sudut ini telah merindui kami sejak 8 tahun yang lalu. Merindui buka dan tutup daun pintu berwarna mahagony yang saban hari berbunyi.
Kiraan jari sahaja masa membenarkan kami melihat sudut itu. Almari seusia pintu kaku tanpa adanya alih mengalih isinya.

Sudut Rindu adalah gambaran jiwa kami yang memilih hijrah. Hijrah dengan harapan membuahkan sesuatu yang amat tinggi nilai duniawi dan moga membawa kepada keredhaan bagi ukhrawi.

Thursday, December 10, 2020

Rentas Negeri 1

Bermula pukul 4.30 petang kenderaan bergerak ke Pahang sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan. Jalan lancar dengan sedikit sesak di kawasan Cheras. Di Karak Hiway, ada lori terjatuh ditepi gaung menyebabkan kesesakan sekitar Selesai Hill homes. Singgah makan di Bentong iaitu kedai Best Tomyam berdekatan pusat servis toyota. 

Universiti Universal


Berkunjung ke OUM di Kelana Jaya. Kami membawa beberapa persoalan yang penting untuk memperkasakan pengajian tinggi di dalam tembok batu.

Sejak kerjasama bermula 2008 , terdapat 19 orang banduan telah menamatkan pengajian dengan jayanya.

Terdapat pelajar yang mengikuti program Diploma, Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran. 

Pintu penjara tidak pernah menutup pintu intelek. Ini bermakna, selain daripada pengajian lanjutan, ruang untuk meningkatkan peluang menjadikan penjara juga sebagai gedung ilmu amat terbuka.

Ilmu di universiti atau kolej akan memberikan sijil dan ilmu. Bagaimana dengan universiti terbuka di Penjara? 

Setiap individu dalam penjara sedang mengajar kita sebenarnya. Banyak perkara boleh diperolehi daripada mereka kerana bab demi bab yang kita pelajari adalah dinamik.

Banyak elemen emosi , fizikal dan juga spiritual sedang melatih kita. Ia menjadi pengajaran yang sangat bermakna.

Kurungan itu sendiri adalah kurikulum. Jika sesiapa ingin belajar, pejamkan lah mata dan lihatlah dengan mata hati. 

Setiap detik amat jelas kedengaran dan hitungan masa memercikkan peluh dingin sepanjang masa.

Aduh! Sukarnya terasa apabila kesesakan berada di dalam jiwa. Redah, keluh kesah adalah persepsi kita tentang mereka. Ia ternyata benar kerana keperitan itu tiada batas. 

Inilah universiti universal yang perlu dipelajari dalam diri. Ketika ini, jiwa hanya dapat ditenangkan dengan membuang pandangan mata zahir kerana is adalah hanya tembok bisu.

Inilah asas memberi makna kepada konsep memanusiakan manusia yang suatu ketika pernah dilihat sebagai haiwan.

Elemen Korea


KOREA.

Bila anda mula kenal orang Korea? Saya bermula dengan kelayakan Olimpik Moscow. Malaysia vs Korea Selatan. Kim Jae Han antara nama kalau tidak silap adalah nama salah seorang pemain mereka. Opp saya silap, bermula tahun 70an ada seorang pemain bola korea di Liga Jerman. Mama beliau Cha Bee Keum gitulah lebih kurang.

Kemudian Olimpik 1988 , Korea juara , pingat emas hoki. Itu juga satu usaha mereka hingga berjaya sebagai kuasa hoki. 

Selepas itu tiada sudah hal berkaitan hinggalah pula datangnya korean movie dan korean songs.

Biasalah lagu dan filem mudah diterima masyarakat. Iris adalah drama bersiri pertama kami lihat dan beberapa drama lain seperti 100days prince, Seventeen, wok of love dan back street rookie.

Itulah Korea dalam hidupku

Monday, December 7, 2020

Smash

Malam ini bersenam di gelanggang. Segi empat tepat bergaris , berjaring ini bukan sesuatu yang baru. Ia bermula dengan gelanggang depan rumah dibuat dengan kayu sebagai garisan akhirnya membawa kepada berada di dewan satu gelanggang di tengah bandar. 

Ayah pemain badminton untuk kelab yang kebanyakannga guru. Dia suka raket Carlton walaupun begitu pastinya dia ada raket kayu yang perlu dikunci untuk elak daripada bengkok. 

Bila jadual bermain pada waktu Malam, ada juga aku ikut kerana boleh la aku berpeluang untuk bermain pada set akhir ketika semua sudah penat. Kemudian, kami akan ke kedai untuk minum. Aku suka air laici buah dan ayah akan minum coke. 

Semasa di tahun enam, aku bersama beberapa rakan dipilih untuk mewakili sekolah ke pertandingan badminton di stadium Chung Hwa pada tahun 1982.

Aku mewakili acara bergu bersama Kamal, sahabat sekelas yang juga sentiasa menjadi pesaing ku baik dalam sukan dan juga akademik.
Acara dijalankan secara kalah mati , pada peringkat suku akhir kami ketinggalan 7-14. Kami akhirnya memang dan menjadi juara acara bergu lelaki bawah 12 tahun peringkat negeri
Pada tahun itu, Kami terpilih mewakili negeri dan kejohanan dilangsungkan di Kota Bharu.
Badminton akhirnya kutinggalkan kerana bakat ku tidak cukup kuat untuk ku kejar. 

Jadikan aku pemain badminton sosial sahaja.

Sunday, December 6, 2020

Cabaran; antara kelemahan dan kelebihan

Main golf di Monterez semalam. Tee off first hole 9 memerlukan bola dihayun sejauh 200 meter kerana di depannya ada kolam.
Seluruh tenaga dan kaedah difikirkan untuk melepasi cabaran. Tiada jalan alternatif di kiri atau kanan.
Apa yang perlu adalah kekal fokus dan jangan ubah asas pergerakan. 

Inilah isu dalam organisasi yang sering kita temui. Halangan didepan bukan untuk dielakkan tetapi untuk kita kumpul dan gabungkan ilmu serta pengalaman supaya ia dapat diatasi.

Bagaimana jika kita memang belum mampu untuk melepasi halangan itu? Dalam golf, kita diberikan drop zone dan ambil penalti. Ini adalah realiti kehidupan. Perkara yang belum mampu diatasi maka kita perlu terima itu sebagai kelemahan. Ambil dulu teguran dan denda tetapi pada masa yang sama usahakan untuk tambah ilmu dan pengalaman. 

Satu lagi , ada 18 lubang dalam permainan. Ambil lah manfaat di lubang yang kita kuasai. Kelemahan kita tukarkan kepada kelebihan di tempat lain.

Saturday, December 5, 2020

Sagem bergegar

Di suatu pagi di Bandar Kota Kinabalu sekitar tahun 2000. Kami bercuti dengan beberapa orang sahabat Belaga. Malam sebelum itu, aku telah membeli sebuah handphone jenama Sagem. Cantik bentuknya dan rasa gembira sangat dengan adanya Sagem tu.

Kami sudah menempah van untuk ke Kundasang dan menjejak kaki ke kaki gunung Kinabalu buat pertama kali.

Kami singgah makan dulu sambil menunggu panggilan pemandu van. Sagem kuletakkan di tali pinggang dalam bekasnya. 

Tiba² terdapat getaran di perut ku, aku terkejut dan hampir menarik dan mencampakkan Sagem kerana getaran itu tidak pernah kurasakan.

Ya Allah , semua mata memandang ku dan kawan2 ketawa terbahak bahak termasuk isteri ku.

Kenangan Sagem Vibrate ini akan dikenang selamanya.

Sunday, November 22, 2020

Coretan untuk kekasih


Setelah lama kita bersama
Ungkapan kata tiada berbeza
Dunia indah diraikan sentiasa
Agar kekal buat selamanya

Cinta yang murni
Lahir dari nurani 
Kurniaan mu Ilahi
Hingga ke saat ini

Putaran masa dalam hidup kita Mengalunkan bait bait cinta
Dari kekasih kepada kekasih
Dalam melayari hidup berdua

Terima lah segala yang ada
Yang terindah jangan sementara
Adat berkasih membawa kita
Dewasa diri seiring masa


Thursday, November 19, 2020

Hari Khamis yang baik

Masuk kerja dengan memakai baju batik merah tetapi ramai rakan pejabat pakai warna biru. Ini baik kerana those who can stand alone will always build the inner strength.

Makan pagi, duduk di meja Pengarah BPP. Tiba2 DSKJP masuk dan duduk bersama. Sesuatu yang baik apatah lagi beliau akan bersara tidak lama lagi.

Sedang duduk dengan DSKJP, ada tetamu menegur DSKJP dan dapat lah berkenalan. Dia berjanji untuk bantu pendidikan di Penjara. Baikkan?

Petang, Mesyuarat dengan Pengarah dan kami dpt keseluruhan 250k untuk beberapa sekolah. Sangat baik.

Itulah Hari Khamis yang baik

Wednesday, November 18, 2020

Kefungsian

Suatu ketika dulu, seorang Pengarah telah memulakan idea bahawa jika sesuatu yang perlu  maka mesti diadakan, setiap yang ada mesti berfungsi.

Fungsi yang diperlukan ditentukan oleh kehendak organisasi dan visi yang diterima semua penjawatnya.

Salam kawasan organisasi, kadang2 kita tidak tahu mengapa sesuatu perlu ada. Kita yang diluar tidak boleh memberikan andaian sendiri.

Biarlah mereka yang jelaskan bukan kita.

Mengambil kesempatan berada di KDN, marilah kita lihat beberapa pemandangan yang mereka sendiri tahu kenapa.

Sekian. 

Tuesday, November 17, 2020

KDN dan kadar nadi rehat

Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Jam pintar ku tekan dengan harapan agar denyutan nadi rehat yang baik. Seketika, aku menunggu , tup tup 87. Aduh, apa yang berlaku pada diri ku? Tak semena-mena terasa sesak nafas dan lesu. Perut semakin kembung. 

Setelah selesai solat subuh , aku menerpa ke dapur dan segelas milo kosong dan sedikit donut menjadi santapan dengan harapan ia kembali pulih seperti biasa.

Setelah itu, aku bergegas ke KDN untuk pre council pertemuan dengan wakil Unicef bersama TKSU Tuan Haji 

Pertemuan itu berakhir dan sepinggan mihun goreng dan buah-buahan mengalas perut ku.

Aku semakin baik tetapi aku tidak pasti sebabnya kenapa kadar nadi rehat ku terlalu tinggi.

Wednesday, September 16, 2020

Temujanji Doktor 14/9/2020

Temujanji doktor datang lagi. Selepas 9 bulan ,rutin ini tetap ada walaupun temujanji seterusnya adalah setahun lagi. Selepas ambil darah maka menunggulah untuk berjumpa doktor. 3 jam menanti untuk mendengar nasihat dan laporan. 2 keputusan yang perlu perhatian. Tahap kolestrol adalah 5.7 yang aku kira baik. Rupanya masih ditegur doktor kerana LDL masih tinggi. Kedua, buah pinggang tinggi bacaan kreatinin agak tinggi. Doktor pesan, jangan ambil apa2 yang ubat,suplemen yang dikatakan boleh membantu fungsi buah pinggang. Malam nya, aku pun cuba lah berubah. Makan ikan siakap stim limau dan nasi serta sup sayur. 

Saturday, July 11, 2020

Mekar

Sesuatu yang menjadi kenangan boleh jadi manis dan pahit. Ia telah berlaku dan tidak akan kembali. Hargailah saat² itu kerana ia adalah warna warni dalam kehidupan. 
Bila pulang ke kampung maka kenangan itu pasti menjelma dan sentiasa mekar di jiwa. 
Mari kita tulis lagu bagi mengimbau saat² itu.

Apa tajuk dan diletakkan? Saya ambil tajuk Mekar. Apa maksud mekar ye. Mekar kita definisi sebagai sesuatu yang berkembang tumbuh.

Jom mulakan rangkap pertama

Sekian lama ku tinggal kan
Saat dan waktu yang berlalu
Detik yang terus berputar di paksi
Tidak sedikit pudar di ingatanku

Indahnya waktu yang berlalu
Kenangan mengusik dalam jiwa
Siang dan malam penuh bermakna
 Bersama keluarga dan sahabat tercinta

Purnama demi purnama 
Kenangan demi kenangan
Semua itu mekar di kelopak hati ku
Tiada dapat kulupakan

Purnama demi purnama
Kenangan demi kenangan
Mekar subur membina jiwaku
Oh ku rindukan waktu yang berlalu

Biarkan lah setiap yang mekar
Terus berbunga harum di hati
Sentiasa subur dan mewangi
Untuk selamanya

Monday, June 8, 2020

Di atas Sejadah

Di atas sejadah di malam yang sunyi
Bersama malam yang panjang
Insan yang lemah jiwa dan raga
Mencecahkan dahi di dalam sujudnya

Menginsafi setiap langkah yang silap
Mensyukuri segala pemberian Ilahi
Memohon ampun sambil menadah tangan
Suara yang halus mengharap keredhaan

Di atas sejadah ini luas rahmatnya
Di atas sejadah ini ada keampunan
Di atas sejadah ini diterima pengharapan
Kerana dekatnya hamba dengan Pencipta

Dia lah tuhan yang Maha pengampun
Mengampuni sesiapa yang memohon kepadaNya
Dia lah tuhan maha pemberi
Memberi sesiapa yang menghajati
Di setiap akhir malam yang sunyi
Bagi setiap insan yang sudi


Monday, May 25, 2020

Sakit perut di 2 Syawal

Selepas selesai makan malam dengan berlaukkan tomyam dan ikan pekasam aku berehat seketika. 3 biji karipap mini ditambah selain daripada teh o lemon. 
Sambil melabuhkan badan di katil, perutku terasa lain macam. Memulas dan memulas. Aku cuba sapukan minyak angin tetapi ia semakin teruk. Setiap kali aku terlenapun hanya sekejap sahaja. 
Perut oh perut. Aku ambil hydrosol mengharapkan kesakitan berkurangan. 
Jam pukul 2 tetapi sakit masih disitu. 
Aku ambil sedikit air zamzam dan disusuli dengan madu.

Sakit masih belum pulih. Pukul 4 pagi,aku ajak isteri ku ke hospital Kajang.

Harapnya sakit akan berakhir

Saturday, May 16, 2020

Hari Guru 16 Mei 2020

Guru.... 
Aku juga guru....
Tolong ingat kan aku....
Jangan biarkan aku alpa ...
Tugas ku sarat dengan amanah
...

Guru...
Aku juga guru...
Aku menjaga kanak²...
Aku mengajar remaja² kita...
Bantulah aku tunjukkan jalannya...

Guru...
Mari kita raikan...
Hari Guru untuk kita semua...
Yang menjaga dan mengajar mereka...
Ilmu yang penuh harapan baharu....

Guru...
Jangan kita terpesong matlamat dan tujuan...

Guru...
Selamat Hari Guru...
Ikhlas lah memberi agar ilmu akan menjadi benih...
Menyuburkan jiwa anak merdeka...
Mereka tidak ingin menjadi penyebar fitnah yang melata...
Mereka adalah harapan negara..
Membina negara bangsa agar terus berwibawa...

Tersalah ajaran membawa porak poranda...
Terlajak berbicara tidak masuk ia ke dada....
Terbuang ikhlas mu tersungkur lah mereka...
Tergesa² menghukum yang tertinggal hanya dendam sahaja...

Yang kita mahu jaga adalah pekerti mereka
Yang kita mahu ajar adalah ilmu kepada mereka
Yang kita mahu didik adalah jiwa mereka
Yang kita mahu lihat adalah kejayaan mereka

Kita? 
Kita gembira dengan pekerti mereka
Kita bangga dengan pencapaian mereka
Kita kagum dengan kehalusan jiwa mereka
Kita masih tetap guru biar siapa pun mereka 

Jika mereka lemas dan Tak bermaya kita akan sesak nafas juga... 
Jika mereka gagal kita turut kecewa...
Kerana sepatah ilmu diberikan maka mereka telah layak mendoakan kita dalam doa mereka.

Guru..
Terima kasih guru...
23 Ramadan 1441H
16 Mei 2020

Wednesday, May 13, 2020

2 hari menjadi tokey kuih

Bila jumpa gu yang jadi kerja ( Bila jumpa kawan yang sekufu) maka jadilah banyak perkara yang boleh dilakukan.

Semalam kami bersama² rakan pejabat menyediakan juadah berbuka puasa. 

Kami sediakan butir nangka. Berpakat lah kami sama² menguli tepung pulut dicampur sedikit tepung gandum. 
Kuahnya disediakan oleh ibu seorang kawan pejabat. Apa lagi, itulah kali pertama belajar dari menguli tepung sampai ke bungkus. Dapat lah 15 biji seorang untuk dibawa balik untuk juadah berbuka.
Hari ini, kami berpakat buat onde² pula. Alhamdulillah menjadi dan dapat disediakan kepada 20 staf. 

Nikmat mana lagi yang tidak Kita syukuri. Salam malam ke 21. 

Tuesday, May 12, 2020

Tema Hari Guru 2020

Satu Kupasan Ringkas Tentang Tema Hari Guru 2020.

Tema Hari Guru 2020 yang dimuat naik oleh KPPM iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” adalah sangat menarik untuk dikupas tanpa melihat kepada hasrat KPM sendiri. Biarlah KPM yang menjalankan tanggung jawab mereka untuk memastikan tema ini disuntik ke dalam jiwa murid-murid melalui guru di sekolah.
Berguru demi ilmu adalah detik yang biasa dicapai oleh orang dewasa setelah mereka melepasi asas-asas dalam kehidupan. Kita mengambil contoh, seorang Ketua Setiausaha Kementerian sebagai insan yang pernah menjadi murid dan menjawat jawatan tertinggi dalam bidang pentadbiran awam. Ada dalam kalangan mereka mula belajar mengaji quran dengan guru di Pusat Pengajian secara formal. Ketika ini umur mereka sudah mencecah 50-an yang kalau diambil kira sepatutnya mengaji quran ini adalah asas atau tapak pertama kehidupan. Adakah mereka tidak mengaji dulu dengan tok guru semasa mereka masih kecil atau dibangku sekolah? Ini lah bagi saya mengapa tema kali ini memilih frasa begitu. Berapa kerat kita berguru demi ilmu semasa bersekolah dahulu? Walaupun kadang-kadang saya fikir macam tiada pahala pula kerana kita disuruh belajar kerana Allah. Mungkin ini jalan pertengahan dengan mengambil kira situasi negara. Perkara ini boleh dibincang oleh pakar dalam bidangnya.
 Mengupas maksud Berguru demi ilmu bagi seorang murid bermula di sekolah rendah bermakna kita dalam usaha  untuk mengubah landskap pendidikan di negara ini. Apa yang dihasrat dalam Falsafah Pendidikan Negara adalah untuk membina insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Berguru demi ilmu untuk jasmani yang seimbang bermula dari gaya hidup yang sihat. Apakah keperluan Gaya Hidup Sihat (GHS) untuk tempoh 6 tahun bagi memastikan mereka akan mendapat ilmu tentang kesihatan fizikal. Mungkin ada keperluan untuk menukar subjek PJPK  kepada Kesejahteraan Fizikal (KF) untuk Tahun 1 – 6.  
Ujian SEGAK adalah sebahagian daripada apa yang ada tetapi nampaknya kita perlu tambah dan membuat modifikasi kepada masa 6 tahun mereka di sekolah untuk mencapai satu tahap di mana mereka dapat mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian. Selepas itu, mereka akan naik ke tingkatan 1 – 5. KF yang diperlukan adalah mendalamkan kefahaman sehingga mereka mampu mencipta aktiviti yang dibina hasil daripada kefahaman mereka dalam bidang kesihatan fizikal. Kita tidak perlu lagi memasukkan semua jenis sukan ke dalam buku teks sekolah. Saya suka untuk melihat bagaimana suasana aktiviti fizikal di sekolah adalah hasil ajaran guru di dalam kelas yang mana pengetahuan guru KF amat membantu mereka membuat analisa tentang gaya hidup sihat.
Berguru demi ilmu juga menjadikan murid-murid lebih cakna tentang emosi diri. Mereka perlu diberikan input yang sesuai untuk mengawal emosi. Kita bukan mengundur tetapi melihat kembali zaman 70-an adalah sangat memberi kesan kepada peningkatan emosi murid-murid. Banyak aktiviti dijalankan yang memberi kesan emosi yang sangat baik kepada anak-anak murid. Jika kita bertanya kenapa sekarang cerita Korea lebih disukai berbanding cerita Inggeris? Manusia suka kepada kesan emosi kepada mereka berbanding cerita peperangan zaman moden yang kadang-kadang semuanya menggunakan kesan khas semat-mata. 
Elemen kesusasteraan dan seni perlu ditambahbaik dalam konsep Berguru Demi Ilmu kerana dari aktiviti beginilah kita menyentuh jiwa halus manusia. Mereka perlu berkarya dan masalah subjek yang ada kini adalah ia terlalu rigid sehinggakan semuanya seakan boleh disusun seperti bermain blok kayu. Bagaimana hendak kita terapkan elemen Berguru Demi Ilmu jika semua boleh dicatur. Kurangkan  subjek dan lebihkan tema yang perlu kepada kanak-kanak dan remaja adalah lebih penting dengan tema Hari Guru 2020.
Membina rohani dalam diri sangat sukar dengan kaedah sekarang. Guru Pendidikan Islam mengharapkan A berbanding menghayati dan mendalami ilmu itu sendiri. Pendidikan Moral juga begitu. Semua nilai adalah dihafal untuk menjawab peperiksaan. Bagaimana kita nak ubah mereka mulai 2020 ini. Kandungan terlalu banyak menyukarkan mereka membuat penghayatan tentang nilai kemanusiaan itu sendiri. 
Isu intelek adalah lebih sulit untuk dimulakan dengan konsep Berguru Demi Ilmu. Kecenderungan mereka pelbagai. Minat mereka pelbagai. Walaupun kita telah menyediakan acuan berdasarkan kecenderungan tetapi kita masih meletakkan nilai manusia berdasarkan pekerjaan. Berhentilah. Jangan lagi ada yang mengandaikan bahawa orang terhebat adalah pekerjaan ini dan kerja itu hanya kerja biasa. Macam mana kita nak beritahu mereka bahawa setiap ilmu yang ada dapat adalah untuk memberi manfaat kepada manusia lain. 
Untuk membina Generasi selepas Covid 19 sebagai generasi baharu. Frasa kedua yang menjadi implikasi kepada Berguru Demi Ilmu iaitu Bina Generasi Baharu.
Generasi Baharu yang kita ingin bina perlu perubahan secara total. Semua Bahagian di Kementerian Pendidikan dahulu berubah dahulu. Cukuplah melabelkan sekolah dan kelas. Mengukur melalui akademik patut dihukum selepas ini. Kita cuba dan laksanakan ini sehingga mereka berusia 15 tahun. Jika kita berjaya dalam masa 9 tahun maka kita boleh lihat murid-murid berusia 16 tahun kita lebih berdaya saing di mana mereka akan mempunyai kompetensi diri, keyakinan, perwatakan yang mampu menjadi generasi yang hebat. 
Jangan berlengah lagi untuk memulakan . selepas 9 tahun maka kita akan masuk 2030. Kemana hala tuju negara? Kalau dulu kita mungkin lihat TS 25 mampu dicapai tetapi pencapaian yang bagaimana? Adakah Pengurusan Berasaskan Sekolah akan Berjaya? 
Tema ini amat sesuai untuk membuat perubahan.  Guru perlu berubah 100 peratus termasuk yang ada di institusi pendidikan atau universiti. Jika perlu, guru bertaraf kontrak adalah perlu, lakukan nya. 
Mungkin kaedah 20 tahun + 10 tahun untuk pekerjaan boleh difikirkan bagi menjadikan pendidikan negara kita lebih mampan. In Sha Alllah.
* Ini hanyalah pandangan penulis sahaja dan tidak mewakili mana-mana jabatan atau organisasi.