Friday, May 15, 2009

Suatu Hari Di Hari Jumaat

Hari Jumaat - 15 Mei 2009

Teringat sebuah lagu nyanyian yang keluar dari corong radio Sinar Fm semasa memandu.. Kuaa Lumpur yang penuh dengan pahala dan dosa, namun terpaksa dihadapi kerana mencari rezeki...

Suara itu menyebabkan aku terfikir betapa sukarnya menjadi warga kota di mana kehadiran mereka tidak disedari sesiapa tetapi ketiadaan mereka sangat dirasai. Tiada siapa yang peduli makan pakai mereka tetapi tangan mereka diperlukan untuk satu undi berharga.

Terpaksa berhenti sekejap... (bersambung 6.44 pm)

Jam menunjukkan 4.35 pm, masanya untuk menghantar abang jan ke Hentian Putra. Projek penyelidikan Rubaiya di simpan ke rak dan buku Drake dan Hoe serta Sergiovanni dibawa ke kaunter untuk pinjaman. Harap-harap ada masa untuk menambahkan ilmu kepemimpinan.

Tepat jam 5 pm aku sudah berada di AG2, sambil minum orange twister dan makan kacang sepat, aku membaca Harian Metro. Rumah menjadi sunyi tanpa suara rakan-rakan dan kedengaran deruman kenderaan yang membuat pusing balik.

Ku putarkan Teresa Teng beberapa kali sambil mengelamun, Dunhill kalau dulu sudah pasti menjadi teman di kala keseorangan begini. Itu dulu! Teringat kata-kata Pecol di Imegresen Kota Bharu sebulan yang lepas.

'Messenger with voice' asyik menunjukkan ada sesuatu yang boleh dibaca di email. Ku buka satu email dari Yati. Rupanya kurang sihat. Insyallah 2/3 hari lagi kembali seperti sedia kala.

Selimut ! Oh ye! Selimut belum dimasukkan ke dalam beg lagi. Kalau tidak nanti permaisuri akan tanya. ( bangun dan memasukkan selimut ke dalam beg )

Rupanya sudah hampir 2 jam aku meniarap di ruang tamu. Menanti masuknya waktu maghrib sebelum aku pula akan bergerak ke Hentian Putra buat sekaliaan kalinya.

Besok ! Seluruh guru akan menyanyikan lagu Guru Malaysia dan yang paling aku minati ialah

Untuk guru, harapan bangsa

Nilai yang utama pada negara

Baktinya mulia tidak terkira

Perjuangan abadi untuk nusa bangsa

-

c/o

Oh! Tuhan ku mohon padamu

Doa restu buat guruku

Yang berjasa pada kami

Suka duka selalu dirasai

-

Semoga guru, yang akan pergi

Terus perjuangan pada negara

Ajaran guru, tetap kami ingat

Akan ku kenang hingga akhir nanti

nyanyian pelajar SMK Belaga suatu ketika dulu
terima kasih Maswafi atas lirik ini

Thursday, May 14, 2009

Selepas Jogja dan Solo : Laporan Aktiviti

2 tenaga penting ( Hazura dan Woo ) dalam mendokumenkan aktiviti lawatan dan laporan untuk diberikan kepada pihak universiti. Syabas untuk JK terlibat kerana terpaksa meneruskan kerja-kerja terakhir.
Perbincangan tentang kesesuaian foto dan perincian laporan sebelum diserahkan.

Tekun dan tabah untuk memastikan kesesuaian (pas) gambar foto dan laporan

Sukarelawan yang sentiasa bersedia membantu amat dihargai, maklumlah lahirnya 1 Jan
Memilih foto dan menaip perenggan-perenggan yang berkaitan

Apa masalah dengan nescafe ?

Belumpun habis ku sedut nescafe yang dibungkus daripada kantin....
Perut terasa begitu sebu.......
Terasa tertendang angin ke atas menyebabkan burp! burp! burp! ahhh malunya.
Apa masalah dengan nescafe ?

Tetiba perut menjadi buncit....
rasa amat tidak selesa dengan keadaan ini....
Puhhh! Sudah tahu masih mahu dicuba...
Apa masalah dengan nescafe?

Wednesday, May 13, 2009

Statistik : Ujian Mann-Whitney U

Ujian ini biasa digunakan dalam kajian bukan eksperimental, terutamanya dalam kajian tinjauan bagi membandingkan persepsi,pendapat atau tahap persetujuan antara dua kumpulan sampel bebas berkenaan sesuatu isu, peristiwa, fenomena dsb. Ia kadang-kadang juga digunakan bagi menganalisis data kajian eksperimental, terutamanya bagi membandingkan suatu variabel bersandar antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan, apabila data kajiannya tidak memenuhi syarat ujian -t untuk sampel-sampel bebas, di mana data kajian merupakan data skala selang atau nisbah tidak bertaburan normal.
Dalam kajian yang menggunakan ujian mann-whitney U sebagai ujian statistik, variabel dalam kajian terdiri drp :
Variabel bebas - dua kategori yang bebas seperti jantina ( l/p) , pengkhususan akademik ( sains/sastera

Variabel Bersandar- disusun secara pangkatan, misalnya tahap kesesuaian (bermula dari tahap Sangat Tidak Sesuai hingga Sangat Sesuai menggunakan skala ordinal.

Pada kebiasaannya, data mentah iaitu skor skala ordinal yang dikumpul terus daripada responden tidak dipamerkan dalam laporan kajian, maka graf BOXPLOT akan digunakan bagi menunjukkan perbezaan antara kedua-dua kumpulan responden selepas analisis ujian mann-whitney U melalui program SPSS

(dipetik daripada Asas Statistik Penyelidikan, Buku 3 Chua Yan Piaw) McGraw Hill Education

Kumpulan Gamelan

Kumpulan Gamelan ini ditubuhkan pada 6 Mei 2009 atas kesedaran untuk memperkembangkan muzik tradisional supaya budaya sesuatu bangsa boleh dipertahankan demi kebanggaan dan kehormatan. Ahli kumpulan ini terdiri daripada Pak Armadhuya Budimanoto, Pak Naserithomo Sorombanoyo, Pak Laubitoro Sibuyarta dan Pak Azhanorto Kelatenoyo.

Tuesday, May 12, 2009

Bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke ????: DS Nizar

Syukur alhamdulilah kepada semua warga dan rakyat Perak khususnya dan Malaysia amnya yang telah sabar dan mendoakan untuk kemenangan dan keselamatan seluruh rakyat Perak. Selama 3 bulan kita dalam suasana krisis perlembagaan oleh kerana perbuatan rakus merampas hak rakyat negeri Perak pada 5 Feb. 2009 lalu.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah berkerjasama dan mendoakan kejayaan ini. Marilah kita bertenang, terus memuji kebesaran Allah SWT serta memohon keampunan dari Allah SWT.

Semua rakyat harus bertenang dan Pakatan Rakyat akan meneruskan khidmat kami membantu rakyat serta membela rakyat yang memerlukan banyak perhatian dan pertolongan dari kerajaan. Sesungguhnya kami akan meneruskan dasar serta janji demi kebaikan rakyat dan melaksanakanya di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Semua rakyat Perak beragama Islam mesti menunaikan solat sebagai tiang agama dan kembali kepada ajaran Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah kita akan banyakkan lagi program kebaikan dan membenteras kemungkaran demi berhasrat menyelamatkan bangsa, negara dan agama oleh kerana gejala sosial seperti dadah, rokok, ragut, rempit, zina, mabuk, tak sembahyang, jahil dan lain-lain.

Maka marilah semua kaum dan rakyat Perak kita ikut dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang tubuh serta mengikut Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara supaya dapat kita bangunkan balik tamaddun Islam yang telah lama tidak di beri perhatian wajar.

Sebagai Ahli Parlimen P059 Bukit Gantang pula saya mengajak seluruh warga parlimen tersebut mengemukakan segala masaalah mereka melalui pusat khidmat masyarakat yang telah saya dirikan di DUN Chagkat Jering, Kuala Sepetang dan dua pejabat di Trong.

Kepada semua kakitangan Kerajaan di semua peringkat, marilah kita laksanakan khidmat kepada rakyat dengan menganggap semua titik peluh kita sebagai amalan membantu rakyat agar mereka tidak menuntut hak mereka di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Marilah kita ambil kesempatan memberi sumbangan kepada rakyat yang cukup terhimpit akibat krisis ekonomi global kini.

Kepada semua media, marilah kita bebaskan diri kita dari belenggu fitnah dan sindrom enggan melaporkan yang benar. Kepada semua bloggers dan media kerajaan, saya pohon keampunan atas kesilapan dan ketelanjuran saya. Saya turut memaafkan serta mengampunkan kesilapan kalian.

Kepada semua pegawai dan penjawat awam, jangan lagi menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya buat kerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Kepada RTM FM Perak, berlaku adilah kepada saya dan Pakatan Rakyat untuk suara saya didengari oleh rakyat Perak kerana saya cuma mahu mengajak kaum saya bersolat dan berilmu. Saya bertemu dengan Menteri Penerangan ketika itu, Dato' Shabery Chik dan merayu berilah saya setengah jam seminggu untuk mengajak orang Melayu supaya patuh pada Allah dan jangan lalai. Hendaklah serius beragama. Maka berilah ini kepada saya. Namun tiada layanan darinya dan warga Perak FM di Ipoh. Tolonglah kami kerana kami difitnah dan danayai. Belalah Islam!.

Kepada semua warga tani, peladang, penternak dan nelayan, saya sayang kepada kalian semua dan akan membantu melegakan kehidupan yang terik sekarang.

Kepada semua ketua JKKK yang telah diberi surat watikah oleh saya sebagai MB tempoh hari, teruskan usaha baik tuan-tuan kerana dipilih oleh rakyat. Ini telah diperkenan oleh ke bawah duli yang teramat mulia Raja Muda semasa saya mengesyorkan usaha memilih ketua JKKK. Raja Muda cukup gemar dan berkenan dengan tindakan ini.

Saya kembali dengan hasrat memberikan hak kepada rakyat Perak pilih kerajaan yang kuat dan wibawa. Saya akan cuba sedaya upaya memohon perkenan Kebawah DYMM untuk bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya seluruh negeri kita.

Monday, May 11, 2009

Ucapan Tahniah Bertalu-talu

Salam,
Di mana-mana kedengaran ucapan tahniah beredar di seluruh negara sejak Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa DS Nizar masih MB Perak yang sah. Semoga keadilan akan ditegakkan di mana-mana kawasan di dunia.

SELAMAT KEMBALI KE MALAYSIA

Setelah 5 hari berada di Jogjakarta dan Solo maka kini kami kembali semula ke tanah kelahiran iaitu bumi Malaysia yang ingin di satukan oleh PM yang baru. Syukur kerana selamat pergi dan kembali namun tidak sekali-kali dilupakan kenangan indah melihat perantauan, bak kata pepatah "jauh berjalan banyak pengalaman". Terlalu banyak perbedaan dan persamaan di antara kedua-dua negara dan yang paling ketara ialah rakyat Indonesia masing memanggil lagu kebangsaan kita sebagai 'terang bulan'.

Syukur juga aku pada mu Allah kerana mentakdirkan untuk aku berjalan di atas muka bumi mu melihat keesaan mu yang tidak tertolok banding.

Syukur juga aku pada mu kerana hari ini juga aku mendapat panggilan untuk menerima lantikan ke DG 44 untuk terus melangkah jauh dalam perkhidmatan. Insyallah dan aku memohon pertolongan mu untuk aku terus berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih mempunyai orang tua yang sihat dan masih boleh melihat seorang demi seorang anak-anak mereka membesar. Terima kasih ayah dan ma, teruskan lah kehidupan dengan saling menyayangi di samping beramal untuk kehidupan yang lebih baik di alam sana nanti.

Syukur juga kerana aku mendapat isteri yang sabar dan ikhlas dalam menjalankan tanggung jawab dan mohon diampun jika terdapat kesalahan dan kesilapan sepanjang ikatan yang telah terjalin sejak 9 tahun yang lalu.

Terima kasih kawan-kawan yang tidak pernah berpaling daripada memberikan sokongan sejak ogos 2008 sehingga kemuncaknya kita bersama-sama sehingga ke hari ini. Sebagai insan biasa, marilah kita saling harga menghargai perbezaan di antara kita kerana tiada siapa yang sempurna.

Syukran Jazilan

Sunday, May 10, 2009

Peduli Jogja : 5-9 Mei 09

Pemuda ini "ketawa di foto, tetapi menangis di hati' melihat betapa hebatnya tentera Allah yang melanda segala tanpa mengenal siapa.Cuba studi banding dengan foto di bawah : Masyaallah

Gunung Merapi yang meletus pada tahun 2006 meninggalkan kesan kepada rombongan terutamanya aku sendiri kerana pada masa itu aku berada di Medan dan di sepanjang jalan kami melewati pihak yang mengutip derma yang bertema "Peduli Jogja" dan akhirnya kami telah melihat dengan mata sendiri tentang "peduli Jogja"
Inilah Bunker yang menjadi tempat menyelamatkan diri jika berlaku letusan gunung berapi, sayangnya ia menjadi kubur kepada mereka yang tewas. Jika ada kepalangan, kunjungilah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Ilahi.

Friday, May 8, 2009

Jogjakarta danSolo

Semalam sehari kami berada di Solo dan hari ini acara lawatan diteruskan dengan melawat Istana Sultan Yogjakarta. Terima Kasih Bapak Aji yang begitu hebat berceloteh di sepanjang lawatan. Di sebelah petang, kami telah ke Gunung Merapi yang meletus pada tahun 2006. Terasa bagaimana manusia tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menentang kekuatan tentera Ilahi.

Sebaik sahaja beredar, kami meneruskan tujuan ke Candi Borobodur dan berkebetulan sempena Hari Wesak (Waisak) makanya begitu ramai yang datang terutama penganut agama Buddha.

Menaiki kereta kuda menjadi sebahagian daripada acara dengan bayaran sebanyak rp 50000.

Bahasa Indonesia yang dipelajari hari ini iaitu gratis - percuma , percuma - sia-sia

Kami juga singgah membeli buah salak dlm perjalanan pulang ke hotel.

ITULAH LAGAK SEORANG WISATAWAN

Wednesday, May 6, 2009

Selamat Datang ke Yogjakarta

Selamat datang ke Yogjakarta bapak-bapak dan ibu-ibu. Tepat jam 4.30 waktu Indonesia kami selamat tiba di Lapangan Terbang Internasional. Kami terus ke Hotel Puri Artha untuk menginap. Malam tadi kami ke Rumah Makan untuk menikmati sea food sambil menikmati persembahan dari anak-anak indonesia.

Malam tadi juga kami telah bersama sama menyambut hari lahir bapak Hussein.

Hari ini kami akan ke Uni Gajah Mada dan sekolah di sekitar Yogjakarta.

Seterusnya ke Solo.

Cuaca sangat panas dan tidak berangin mungkin kerana kepadatan kota siswa ini

Jumpa lagi

Tuesday, May 5, 2009

Jogja dan Solo

Insyallah, tepat jam 11 pagi, tayar bas akan bergolek ke LCCT untuk satu lagi pakej pelancongan sejak berada di IAB dan IPK. Jika Feb 2008 kami ke Pedalaman Sabah iaitu Salinatan dan Pensiangan maka kali ini giliran Jogja dan Solo mendapat undi yang terbanyak ahli kumpulan.

Kalau stail pengakap digunakan, maka laporan berbunyi, kami 24 ahli kohort 9 IPK 2 tidak dapat ikut bersama dengan 3 pensyarah serta seorang staf akan membuat lawatan selama 5 hari 4 malam ke Jogja dan Solo untuk lawatan sambil belajar. Fokus utama kami ialah Universiti Gajah Mada dan sebuah sekolah. Fokus yang paling utama hehehehe ialah batik pekalongan (betui ke).

Monday, May 4, 2009

Benteng Pertahanan Diri, Keluarga dan Harta Benda


Sekadar berkongsi dengan pembaca amalan yang diperolehi ketika singgah bersolat di Masjid Bandar Baru Nilai beberapa minggu yang lalu. Kita memerlukan benteng kerana kita sentiasa terdedah kepada segala macam marabahaya.

Kisah Uncle Bob's Cafe

Jika anda pernah melapangkan masa di simpang Jln TAR dan Jln Raja Laut, bersebelahan Hotel Tunes maka sudah tentu anda perbah melihat sebuah cafe yang berwarna warni dengan kerlipan lampu beserta DJ yang sedang melayan permintaan pengunjung untuk menyanyi.

Kehadiran dua penyanyi pada mlm tadi begitu menarik minat kerana sudah tentu suara mereka berdua agak sesuai untuk menjadi penyanyi, tetapi bukan itu maksud yang ingin dikongsi. Yang pertama, Samad, begitulah nama nya diperkenalkan oleh DJ. Apa yang begitu menarik dengan gerangan ini ialah bajunya yang tertera PAS untuk Semua. Wow! Samad telah membawa lambang PAS ke arena muzik tepi jalan. Hebat sungguh kerana dia sanggup, apa salahnya menyanyi sambil memperkenalkan parti yang disokongnya. Bukan ada minuman keras, hanya segelas kopi untuk pengunjung. Yang kedua, Usop namanya. Bagus suara dan macam layak untuk menjadi artis rakaman. Simple dengan seluar celoreng berbaju hitam. Sehabis menyanyikan tiga buah lagu, Usop beredar dan wow! Sekali lagi aku terpaku, di cermin kereta Usop terpampang wajah TGNA.

Jika Mat Sabu pernah berkata, macam mana anak anak muda akan sokong PAS dengan beranting-anting di pusat tetapi percayalah, tiada siapa yang boleh menjamin pemakai serban itu tidak menipu.

Sunday, May 3, 2009

Dr Nik Mazian Kekal YDP PAS Pasir Puteh

Pertandingan merebut jawatan YDP PAS Kawasan Pasir Puteh telahpun selesai dengan para perwakilan mengekalkan jawatan kepada Dr Nik Mazian ADUN Gaal untuk 3 tahun lagi. Kedua-dua pencabar beliau iaitu Drs Saiful Bahari ADUN Selising dan Ustaz Muhammad Ahli Parlimen Pasir Puteh terpaksa berpuas hati bahawa kepimpinan kawasan masih tergalas amanah kepada penyandang. Begitu juga, Cikgu Din ADUN Limbungan menang jawatan Timbalan YDP dengan mengalahkan 3 pencabar lain. Alhamdulillah, segalanya telah selesai dan diharapkan agar ahli jemaah akan terus bekerja dengan meninggalkan pakaian puak-puak masing-masing demi kemenangan Islam melalui wadah perjuangan parti PAS.

Jangan ada pihak yang cuba menjadikan kemenangan atau kekalahan sebagai alasan untuk terus menerus menggunakannya sebagai alasan untuk merendahkan pihak yang lain kerana niat kerana Allah tidak akan diganggu gugat oleh pemikiran cetek yang bersifat sementara. Teruskanlah usaha menegur pimpinan supaya mereka juga sedar bahawa setiap yang bergolek akan mempunyai naik turunnya dan pasang surut ini harus menjadi sebab kepada hilangnya rasa ego dalam hati masing-masing.

Tiada kemenangan yang kekal dan tiada kekalahan yang abadi di dunia yang fana ini dan setiap kerja agama mengharapkan kepada balasan nikmat di syurga yang kekal abadi. Jika ada golongan yang ingin mengaut keuntungan sementara ini maka tunggulah kehancuran bukan sahaja kepada diri bahkan kepada wadah perjuangan.

Selamat Berjuang untuk Mendaulahkan Islam

Saturday, May 2, 2009

Selsema Babi .... peringatan kepada semua umat manusia

Bermula dari Mexico, sekarang merebak ka USA, Europe, hingga New Zaeland, telah datang lagi bala Tuhan, satu jenis flu lebih dashsyat dari Nipah Virus , lebih dahsyat dari flu burung, inlah swine flu....datang dari kandang babi di Maxico. Mengapa ada kandang, kerana ada orang bela, mengapa orang bela kerana ada orang makan....orang itu sangat ingkar akan perintah Tuhan yang melarang makan babi.....
Di Lapangan Terbang antarabangsa Malaysia KLIA sekarang penuh dgn para pegawai kasihatan bertopeng menjalankan tugas memereksa penumpang kapalterbang kalau kalau di jangkiti penyakit ini lalu membawa pula ka negara kita.

Mengapa flu ni lebih dahsyat?.... .kerana ianya boleh berjangkit dgn udara, tercium bau atau nafas, atau udara yang dihembuskan oleh pesakit sudah cukup. Dan tak ada obat lagi....kena mesti maut punya.

Allahuakbar. ..engkau Maha Agong, flu ni adalah salah satu tenteramua yang kau sebutkan dalam Quraan, bahawa apabila manusia itu terlalu degil dan sangat mungkir, lalu kau kirimlah bala tenteramu... .tetapi manusia itu sangat degil, maka musnah lah kaum itu dan kau gantikan dgn kaum yang baru.

Dalam tahun 1918, 40 juta manusia mati kerana penyakit flu macam ini.......

Marilah kita semua beriman kepada Allah kerana di akhirat nanti hanya Islam yang diterima oleh ALLAH Pencipta sekian alam

Kota Bharu Berpesta Cuti Umum

Seperti diduga ramai, pantang ada cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu pastinya menyebabkan kesesakan yang keterlaluan di Bandaraya Islam Kota Bharu. Bermula dari hari Jumaat dan hari ini kesesakan tidak mengira siapa anda kerana semua orang menuju ke Pusat Bandar. Apa istimewanya KB tidaklah diketahui tetapi berduyun-duyun bas yang masuk. Sebagai pemerhati, saya tidak merasakan sesuatu yang pelik jika bas ini penuh dengan peserta rombongan tetapi tidakkah ada sesuatu yang pelik apabila rombongan diadakan semasa pilihanraya umum.

Hari ini, perwakilan PAS telah memilih Yang Dipertua PAS Kawasan dengan tiga calon bertanding untuk merebut jawatan yang penting untuk kesinambungan perjuangan Parti mereka. Sebagai parti yang menguasai negeri, kita amat berharap mereka yang terpilih akan menjalankan amanah yang diberikan dan terus memberikan khidmat kepada rakyat. Rakyat sedang memerhati kerana dikatakan PAS sedang bergerak untuk menjadi parti peneraju kerajaan Malaysia.

Cerita pasal durian- di Kota Bharu harga durian adalah rm5 sekilo kerana musim buah durian masih diperingkat awal. Bagi penggemar durian kampung, sabarlah jika hendak makan durian kerana harganya mencekik darah. Jika dah kempunan, silakanlah.

Kenduri- Syukur kerana budaya kenduri kesyukuran semakin menular dan keikhlasan tuan rumah menjadikan majlis walimatul urus menjadi lebih berkat. Buatlah sekadarnya tanpa memikirkan kantung. Jadikan perkara yang baik ini menjadi budaya masyarakat Islam

Friday, May 1, 2009

Selamat Hari Pekerja

“PEKERJA SEBAGAI EJEN PERUBAHAN

(01 MEI 2009 / 06 JAMADIL AWWAL 1430)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah: PEKERJA SEBAGAI EJEN PERUBAHAN.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pekerja atau buruh ialah seseorang yang bekerja dengan menerima upah atau ganjaran dalam pelbagai bentuk. Sama ada ganjaran itu tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, hakikatnya kita adalah pekerja. Kita bekerja berdasarkan matlamat yang sangat penting iaitu membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang.

Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara kita untuk membawa perubahan menuju kecemerlangan ini?. Kecemerlangan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. Justeru, kecemerlangan seluruh warga Malaysia umumnya, dan kakitangan awam dan swasta khususnya memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya. Selari dengan ajaran Islam, Allah s.w.t. telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang.

Firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Ra’d ayat 11:

Maksudnya:Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi s.a.w. bukan saja menyampaikan risalah Islam semata-mata, bahkan baginda sendiri berusaha melakukan perubahan untuk maju melalui sektor pekerjaan. Baginda adalah contoh pekerja dan pengurus yang unggul berkeperibadian tinggi seperti bersifat jujur, amanah, taat, tekun, dedikasi, dan bijak ketika membantu perniagaan Abu Talib dan Khadijah sehingga memperoleh keuntungan yang berlipat ganda.

Seandainya Nabi s.a.w. melanggar etika kerja yang disyariatkan Islam seperti menipu, zalim dan menindas, maka sudah pasti dunia pekerjaan akan tercemar. Apa yang nyata, keperibadian mulia seorang pekerja dan majikan, hendaklah diberikan penanda aras paling tinggi dan utama. Ini kerana jika pekerja dan majikan bersifat amanah serta tidak menyalahguna pangkat atau kuasa dalam mentadbir; nescaya akan mendapat keredhaan Allah s.w.t., mendapat keberkatan rezeki, dipercayai oleh pekerja dan organisasi, serta membawa kemakmuran kepada organisasi.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya:

Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama-sama hartanya.”

Berdasarkan hadith tadi, maksud ‘secara tidak halal’ itu termasuklah mereka yang tidak amanah. Sifat amanah adalah pakaian khalifah Allah s.w.t.. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam dan isinya supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati. Justeru, bagi memakmurkannya kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti tersebut adalah tuntutan bekerja secara profesional dan kemas melalui perancangan yang strategik dari sudut masa, wang, dan tenaga. Berteraskan nilai integriti, lima cabaran sentiasa mendepani organisasi yang cemerlang iaitu perubahan minda dan sikap yang mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, pembangunan modal insan yang berilmu dan mahir, budaya kerja berasas prestasi, dan daya kepimpinan yang unggul.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mimbar mengingatkan bahawa perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri setiap individu. Ramai di kalangan kita selalu berdoa memohon kebaikan ini, tetapi doa tanpa usaha adalah angan-angan sahaja. Begitu juga usaha tanpa doa untuk mendapat keredhaan Allah atas usaha yang dilakukan akan membawa kepada sia-sia. Apa yang terbaik adalah gabungan antara doa dan usaha yang sempurna akan membawa kepada kejayaan yang diimpikan.

Allah s.w.t. telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi.. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam. At-Tabrani meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya:

Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”

Umumnya manusia yang berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan, dan pengamalan ilmunya, serta melaksanakan tugas yang sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang. Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang sentiasa berhemah, berbudi pekerti mulia, dan menerima tanggungjawab sebagai amanah.

Sebagai individu yang menjadi warga kepada organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan daripada perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan ini dikhuatiri kita tidak akan mampu menyampaikan perkhidmatan seperti yang dituntut oleh masyarakat luar yang telah berubah mengikut persekitaran. Bagi melahirkan organisasi yang gemilang, individu yang menggerakkan organisasi mestilah terlebih dahulu cemerlang.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mimbar mengajak saudara dan jemaah sekalian, marilah kita muhasabah diri, sejauhmanakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini?. Adakah kita telah membawa perubahan kepada diri, keluarga, negara, organisasi dan kepentingan agama kita?. Dalam keadaan kemelestan ekonomi dunia sekarang, banyak pihak mengurangkan produk pengeluaran dan jumlah pekerja mereka. Namun kita sebagai penjawat awam atau swasta yang masih bekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang; bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai-nilai murni bagi memastikan perubahan yang lebih positif terus dicapai.

Menyedari hakikat ini, mimbar menyeru semua golongan pekerja, sempena sambutan Hari Pekerja 2009 pada hari ini, marilah sama-sama kita menanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik, sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat-sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain, bersedia menerima teguran, saling menghormati dan bertolak ansur, dan akhirnya peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran.

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 105:

Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah s.w.t. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dab nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Hotel Vistana 29 Mac2009



Ucapan En Azhan bin Anuar
Presiden Kohort 9
IPK UM 2008/09

Terima kasih di atas sokongan daripada semua pelajar yang sentiasa komited terhadap kumpulan. Kekalkan persahabatan yang dibina tanpa adanya batasan masa, ruang dan tempat. Semoga kalian semua akan terus berusaha menjadi yang terbaik kerana kita semua telah terpilih untuk memegang satu amanah yang besar iaitu menjadi pelapis kepada kepemimpinan untuk melahirkan modal insan yang akan menobatkan negara sebagai satu kuasa ilmu , kita tidak mampu untuk menjadi kuasa perang, kita juga tidak mampu untuk menjadi kuasa ekonomi kerana rakyat kita kecil bilangannya tetapi dengan kuasa ilmu , Malaysia akan melangkah jauh meninggalkan negara-negara besar lain. Untuk melahirkan ilmuan memerlukan guru yang ilmuan dan kita telah memilih untuk menyahut cabaran tersebut dan jangan lagi kita menoleh ke belakang kecuali memandangnya dengan menggunakan cermin pandang belakang supaya kita tidak akan tersasar daripada matlamat luhur, suci dan murni.

Selamat Berjaya Kawan , kirimkan berita kejayaanmu.


Thursday, April 30, 2009

Dan...... berakhirlah sebuah episod


Tepat jam 12 tgh hari foto ini telah dirakan menandakan peepriksaan telahpun berakhir. Susah senang semasa menjawab peperiksaan terletak kepada sejauh mana terdapat hubungan di antara tingkah laku calon sebelum peperiksaan dengan soalan yang dikemukakan.