Monday, December 28, 2020

Lapor diri

Tepat jam 9 pagi. 

Masuk melalui pintu gerbang Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara. 
Saya datang nak mendaftar di sini. 
Mengadap EO, Puan Shazreen sambil menunggu untuk berjumpa Pengarah .

Alhamdulillah , persinggahan seterusnya. 2021 kembali sebagai pensyarah.

Ya Allah, permudahkan urusan ku dan keluarga. 

Saturday, December 12, 2020

Sudut Rindu

Sudut ini telah merindui kami sejak 8 tahun yang lalu. Merindui buka dan tutup daun pintu berwarna mahagony yang saban hari berbunyi.
Kiraan jari sahaja masa membenarkan kami melihat sudut itu. Almari seusia pintu kaku tanpa adanya alih mengalih isinya.

Sudut Rindu adalah gambaran jiwa kami yang memilih hijrah. Hijrah dengan harapan membuahkan sesuatu yang amat tinggi nilai duniawi dan moga membawa kepada keredhaan bagi ukhrawi.

Thursday, December 10, 2020

Rentas Negeri 1

Bermula pukul 4.30 petang kenderaan bergerak ke Pahang sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan. Jalan lancar dengan sedikit sesak di kawasan Cheras. Di Karak Hiway, ada lori terjatuh ditepi gaung menyebabkan kesesakan sekitar Selesai Hill homes. Singgah makan di Bentong iaitu kedai Best Tomyam berdekatan pusat servis toyota. 

Universiti Universal


Berkunjung ke OUM di Kelana Jaya. Kami membawa beberapa persoalan yang penting untuk memperkasakan pengajian tinggi di dalam tembok batu.

Sejak kerjasama bermula 2008 , terdapat 19 orang banduan telah menamatkan pengajian dengan jayanya.

Terdapat pelajar yang mengikuti program Diploma, Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran. 

Pintu penjara tidak pernah menutup pintu intelek. Ini bermakna, selain daripada pengajian lanjutan, ruang untuk meningkatkan peluang menjadikan penjara juga sebagai gedung ilmu amat terbuka.

Ilmu di universiti atau kolej akan memberikan sijil dan ilmu. Bagaimana dengan universiti terbuka di Penjara? 

Setiap individu dalam penjara sedang mengajar kita sebenarnya. Banyak perkara boleh diperolehi daripada mereka kerana bab demi bab yang kita pelajari adalah dinamik.

Banyak elemen emosi , fizikal dan juga spiritual sedang melatih kita. Ia menjadi pengajaran yang sangat bermakna.

Kurungan itu sendiri adalah kurikulum. Jika sesiapa ingin belajar, pejamkan lah mata dan lihatlah dengan mata hati. 

Setiap detik amat jelas kedengaran dan hitungan masa memercikkan peluh dingin sepanjang masa.

Aduh! Sukarnya terasa apabila kesesakan berada di dalam jiwa. Redah, keluh kesah adalah persepsi kita tentang mereka. Ia ternyata benar kerana keperitan itu tiada batas. 

Inilah universiti universal yang perlu dipelajari dalam diri. Ketika ini, jiwa hanya dapat ditenangkan dengan membuang pandangan mata zahir kerana is adalah hanya tembok bisu.

Inilah asas memberi makna kepada konsep memanusiakan manusia yang suatu ketika pernah dilihat sebagai haiwan.

Elemen Korea


KOREA.

Bila anda mula kenal orang Korea? Saya bermula dengan kelayakan Olimpik Moscow. Malaysia vs Korea Selatan. Kim Jae Han antara nama kalau tidak silap adalah nama salah seorang pemain mereka. Opp saya silap, bermula tahun 70an ada seorang pemain bola korea di Liga Jerman. Mama beliau Cha Bee Keum gitulah lebih kurang.

Kemudian Olimpik 1988 , Korea juara , pingat emas hoki. Itu juga satu usaha mereka hingga berjaya sebagai kuasa hoki. 

Selepas itu tiada sudah hal berkaitan hinggalah pula datangnya korean movie dan korean songs.

Biasalah lagu dan filem mudah diterima masyarakat. Iris adalah drama bersiri pertama kami lihat dan beberapa drama lain seperti 100days prince, Seventeen, wok of love dan back street rookie.

Itulah Korea dalam hidupku

Monday, December 7, 2020

Smash

Malam ini bersenam di gelanggang. Segi empat tepat bergaris , berjaring ini bukan sesuatu yang baru. Ia bermula dengan gelanggang depan rumah dibuat dengan kayu sebagai garisan akhirnya membawa kepada berada di dewan satu gelanggang di tengah bandar. 

Ayah pemain badminton untuk kelab yang kebanyakannga guru. Dia suka raket Carlton walaupun begitu pastinya dia ada raket kayu yang perlu dikunci untuk elak daripada bengkok. 

Bila jadual bermain pada waktu Malam, ada juga aku ikut kerana boleh la aku berpeluang untuk bermain pada set akhir ketika semua sudah penat. Kemudian, kami akan ke kedai untuk minum. Aku suka air laici buah dan ayah akan minum coke. 

Semasa di tahun enam, aku bersama beberapa rakan dipilih untuk mewakili sekolah ke pertandingan badminton di stadium Chung Hwa pada tahun 1982.

Aku mewakili acara bergu bersama Kamal, sahabat sekelas yang juga sentiasa menjadi pesaing ku baik dalam sukan dan juga akademik.
Acara dijalankan secara kalah mati , pada peringkat suku akhir kami ketinggalan 7-14. Kami akhirnya memang dan menjadi juara acara bergu lelaki bawah 12 tahun peringkat negeri
Pada tahun itu, Kami terpilih mewakili negeri dan kejohanan dilangsungkan di Kota Bharu.
Badminton akhirnya kutinggalkan kerana bakat ku tidak cukup kuat untuk ku kejar. 

Jadikan aku pemain badminton sosial sahaja.

Sunday, December 6, 2020

Cabaran; antara kelemahan dan kelebihan

Main golf di Monterez semalam. Tee off first hole 9 memerlukan bola dihayun sejauh 200 meter kerana di depannya ada kolam.
Seluruh tenaga dan kaedah difikirkan untuk melepasi cabaran. Tiada jalan alternatif di kiri atau kanan.
Apa yang perlu adalah kekal fokus dan jangan ubah asas pergerakan. 

Inilah isu dalam organisasi yang sering kita temui. Halangan didepan bukan untuk dielakkan tetapi untuk kita kumpul dan gabungkan ilmu serta pengalaman supaya ia dapat diatasi.

Bagaimana jika kita memang belum mampu untuk melepasi halangan itu? Dalam golf, kita diberikan drop zone dan ambil penalti. Ini adalah realiti kehidupan. Perkara yang belum mampu diatasi maka kita perlu terima itu sebagai kelemahan. Ambil dulu teguran dan denda tetapi pada masa yang sama usahakan untuk tambah ilmu dan pengalaman. 

Satu lagi , ada 18 lubang dalam permainan. Ambil lah manfaat di lubang yang kita kuasai. Kelemahan kita tukarkan kepada kelebihan di tempat lain.

Saturday, December 5, 2020

Sagem bergegar

Di suatu pagi di Bandar Kota Kinabalu sekitar tahun 2000. Kami bercuti dengan beberapa orang sahabat Belaga. Malam sebelum itu, aku telah membeli sebuah handphone jenama Sagem. Cantik bentuknya dan rasa gembira sangat dengan adanya Sagem tu.

Kami sudah menempah van untuk ke Kundasang dan menjejak kaki ke kaki gunung Kinabalu buat pertama kali.

Kami singgah makan dulu sambil menunggu panggilan pemandu van. Sagem kuletakkan di tali pinggang dalam bekasnya. 

Tiba² terdapat getaran di perut ku, aku terkejut dan hampir menarik dan mencampakkan Sagem kerana getaran itu tidak pernah kurasakan.

Ya Allah , semua mata memandang ku dan kawan2 ketawa terbahak bahak termasuk isteri ku.

Kenangan Sagem Vibrate ini akan dikenang selamanya.