Monday, May 11, 2020

Selamat Hari Lahir Ayahandaku Anuar Mohamad Zain

11 Mei 1943 ayah ku dilahirkan ke dunia di sebuah daerah berhampiran Ipoh, Perak. Sebuah kampung yang bernama Pengkalan Baru, Gopeng. Kampung yang berada ke dalam sedikit daripada Jalan Ipoh - Kuala Lumpur.

Sejak kecil kami selalu ke Ipoh dan bermalam di Sungai Rokam, Ipoh. Kami jarang balik ke Pengkalan Baru kerana ayah adalah anak yatim piatu sejak berumur 12 tahun kalau tidak silap. Kisah ayah ku tidak banyak aku ketahui kerana beliau jarang bercerita. Kalau kami bercuti ketika masih kecil pun, kami akan ke rumah 2 orang kakak ayah , iaitu Mak Long di Keramat, Jalan Enggang no 88 atau ke Subang Jaya , rumah Mak Lang. Itulah 2 orang kakak ayah yang kami kenali sejak kecil. Ayah mempunyai 6 orang adik beradik tetapi telah meninggal dunia dan aku tidak sempat mengenali mereka. Al fatihah untuk Mak Long, Pak Long , Pak Lang dan semua yang telah meningal dunia.

Ayah pernah tinggal di merata-rata rumah saudara seperti di Tronoh mengikut apa yang diceritakan oleh ayah dan saudara yang lain. Sejarah itu tidak banyak aku tahu kecuali ayah pernah mengajar sebagai guru sementara di Perak dan seterusnya ke DTC Kuantan, Ini aku dapat lihat daripada album termasuk sebagai guru praktikal di SK Tanjung Lumpur. Disinilah ayah dan ibu ku bertemu, seorang dari Perak dan seorang dari Kelantan.
Mereka mengajar di Parit Sonto pada tahun mungkin 1967 dan kakak ku dilahirkan di sana. Selepas itu, mereka berpindah dan menetap di Kelantan. Disinilah baru aku boleh mengingati tentang ayah ku. Ketika kecil, ayah dan ibu ku sentiasa ingin meningkatkan diri dengan mengambil peperiksaan STPM. Aku ingat lagi kerana ketika itu, mereka akan mengharungi air bah untuk menduduki peperiksaan.

Ayah seorang pemain badminton. Aku sering mengikut ayah ke dewan MDPP kerana aku suka naik motor vespa ayah dan kami akan menikmati air selepas bermain, Aku akan minum air laici dan ayah pula akan minum air coke di tepi panggung rama iaitu sebuah kedai yang turut menjual nasi air.

Aku memang sering dimarahi ayah semasa kecil. Aku adalah anak yang akan dirotan jika balik lewat selepas maghrib atau pun buat kesalahan yang patut dirotan. Ayah akan rotan ku sehingga kesannya boleh dilihat di punggung. Ayah akan suruh aku mandi dan solat. Selepas itu, ayah akan sapukan ubat dan aku akan terlena diatas peha ayah. Itulah ayah ku.

Ayah pandai juga bertukang, Aku akan selalu bersama ayah untuk membaiki pagar rumah kami. Aku ingat ayah suka memakai seluar berwarna putih.

Ayah jarang ke kedai kopi bersama-sama kawan atau melepak selepas isyak. Dia sentiasa ada di rumah untuk membantu kerja - kerja bersama ibu ku.

Sejak kecil, ayah akan mencuci baju kami yang aku kira dia telah menjalankan tugasnya sebagai ketua keluarga yang sangat cemerlang.

Ayah mempunyai sebuah kereta Volkwagen AK7172 yang dibeli dari bapa saudara ku,ayah su. Kereta itulah yang membawa kami ke mana-mana semasa cuti sekolah, Semasa mereka mengajar di SK Telosan, pasti ayah akan tumpangkan seorang pelajar yang kurang sempurna ke sekolah.

Ayah mempunyai satu sikap yang sangat penyayang. Dia akan balik dengan membawa sesuatu jke rumah seperti makanan jika keluar. Aku biasanya akan menangis dengan mencium kain pelikat ayah jika aku rindu kan ayah semasa kecil.

Apabila aku bersekolah di Machang, ayah akan selalu bersama ibuku datang melawatku pada hari Jumaat. Aku sering berkelakuan nakal di sekolah tetapi ayah sabar dengan tingkah laku ku. Ayah tidak pernah lupa harijadi ku, Biasanya dia akan hulurkan wang kepada ku. Mungkin dulu jarang majlis harijadi diadakan.

Sukar aku nak tulis tentang hubungan ayah dan aku kerana beliau adalah istimewa. Ayah yang istimewa sehingga aku rasa tidak mampu untuk aku catatkan disini. Aku sebak, Selepas ayah mendapat stroke kecil, percakapannya kurang jelas tetapi ayah tetap ayah yang hebat,

Sekarang ramadan, ayah akan telefon aku untuk kejutkan sahur jika aku berada di tempat lain, Kalau aku berada di rumah, dia lah yang sediakan air teh yang sedap setiap pagi sahur ataupun sarapan pagi.

Hari ini 11 Mei 2020, genap lah umur ayah 77 tahun, masih boleh memandu kereta ke masjid, masih membantu menjemur kain, masih boleh membancuh teh dan masih akan membantu kami semua setiap masa.

SELAMAT HARI LAHIR AYAH KU


1 comment:

Marsya said...

mari gabung bersama kami di Aj0QQ*co
BONUS CASHBACK 0.3% setiap senin
BONUS REFERAL 20% seumur hidup.