Sempena cuti akhir tahun 2009, saya ingin mengambil kesempatan untuk membicarakan tentang apa yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar supaya 6 minggu yang dilalui nanti adalah sangat bermanfaat. Sebelum itu, kita jangan tersilap mentafsirkan cuti sebagai 'vacuum' yang tidak mempunyai nilai dalam kehidupan. Jika kita melihat sikap pelajar selepas menduduki peperiksaan di sekolah menggambarkan kepada kita bahawa sekolah adalah beban yang perlu dihabiskan dalam tempuhnya dan mereka akan bebas sebaik tamatnya sesi persekolahan setiap tahun.
Adik-adik perlu menyedari bahawa misi sesebuah sekolah adalah memberikan pendidikan untuk menjadikan kita sebagai insan yang cerdik dan yang paling penting menjadi insan yang bertuah yang akan mendapat nikmat syurga di alam yang kekal selama-lamanya. Untuk mencapai tahap kecerdikan ini, cuti tidak membawa maksud berhenti daripada belajar tetapi sebenarnya memberikan peluang kepada adik-adik untuk mempelajari ilmu dalam skop yang berbeza dan pengalaman yang berbeza. Ia juga bermaksud, menyediakan peluang kepada kita untuk bebas memilih bidang ilmu yang tidak diberikan kepada kita di sekolah. Oleh itu, marilah kita kembali menilai maksud cuti sekolah dalam erti kata yang sebenar supaya masa 6 minggu yang disediakan akan menjadikan kita lebih baik dan berilmu.
Fikirkanlah apa yang ingin kita pelajari dan ketahui yang mungkin tidak diajar oleh guru di sekolah ataupun meungkin kita ingin mendalami sesuatu sehingga kita begitu mahir dan fokus. Sebagai contoh, ada seorang pelajar yang berusia 14 tahun menggunakan masa cuti sekolah dengan menuntut ilmu di pondok agama yang mana hasilnya beliau sekarang telah mampu untuk memberikan kuliah di masjid-masjid.
Begitu juga kita boleh mempelajari ilmu pertanian dengan menggunakan masa cuti ini dengan menanam sayur-sayuran yang bukan sahaja memberikan hasil malah membantu kita mendapat pahala kerana mengerjakan tanah adalah merupakan satu ibadat.
Apa salahnya jika masa 6 minggu ini digunakan untuk belajar ikhtiar hidup seperti menjahit baju kurung, menenun kain dan sebagainya. Kemahiran ini akan pastinya membantu kita menjadi seorang yang pakar pada suatu masa nanti. Oleh yang demikian, kita mungkin boleh menjadikan apa yang dipelajari hari ini sebagai hasil kehidupan kita pada masa yang akan datang.
Bagi remaja yang mempunyai motosikal, apa salahnya menumpang belajar membaiki motosikal daripada mekanik yang tinggal berdekatan kerana semua ini adalah tidak sia-sia. Setiap ilmu di dunia ini pasti ada gurunya. Mereka sentiasa membuka pintu, cuma kitalah perlu memasukinya.
2 comments:
lumba motor kot boley jdi lumba haram ..tu pun dikira jugak kan?
nak tambah ilmu masakan
Post a Comment