Thursday, August 8, 2019

LDK kepimpinan

Aku bukan kaunselor tapi aku tahu ada satu bimbingan yang boleh dilakukan iaitu Bimbingan kelompok. Hari ini ketika rakan kaunselor menjalankan Kaunseling kelompok, aku pula mengadakan bimbingan kelompok.

Perkara pertama yang aku sentuh ialah kegunaan environmental scanning ketika menjalankan fungsi di sekolah. Peserta yang ada dalam kumpulan ku adalah pengawas sekolah.

Aku meminta mereka menggunakan neraca dalam menjalankan setiap tugas yang diamanahkan.

Perkara seterusnya adalah berkaitan perbezaan antara mengurus dan memimpin.

Aku just gunakan perbezaan melalui frasa do the right things or do the things right. Tak perlu lah pakai teori sangat. Bukannya kuliah kepimpinan.

Selepas itu, keluarlah pula POLC dalam Pengurusan. Planning, organising,leading dan controlling. Sambil itu, dapatkan pandangan mereka

Tiba pula giliran berkaitan kuasa. Mereka adalah pengawas sekolah. Dapat pula watikah pelantikan tu. Tentu diberi kuasa ke atas pelajar lain. Maka , bincanglah pula 5 jenis kuasa iaitu sah, ganjaran, desakan, rujukan dan kepakaran.

Akhirnya , aku bandingkan antara anggur dan kismis. Pemimpin ibarat anggur dan pengurus adalah kismis. Kenapa ye?

Keduanya mempunyai nutrien yang sama tetapi anggur lebih menggiurkan.

Itulah saya di Bimbingan Kelompok.

Monday, August 5, 2019

BUILD YOUR LEGACY

Build your legacy - Beberapa bulan ini banyak aku bertemu perkataan legacy. Mula-mula ketika berbincang dengan seorang pensyarah yang menyediakan modul kepimpinan. Beliau telah menggunakan konsep 4L iaitu ( Live, Love,Learn,Legacy).

Semalam sekali lagi perkataan ini menjadi perhatianku. Kedua-duanya digambarkan sebagai satu kekuatan diri yang ingin mencipta sesuatu yang akan mengalir untuk manfaat makhluk ciptaan Ilahi.

Legacy adalah aktiviti hari ini untuk masa depan. Ini bukan definisi daripada mereka tetapi oleh aku sendiri. Masa depan siapa yang kita hendakkan? Orang lain sahaja atau kita juga? Akhirnya timbul lah istilah redha dan keikhlasan yang paling tinggi. Aku juga suka kaitkan legacy ini dengan self actualization.

BYL seperti yang tertera adalah program yang dicetuskan oleh mereka yang mengkaji dan mencari. Kita sekarang banyak mendengar dan menerima. Mana yang hebat?

Daripada yang didengar, peserta diminta merujuk kepada Surah Al baqarah. Al Quran yang menjadi petunjuk. Legacy memang perlukan petunjuk supaya aktiviti kita hari ini adalah syurga pada masa depan.

Jawapan kepada soalan di atas adalah kita perlu mencari petunjuk. Impian tidak akan menjadi realiti tanpa kita bersedia mencari petunjuk yang telah Allah sediakan.

Marilah kita mula mengkaji kehebatan kehidupan yang sedang kita alami. Terlalu luas ilmu yang Allah sediakan tetapi ia milik siapa?

Mulai hari ini , kurangkan mendengar dan lebihkan mengkaji.


Inilah antara peserta BYL yang telah menyumbang Al Quran kepada banduan. Mereka in sha Allah akan membina legacy sehingga cahaya menampakkan sinar di dunia hingga ke akhirat

Friday, August 2, 2019

HKL .....part 2

Selepas membayar tol di Grand Saga Batu 9 mata ku sentiasa melihat masa untuk sampai ke rumah. Aku tidak mahu isteri dan anak-anakku terlewat untuk menunaikan solat maghrib, Kami sepatutnya singgah di mana - mana surau sekitar atau mungkin di stesen minyak. Sudah ditakdirkan , setelah tiba di persimpangan Cheras Perdana dan BTHO aku terasa pelik kerana tangan kanan ku tiba macam ada 2. "Kenapa abang?' Isteriku bertanya kerana aku kelihatan gelisah namun ku terus memandu dan cuba hendak berhenti di tepi jalan. Alhamdulillah dapat juga aku memberhentikan kereta.

Isteriku terus menyuruh aku bertukar ke belakang tempat duduk kereta. Aku meminta anak ku mengurut tangan ku yang ku rasa sangat pelik. Dalam hatiku, aku tahu aku telah diserang angin ahmar. Ya Allah! Aku pasrah. Isteriku terus memecut ke tempat yang aku tidak tahu. Cuma aku semacam terdengar beliau berkata " abang , kita terus ke IJN". Jarak dari tempat kami bertukar memandu ke IJN adalah lebih kurang 24 km.

Sambil memandu dia terus meminta anak-anak ku mengurut tangan dan aku tidak mampu bercakap. Setibanya di IJN, aku didudukkan ke kerusi roda dan apabila masuk sahaja ke ruang kecemasan, terdengar pembantu disitu memberitahu yang aku telah terkena stroke dan perlu dihantar ke HKL.

Pihak IJN telah membawa aku dengan ambulans ke HKL. Beberapa orang doktor mendatangiku dan cuba melihat tahap kesihatan ku. Mereka bertanya beberapa soalan asas seperti nama, kerja dan sebagainya. Aku hanya mampu menjawab Aahan, aahan. Itu je yang keluar dari mulutku ini. Oh Tuhanku! Aku diuji lagi dan dalam beberapa ketika aku masih tidak mampu berkata-kata dengan jelas. Aku dipindahkan ke katil lain dan aku perasan yang aku agak mampu untuk bangkit bergerak ke katil sebelah. Tangan kanan ku agak lemah dan selepas 3 jam, baru aku ditolak ke bilik untuk menjalani ujian ct scan di kepala. Aku dimaklumkan bahawa tiada darah beku di kepala.

Selepas itu, aku dimasukkan ke wad 5 yang menempatkan pesakit neurologi. Bangun dari tidur keesokan hari, aku telah mula dapat menyebut beberapa perkataan dengan lebih baik. Aku teringat ibu ku yang pernah diserang stroke ringan pada sekitar 1994 dan ayah ku yang terkena stroke pada ramadan tahun lepas.

Thursday, August 1, 2019

HKL ... part 1

16 Ramadan yang lalu,

Pagi itu aku telah menghantar kereta Avanza ke Kedai Cermin untuk menukarkan cermin kereta yang telah retak. Setelah sampai di Salak Selatan , proses untuk menguruskan tuntutan insuran diselesaikan sebelum aku bergerak balik ke rumah.

Lebih kurang 3 minit daripada kedai tersebut, terdapat stesen LRT yang akan membawa aku untuk ke Kajang. Dari situ, aku telah menaiki LRT ke stesen pertukaran untuk menaiki MRT yang akan terus membawa aku ke Stesen MRT Bukit Dukung.

Setibanya di situ, aku telah menaiki GRAB car untuk ke Mines di mana terletaknya pejabat PTPTN untuk menguruskan wang yang diperolehi setelah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Petang itu, dalam pukul 5.30 aku dan keluarga telah menaiki grab untuk ke tempat aku menukarkan cermin kereta dan kami berhajat untuk terus mencari kedai makan untuk berbuka puasa.

Selepas mendapatkan kereta, kami terus ke kawasan Kampung Baru kerana di situ tentulah terdapat banyak kedai makan yang akan menyediakan juadah berbuka. Akhirnya kami telah menempah meja di Juara Tomyam yang telah lama tidak disinggahi.

Setelah azan maghrib berkumandang, kami semua menikmati hidangan yang aku kira tidaklah terlalu membuka selera namun sesuailah dengan harga yang dibayar. Syukur dengan nikmat yang dikurniakan.

Solat maghrib di mana? Kami sempat bergambar di kawasan kedai yang berlatar belakang KLCC sambil menuju ke kereta. Dengan menggunakan waze, kami dijangka akan tiba di rumah pada pukul 8.11 malam.

Aku memandu kereta dengan agak laju sambil mata melirik handphone dengan mengharapkan agar kami akan lebih cepat sampai supaya kami dapat menunaikan solat lebih awal.

Seperti dijangkakan, trafik lancar dan masa perjalanan semakin pendek.