3 september 2017
Kami bertolak balik ke KL dalam waktu asar. Harapan yang ada ialah perjalanan yang lancar dan dipermudahkan. Masuk melalui plaza tol Alor Setar Utara kenderaan bergerak lancar walaupun agak banyak. Tidak sampai 15 minit, semua kenderaan bersusun menghala ke selatan.
Satu jam perjalanan, kami keluar melalui tol Bertam dan singgah minum bersama keluarga Syukur yang akan bermalam di situ kerana tidak larat untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan diteruskan dan rupanya ada ahli kami yang belum bersolat asar dan sambil berdoa agar dipermudahkan urusan, solat asar dan jamak maghrib serta isyak kami lakukan di rnr Juru.
Bermulalah kembali satu perjalanan yang dijangka akan sesak sehingga ke KL. Hujan lebat dan reda silih berganti dan semakin perlahan setiap laluan apabila ada beberapa kenderaan berat turut memeriahkan perjalanan.
Setiba di Kuala Kangsar, trafik menjadi terlalu sesak dan begitu perlahan seolah olah ada kemalangan di hadapan. Tiada exit yang boleh kami keluar melainkan di simpang pulai. Ya Allah, mengikut goggle maps, 3 jam lagi baru kami akan sampai ke situ. Ahli keluarga sudah melelapkan mata. 10kmj dengan rasa sejuk dan ingin membuang air menyebabkan perasaan bercampur baur. Alhamdulillah, di exit Ipoh Selatan, ada tandas yang boleh digunakan. Melintasi setiap laluan tol dan perasaan amat lega kerana dapat melepaskan hajat. 1 jam kemudian, aku dapat keluar di simpang pulai dan terus melelapkan mata buat seketika.
Tersedar dalam pukul 4 pagi, aku teruskan pemanduan ke selatan. Bila tiba di Tapah, aku keluar dari tol dan sekali lagi melelapkan mata. Selepas solat subuh, perjalanan diteruskan.